Kehebatan saudara baru Islam diuji "Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Muslim kali ke-4"

PENINGKATAN mutu bacaan peserta Majlis Tilawah al-Quran Saudara Muslim kali keempat yang berlangsung dua hari dan berakhir dengan gemilang malam tadi di Dewan Besar, Seri Perdana, Putrajaya, mendapat pujian jemaah hakim.

Pengerusinya, Azhari Othman, berkata "jika dibimbing dan dilatih dengan bersungguh-sungguh, tidak mustahil peserta tilawah terdiri daripada saudara baru itu layak menjadi wakil untuk menyertai majlis tilawah peringkat kebangsaan. Keberanian beberapa peserta membaca secara bertaranum membuktikan mereka sudah berjinak-jinak dengan ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu dan hanya perlu diasah oleh guru berpengalaman".

“Berdasarkan pengalaman sebagai hakim sejak kali pertama majlis ini dianjurkan, saya bangga melihat pencapaian peserta semakin tahun menunjukkan peningkatan yang baik. Cuma ada sesetengah perlu memperbaiki tajwid kerana banyak salah apabila bertukar hukum. Kebanyakan suara mereka cantik belaka tetapi tidak mahir nak olah dan mengawal suara. Sebab itu ada yang kita dengar bacaannya macam keras dan bunyi macam nak marah pun ada, sedangkan al-Quran hendaklah dibaca dengan lembut,” katanya.

Katanya lagi "kelebihan al-Quran sebagai mukjizat untuk melembutkan hati mereka yang mendengar sepatutnya dimanfaatkan peserta dengan menyampaikan bacaan masing-masing dengan suara yang lemah lembut".

"Majlis Tilawah al-Quran Saudara Muslim" bertujuan memberi peluang saudara baru Islam berkumpul dan berinteraksi dalam satu majlis berunsur keagamaan adalah anjuran bersama Nusantara Iman Sdn Bhd dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Islamic Outreach ABIM

Kali ini, 98 peserta mengambil bahagian dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka (qari dan qariah), millenium (qari dan qariah yang memeluk Islam sejak 2006) dan istimewa (peserta cacat penglihatan). Turut dipertandingkan, kategori Azan Putera (kanak-kanak di bawah 12 tahun) dan kategori Azan Remaja (kanak-kanak berusia 12 hingga 18 tahun).

Majlis Tilawah al-Quran Saudara Muslim kali ini berjaya menarik minat peserta berasal dari Ghana, Abdul Rahim Yusuf, 23, yang pertama kali menyertai tilawah al-Quran dan melahirkan rasa bangga kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan peserta lain. Beliau mula belajar membaca al-Quran setahun lalu gembira dapat menyampaikan bacaan dengan baik walaupun sedar bacaannya masih tidak menepati tahap yang ditetapkan juri majlis tilawah.
“Apa yang saya belajar tidak sama dengan apa diharapkan juri. Selepas dimaklumkan ayat bakal dibaca tiga hari lalu, saya berlatih dengan guru al-Quran, Ustaz Harun Ali Gindu dan cuba lakukan yang terbaik,”  katanya. Berkhidmat di Islamic Outreach ABIM, beliau memeluk Islam pada 2008 biasa mendengar alunan ayat al-Quran yang dibacakan teman sebilik semasa menyambung pengajian di sebuah kolej tempatan. Katanya lagi "pengalaman ini menambahkan minatnya mendalami ilmu al-Quran dan memperbaiki bacaan selain memahami pengajaran disampaikan daripada wahyu Allah itu".

Dua saudara baru yang menyumbang kepada penyebaran dakwah Islamiah dalam kalangan yang baru memeluk Islam turut mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai Tokoh Saudara Muslim.

Pegawai Dakwah di Yayasan Informasi Islam dan Perkhidmatan (IIS), Shah Kirit Govindji Abdullah, 44, diumumkan Tokoh Saudara Muslim Muslimin sementara Naib Presiden Darul Fitrah, Noorshin Ng Abdullah, 58, pula dinobatkan sebagai Tokoh Saudara Muslim Muslimah. 

Anugerah Tokoh Saudara Muslim diperkenalkan pada 2007 mengiktiraf mereka yang aktif berdakwah dan membimbing saudara baru memahami dan mendalami Islam. Tokoh terpilih menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Johan qari kategori terbuka menjadi milik Joha Amirul yang membawa pulang Piala Pusingan Sultan Haji Ahmad Shah dan wang tunai RM10,000. Naib johan, Mustafa Junatal Abdullah dan tempat ketiga, Muhamad Sofian Ang Abdullah.

Johan qariah kategori terbuka disandang johan menanti, Siti Salmiah Sulong; naib johan, Siti Noriah Emelia Abdullah dan tempat ketiga, Nur Athirah Jian.

Naib johan kategori terbuka menerima wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Johan qari dan qariah kategori millenium pula masing-masing menerima piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur serta wang tunai RM5,000. Naib johan (RM3,000), tempat ketiga (RM1,000) berserta trofi.

Bagi kategori OKU, johan menerima wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

Tiada ulasan:

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget