"YAYASAN TAQWA" peluaskan agihan zakat

KEWAJIPAN menunaikan zakat memang diketahui umum oleh umat Islam di Malaysia. Di Wilayah Persekutuan jumlah kutipan zakat oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada tahun 2009 menghampiri angka RM242 jutaSudah tentu jumlah sebesar itu jika diagihkan secara telus, bijaksana dan adil pasti memberi manfaat yang besar kepada para asnaf di negara kita. Selain mempunyai Baitulmal, sebuah lagi badan yang ditubuhkan bagi mengurus dan menyalurkan bantuan zakat ini adalah Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. Ia lebih dikenali sebagai Yayasan Taqwa.

Yayasan itu ditubuhkan pada 20 November 1990 dengan nama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan Berhad.
Pada 12 Jun 2008, namanya ditukar kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan atau lebih dikenali sebagai Yayasan Taqwa selaras dengan matlamat penubuhannya. Ia adalah milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang kini di bawah naungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Pengerusi.

Lebih penting, yayasan itu mengagihkan zakat ke seluruh negara bukannya terhad sekitar Wilayah Persekutuan sahaja. Antara rasionalnya, sebahagian besar warga kota berasal dari kampung yang kemudiannya bekerja dan bermastautin di ibu negara. Lebih penting lagi, merekalah yang membayar zakat di Wilayah Persekutuan. Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim berkata, aktiviti yayasan bertumpu kepada menjalankan program-program kebajikan dan sosial untuk kepentingan masyarakat Islam.

Program tersebut dinamakan Program Bina TaqwaIni juga selaras dengan satu daripada tujuan penubuhan Yayasan Taqwa sebagai badan untuk menolong melaksanakan sebahagian program-program MAIWP. Katanya, yayasan juga membantu meringankan beban mangsa bencana, musibah, bantuan malapetaka untuk kaum Muslim dan bukan Muslim di negara ini mahupun di serata dunia. "Kami juga memberi tumpuan kepada golongan asnaf dan bukan Muslim (dakwah bil hal) dalam menjinakkan hati mereka ke arah Islam. "Selain itu, yayasan juga membantu golongan muda-mudi dan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran yang berkaitan terutama dalam bidang agama dan ikhtisas di dalam negara mahupun luar," katanya kepada Mega, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pendapatan utama yayasan adalah daripada MAIWP. "Alhamdulillah, hasil kesedaran masyarakat Islam, kutipan zakat sentiasa meningkat dari tahun ke tahun," kata Ahmad Ayob.
Secara tidak langsung, ia mempengaruhi pendapatan yang diperolehi oleh Yayasan Taqwa untuk menjalankan pelbagai aktiviti dengan lancar.

Pada tahun 2008, yayasan mendapat peruntukan sebanyak RM7.2 juta dan tahun 2009 ia meningkat kepada kira-kira RM11 juta.

Menurut Ahmad Ayob, sebahagian besar iaitu kira-kira 60 peratus pendapatan dibelanjakan untuk program pendidikan dan dakwah. Bakinya dibelanjakan kepada program kebajikan dan kecemasan serta sosial. Bantuan pendidikan merangkumi sumbangan khas untuk kelas tuisyen pelajar yang kurang kemampuan dan sumbangan untuk program berbentuk pendidikan untuk pelajar sekolah. Bantuan am pelajaran pula dikhususkan kepada golongan kurang mampu bagi melanjutkan pelajaran. Mereka yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi contohnya di peringkat diploma menerima bantuan RM700, ijazah (RM1,000) manakala ijazah sarjana atau doktor falsafah (RM1,500).

Katanya, keutamaan diberi kepada program pendidikan kerana melaluinya golongan asnaf boleh berdikari dan menjana ekonomi seterusnya menjadi pembayar zakat di masa depan.
"Pendidikan ini termasuk menganjurkan pelbagai seminar di institusi pengajian tinggi dan juga program motivasi untuk pelajar. "Terbaru adalah seminar Kemelut Peradaban Remaja di Malaysia yang diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, September lalu," jelas beliau.

Menurut Ayob, program tajaan pendidikan yang dijalankan adalah sumbangan kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia untuk ke Aceh pada tahun 2009. "Yayasan Taqwa turut membiayai 14 pelajar dalam bidang muamalat di Mesir dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (ARB). "Tajaan itu adalah mulai tahun 2009 sehingga tahun 2014 melibatkan belanja keseluruhannya sebanyak RM700,000," katanya.

Dalam bidang dakwah, Yayasan Taqwa turut terlibat secara langsung. Antaranya pada tahun 2009, program dakwah bil hal kepada pesakit Hospital Kuala Terengganu, ibu tunggal, golongan orang kurang upaya dan pelbagai ekspedisi kasih ke perkampungan orang asli seperti di Gua Musang, Kelantan dan Perak.

Alhamdulillah, antara hasilnya, ramai yang mengucap kalimah syahadat. Ayob berkata, strategi utama yayasan adalah memberi pendidikan yang menitik beratkan nilai-nilai Islam dalam melahirkan insan kelas pertama. Selain itu, melaksanakan skim-skim bantuan dalam meningkatkan dan mengimbangi status sosio-ekonomi semua Muslim.

"Antara objektif yayasan pula adalah merapatkan masyarakat dengan institusi zakat (Baitulmal, PPZ -MAIWP) melalui program yang dilaksanakan. "Satu lagi objektif kami adalah menjinakkan hati dan minda kepada Islam," jelasnya. Bagi merancakkan lagi usaha dakwah, Yayasan Taqwa turut menerbitkan beberapa buku termasuk menyumbang dana untuk majalah berbahasa Tamil berjudul Nanbikal yang bermaksud 'Harapan'.

Mengenai hala tuju Yayasan Taqwa pada tahun 2010 hingga 2012, Ayob berkata, pihaknya berazam menjadi yayasan yang mempunyai autoriti dan mempunyai sumber pendapatan yang kukuh dan tidak bergantung kepada MAIWP. Selain itu, menyokong dan mendokong usaha serta aspirasi kerajaan dan MAIWP dalam membasmi kemiskinan tegar di kalangan umat Islam dan masyarakat secara amnya.

"Kami juga merancang mempunyai syarikat sekutu dan pelaburan yang memberi pulangan maksimum di mana hasil pelaburan diagih semula kepada golongan sasaran," tambahnya.

sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget