Bersediakah Anda Untuk Melangkah Ke Tahun 2011...?

MENYAMBUT TAHUN BARU 2011
Setiap tahun masyarakat di seluruh negara akan menyambut tahun baru mengikut kalendar Masihi. Tidak kira apa jua bangsa dan agama, masyarakat Islam hari ini juga menyambut kehadiran tahun baru Masihi ini dengan begitu meriah sekali. Berbeza dengan menyambut tahun baru Hijrah. Mereka lebih cenderung untuk meraikan tahun Masihi berbanding mengikut Taqwim Hijrah. Kita harap semuanya ini nanti akan berubah sedikit demi sedikit kepada memeriahkan sambutan Ma’al Hijrah pada tahun-tahun mendatang.
Pada malam “Count Down”  31 Disember...dan sambutan “Happy New Year” bahkan sanggup berbelanja besar untuk menyambutnya. Namun, sedar atau tidak sedar mengenainya. Kita kini sudah terikut-ikut dengan budaya yang merosakkan nilai-nilai murni dan keharmonian masyarakat setiap kali menjelangnya tahun baru. Apakah faedah yang diperolehi dengan menghabiskan masa dan tenaga semata-mata untuk mengira masa sebelum bermulanya tahun baru. Ingatlah mengenai kepentingan masa, peredarannya yang semakin singkat apabila dunia menghampiri usianya.

30. Sebahagian manusia diberi hidayah (petunjuk) oleh Allah; dan sebahagiannya lagi (yang ingkar) ditimpa kesukaran (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan itu pemimpin-pemimpin mereka selain dari Allah, serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayahNya.
31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampau. Surah Al-A’raf : 30-31
"Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan mengasihi mereka yang memohon keampunannya." (Hadith Riwayat Al-Hakim dan Ibnu ‘Adi)
Masa yang singkat sebelum tibanya tahun baru ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya. Kita sebenarnya memerlukan masa untuk merancang mengenai kehidupan kita yang seterusnya. Ambillah peluang pada malam tahun baru untuk merancang prestasi hidup kita untuk tahun yang berikutnya. Siapa yang pernah terfikir untuk berbuat demikian, melainkan mereka yang sentiasa inginkan peningkatan dalam diri dan menjadi seorang yang berjaya di dalam hidupnya di dunia dan di akhirat. Ingat, peruntukkan dalam sehari untuk melatih diri merancang perjalanan dan menetapkan matlamat kita.

"Muslim yang sejati adalah mereka yang menyelamatkan Muslim yang lain dari lidah dan tangannya itu: Manakala mereka yang berhijrah ialah mereka yang meninggalkan semua larangan Allah." (Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Peluang membaca doa selamat pada awal tahun baru merupakan amalan yang baik bagi menggantikan perbuatan berteriak dan menari-nari di pusat hiburan. Kesedaran dalam diri masyarakat dan mengamalkan ajaran agama pada hari ini amatlah penting bagi membina benteng pertahanan diri dari segala penyakit hati. Pesanan buat mereka yang mampu berdakwah, bimbinglah saudara-saudari kita dengan ikhlas dan tetapkan diri hanya meminta pertolongan Allah sekiranya kita menerima sebarang kesusahan. Semoga tahun baru ini lebih memberikan manfaat kepada kita dan meyumbangkan generasi pewaris ad-Deen yang mulia ini.

SEMOGA ANDA BERJAYA TAHUN 2011.......!

FATWA : Isu Membaca dan Menterjemahkan Ayat Al-Quran Oleh Orang Bukan Islam


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam  Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:
“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya.  Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus  menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.
Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam.  Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan. 
Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.  Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.
Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”


FARAID : Pengurusan Wasiat Harta Pusaka - Siri 1

FARAID: MANIFESTASI KESYUMULAN PENGURUSAN HARTA DALAM ISLAM


Undang-undang Pusaka Islam (faraid) telah disyariatkan oleh Allah s.w.t secara berhikmat dan 
berperingkat-peringkat supaya ianya sesuai dengan falsafah perundangan dan tabiat semulajadi manusia yang agak sukar untuk mengubah adat kelaziman mereka masing-masing. Pada peringkat awal, agama  Islam mengekalkan sistem pusaka Jahiliah, sistem sementara berdasarkan persaudaraan dan Hijrah. Kemudian sistem itu telah dibatalkan dan diganti dengan sistem pembahagian pusaka secara wasiat kepada dua ibu bapa dan kaum kerabat berdasarkan pada Surah Al- Baqarah, ayat 180 bermaksud : "Diwajibkan diatas kamu, apabila maut hendak menjemput seseorang diantara kamu, jika dia meninggalkan harta,berwasiat untuk kedua orang tua dan rakan karib kerabat dengan cara yang baik, (sebagai) kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa".

Peringkat akhir, semua sistem tersebut telah dimansuhkan dan Undang-undang Pusaka Islam yang ada sekarang adalah merupakan ketetapan Allah s.w.t. berdasarkan ayat mawarith , iaitu ayat 11, 12 dan 176, surah Al-Nisa.Undang-undang Pusaka Islam adalah satu sietem pusaka yang lengkap dan menyeluruh (syumul) dengan memberi jaminan terhadap ahli ahli waris yang berhak, kadar bahagian mereka dan ahli ahli waris yang tidak berhak terhadap harta pusaka dengan menggunakan kaedah atau doktrin al-Hajb.

Allah s.w.t. telah menentukan hukum dan cara pembahagian dalam harta pusaka dikalangan ahli warisahli waris, dengan tujuan untuk memberi keadilan kepada semua peringkat ahli ahli waris dan mengelak pergaduhan dikalangan mereka. 

 Pada akhir ayat 11, 12 dan 176, surah al-Nisa, Allah s.w.t telah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana“ , “ (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dai Allah. Dan (ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar“ dan “Allah menerangkan hukum itu kepada kamu supaya tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.




SUMBER UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM DAN HUKUM MEMPELAJARINYA

Undang-undang Pusaka Islam (faraid) bersumberkan kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak sahabat dan ijtihad mereka dalam masalah tertentu. Di dalam al-Quran terdapat dua bentuk ayat yang berkaitan dengan pusaka iaitu ayat  mujmal dan ayat  mufassal. Ayat-ayat kategori pertama menjelaskan hak-hak ahli waris secara umum tanpa menentukan bahagian mereka secara terperinci.Manakala ayat-ayat kategori kedua iaitu ayat al-mawarith, Allah s.w.t telah menjelaskan secara terperinci ahli-ahli waris dan kadar bahagian atau saham mereka masing-masing.

Di antara ayat berbentuk mujmal, Firman Allah s.w.t  yang bermaksud:
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)” (al-Quran,  al-Nisa’ 4:7).

”Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (al-Quran, al-Anfal 8:75).

Dalam ayat  al-mawarith, Allah s.w.t telah menerangkan secara terperinci mengenai ahli waris-ahli waris dan bahagian mereka masing-masing dalam pusaka iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 (i) “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah 2/3 dari harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah 1/2 (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati) tiap-tiap seorang dari keduanya 1/6 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah4kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah 1/3. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah 1/6. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutang. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa yang di antaranya lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu, (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing sepertiditerangkan ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”  (alQuran, al-Nisa’ 4: 11).

(ii) “Dan bagi kamu (suami) 1/2 dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu mendapat 1/4 dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi kamu (isteri-isteri) pula 1/4 dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi jika kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah 1/8 dari harta kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayar hutang kamu. Dan jika si mati yang diahli warisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiaptiap seorang dari keduanya ialah 1/6. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka berkongsi pada 1/3 (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarhutangnya; wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada ahli waris-ahli waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar “ (al-Quran, al-Nisa’ 4: 12).

 (iii) “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai masalah kalalah. Katakanlah: ‘‘Allah memberi fatwa kepadamu dalam perkara  kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu 1/2 dariharta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudarasaudara lelaki itu) meahli warisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannnya itu dua orang, maka keduanya mendapat 2/3 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudarasaudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orangperempuan“. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (al-Quran, al-Nisa’ 4:176).


Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas, dapat dirumuskan beberapa hukum berikut.

1. Dasar pembahagian pusaka dalam Islam adalah bahagian ahli waris lelaki menyamai dua bahagian ahli waris perempuan. Dasar ini dilaksanakan dalam 6kebanyakan kes pusaka, terutamanya dalam kes asabah bi al-ghayr. Pembahagian pusaka dalam kes seumpama ini hendaklah berdasarkan kaedah bahagian ahli waris lelaki menyamai dua bahagian ahli waris perempuan.

2. Ahli waris ashab al-furud dan asabah bi al-ghayr telah ditentukan dengan jelas dan cara pewarisan mereka masing-masing. Di antara ahli waris  ashab al-furud yang disebut dalam ayat tersebut ialah anak perempuan, ibu, bapa, suami, isteri, saudara lelaki seibu, saudara perempuan seibu,  saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

3. Pembahagian harta pusaka kepada ahli-ahli warishendaklah dibuat selepas ditunaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang Allah s.w.t (seperti zakat, kaffarah dan sebagainya), atau hutang sesama manusia dan sesudahdiselesaikan wasiat yang dibuat oleh si mati (jika ada) atas kadar 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta pusakanya.  Selain daripada nas al-Quran, terdapat hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan dan memperincikanmaksud Al-Quran tentang ahli-ahli waris dan bahagian mereka masing-masing; antaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Bagi seorang anak perempuan 1/2, seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 untuk melengkapkan 2/3 dan baki (asabah) untuk seorang saudara perempuan“ (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yangberhak, sesudah itu bakinya adalah untuk ahli waris lelaki yang lebih utama” (Hadis riwayat Muslim).



Di samping nas al-Quran dan al-Sunnah, ijmak para sahabat dan tabi’in juga telah berlaku dalam pembahagian pusaka, iaitu seorang nenek atau dua orang nenek (ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa) mereka sama-sama berkongsi dalam 1/6 bahagian.Demikian juga para sahabat telah melakukan ijtihad mereka dalam beberapa masalah pusaka , seperti dalam kes  alUmariyyatain,al-Musyarakah, pewarisan datuk ketika bersama saudara (lelaki atau perempuan) seibu sebapa atau sebapa, pewarisan dhawi al-arham, dan sebagainya.

Berdasarkan nas-nas di atas dapat dirumuskan bahawa hukum mempelajari faraid adalah fardu kifayah kepada seluruh umat Islam dan ia akan gugur dengan sebahagian umat Islam lain yang telah melakukannya, tetapi hukum sunat mempelajarinya masih berkekalan. Demikian juga hukum melaksanakan pembahagian pusaka secara faraid adalah wajib.



FARAID : Pengurusan Wasiat Harta Pusaka - Siri 2


PEMBAHARUAN DALAM UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM
 
Sebelum Islam terutamanya pada zaman Jahiliah, anak-anak perempuan, isteri, ibu-ibu dan ahli waris perempuan yang lain langsung tidak diberikan hak dalam harta pusaka. Demikian juga kanak-kanak yang belum baligh tidak diberikan hak dalam pembahagian harta pusaka. Perwarisan hanya berlaku kepada golongan lelaki 8 yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga dari serangan musuh. Perwarisan hanya berlaku atas dasar keturunan (untuk lelaki yang dewasa), perjanjian dan anak angkat.

Selepas turunnya ayat  al-mawarith, Undang-undang Pusaka Islam telah memperkenalkan satu pembaharuan dalam undang-undang pusaka, di mana golongan wanita telah diiktiraf oleh Islam dengan memberikan kepada mereka taraf ahli waris yang sah dan menetapkan kadar  tertentu kepada mereka dalam harta pusaka.Daripada 12 golongan ahli waris ashab al-furud, seramai  8 orang adalah terdiri daripada ahli waris perempuan dan 4 orang sahaja yang terdiri dari ahli waris lelaki. Di antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam Undang-undang Pusaka Islam ialah:

1. Hak pusaka mempusakai adalah berasaskan kepada hubungan nasab (kerabat), akad perkahwinan, wala’ dan Islam.

2. Tidak menafikan hak dalam pusaka antara lelaki dan perempuan, kecil atau besar, di mana semua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh pewaris (si mati).

3. Ibu bapa dan anak-anak tidak digugurkan daripada menerima harta pusaka dalam apa keadaan sekalipun. Kemungkinan kadar bahagian mereka dalam pusaka boleh berubah sekiranya terdapat   ahli -ahli waris yang lain.

4. Saudara-saudara lelaki dan perempuan tidak akan menerima harta pusaka sekiranya ada dua ibu bapa si 9 mati. Kewujudan saudara-saudara boleh mengurangkan bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6.

5. Apabila wujud ahli waris lelaki dan perempuan dalam satu kes, ahli waris lelaki akan mengambil dua bahagian ahli waris perempuan, atau dua bahagian untuk ahli waris lelaki dan satu bahagian untuk ahli waris perempuan.


DASAR UMUM DALAM UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM

Undang-undang Pusaka Islam dibina di atas asas yang kukuh , yang tidak wujud dalam sistem pusaka yang lain. Dasar ini merupakan ciri utama kepada Undang-undang Pusaka Islam, iaitu:

1.  Al-Wasatiyyah, iaitu satu sistem yang bersifat pertengahan (wasatiyyah) berbanding dengan sistem kapitalis dan komunis. Pemilikan individu diberi pengiktirafan dan dijamin melalui Undang-undang Pusaka Islam.

 2.  Al-Tawazun, iaitu satu sistem yang memberi perimbangan kepada pemilik harta untuk melupuskan hartanya atas kadar 1/3 selepas kematian dalam bentuk wasiat untuk kebajikan, dan 2/3 lagi untuk ahli- ahli waris sebagai harta pusaka mengikut hukum Syarak.

3.  Al-Adalah; iaitu satu sistem pembahagian pusaka secara adil  kepada semua ahli-ahli waris berdasarkan fitrah manusia, keperluan dan  keakraban mereka dengan pewaris.

4. Al-Ijbar; iaitu satu sistem yang mewajibkan semua ahli-ahli waris menerima harta pusaka secara faraid dan pewaris tidak boleh menegah salah seorang ahli-ahli waris daripada menerima harta pusakanya, malah ahli-ahli waris wajib menerima harta pusaka segera selepas kematian, kecuali dia melepaskan haknya.

5. Perwarisan dikalangan keluarga terdekat; iaitu perwarisan yang berlaku dikalangan kaum kerabat terdekat dengan pewaris seperti suami isteri, dua ibu bapa,  anakanak, saudara-saudara, bapa-bapa saudara dan dhawi alarham(menurut pendapat Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal) .

 6. Penetapan bahagian untuk ahli-ahli waris; iaitu ahliahli waris fardu dan  asabah  akan menerima pusaka. Bahagian ahli-ahli waris  ashab al-furud telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Bahagian mereka sama ada 1/2, 1/4, 1/8, 2/3 , 1/3 atau 1/6 sepertimana dijelaskan dalam nas alQuran.

 7. Ahli-ahli waris yang syumul; iaitu ahli-ahli waris yang berhak menerima pusaka adalah merangkumi semua ahliwaris atau kerabat, sama ada kecil atau besar, tua  atau muda, kaya atau miskin dan janin dalam kandungan ibu mereka juga diberi hak dalam pusaka. Demikian juga suami atau isteri berhak menerima harta pusaka sekalipun mereka bukan kerabat, tetapi mereka mempunyai hubungan suci perkahwinan, pengorbanan, tolong menolong dan kesetiaan di antara mereka.

 8. Hak wanita dan kanak-kanak dalam pusaka dan kadarnya; iaitu wanita dan kanak-kanak kecil dijamin hak mereka dalam pusaka Islam. Kadar yang sepatutnya diterima oleh wanita adalah 2/3, 1/3, 1/6, 1/2, 1/4 atau 1/8. Kanak-kanak kecil atau besar kadar penerimaan mereka dalam pusaka adalah sama sahaja.

 9. Keutamaan kepada kaum kerabat yang lebih hampir dengan pewaris jika tidak ada halangan tertentu yang boleh menghalang mereka daripada menerima harta pusaka.

 10. Berlebih kurang kadar (al-tafadul) dalam pembahagian pusaka adalah berasaskan kepada keperluan ahli-ahli waris (al-hajah), umpamanya wanita dan kanak-kanak kecil lebih memerlukan kepada harta, anakanak si mati lebih memerlukan kepada harta berbanding dengan bapa dan datuk mereka dan lelaki lebih memerlukan kepada harta berbanding dengan wanita kerana lelaki memikul tanggungjawab tertentu dalam agama.

 11. Hukum pusaka Islam bersifat tetap (thabat); iaitu tidak berubah dan tidak boleh bertukar ganti sekalipun masa, lokasi dan individu berubah kerana ia merupakan ketetapan Allah s.w.t. melalui nas al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. kecuali dalam kes perwarisan datuk ketika bersama saudara-saudara dalam menerima pusaka dan wasiat wajibah yang ada ruang untuk berijtihad.


FARAID : Pengurusan Wasiat Harta Pusaka - Siri 3


ASPEK KESYUMULAN DALAM UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM

Undang-Undang Pusaka Islam adalah satu sistem pembahagian  pusaka yang  syumul  sama dengan bidang undang-undang Islam yang lain. Manifestasi kesyumulan undang-undang ini dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti sebab-sebab perwarisan, liabiliti dan hak terhadap harta pusaka, penentuan ahli-ahli waris dan kadar yang sepatut mereka terima, saringan ahli-ahli waris melalui doktrin al-hajb, pembahagian pusaka kepada janin, khuntha dan mafqud, doktrin takharuj dan lain-lain.

1. PERKARA ASAS DAN LIABILITI DALAM PEMBAHAGIAN PUSAKA

Pembahagian harta pusaka tidak akan berlaku dalam Islam kecuali terdapat tiga rukun dan sebab-sebab perwarisan, iaitu al-muwarrith, al-warith  dan  al-mauruth. Al-Muwarrith iaitu pewaris itu mati sama ada secara hakiki, hukmi atau  taqdiri.  Al-Warith ialah ahli waris yang akan menerima harta pusaka dan dia disyaratkan hidup pada masa kematian pewaris, sama ada secara hakiki atau taqdiri. Manakala  al-mauruth  ialah harta pusaka yang dimiliki oleh pewaris, sama ada harta tak alih atau harta alih dan hak-hak yang berkaitan dengan harta.

Undang-Undang Pusaka Islam menetapkan empat sebab perwarisan, keempat-empat sebab iaitu nasab (kerabat), perkahwinan, wala’ dan agama Islam (Baitulmal). Sungguhpun keempat-empat sebab perwarisan telah dipenuhi, tetapi pembahagian pusaka tidak akan berlaku kecuali syarat-syarat dibawah telah dipenuhi sepenuhnya, iaitu:

(i) Pewaris telah meninggal dunia sama ada secara hakiki, hukmi   atau taqdiri.

(ii) Ahli waris hendaklah wujud atau hidup pada saat kematian pewaris sama ada hidup secara hakiki atau taqdiri.

(iii) Mengetahui status dan habuan ahli waris serta tidak ada halangan perwarisan, seperti pembunuhan, perhambaan dan perbezaan agama.



Apabila rukun dan syarat-syarat di atas telah dipenuhi,mengikut Undang-undang Pusaka Islam, harta pusaka itu tertakluk kepada beberapa liabiliti atau hak yang wajib ditunaikan oleh ahli-ahli waris sebelum ia diagihagihkan mengikut pembahagian faraid. Lialibiliti atau hak tersebut hendaklah ditunaikan mengikut keutamaan berikut:

(i) Menjelaskan perbelanjaan pengkebumian dan pengurusan jenazah seperti belanja memandi, mengkafan, membawa jenazah ke kubur, menggali kubur dan mengkebumikannya mengikut kadar pertengahan.

(ii) Menjelaskan hutang-hutang si mati sama ada hutang Allah seperti zakat, kaffarah, nazar dan haji fardu atau hutang sesama manusia menurut pendapat jumhur. Mazhab Hanafi tidak mewajibkan hutang Allah s.w.t dijelaskan kerana ia telah digugurkan dengan kematian.

(iii) Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian oleh salah seorang suami atau isteri yang masih hidup jika harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan dan kedua-dua pihak masing-masing ada sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kadarnya akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

(iv) Melaksanakan wasiat yang dibuat oleh si mati (jika ada) atas kadar 1/3 daripada harta pusaka selepas dijelaskan perkara-perkara di atas. Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris yang berhak kepada harta pusaka walaupun kadarnya kurang daripada 1/3, kecuali ahli-ahli waris lain bersetuju dengan wasiat tersebut dan persetujuan itu diperolehi selepas kematian dan bukan pada masa hidup pewasiat.

(v) Pembahagian harta pusaka kepada ahli-ahli waris yang berhak menurut hukum faraid selepas ditunaikan perkara-perkara tersebut di atas.


2. PENENTUAN AHLI-AHLI WARIS DAN KADARNYA

Undang-Undang Pusaka Islam telah menentukan secara jelas dan  syumul  ahli-ahli waris yang berhak menerima pusaka serta bahagian mereka masing-masingsepertimana dijelaskan dalam al-Quran.Pembahagian ahliahli waris dapat dikategorikan kepada tiga jenis, iaitu ahli waris ashab al-furud, asabah dan dhawi al-arham.

Ahli Waris Ashab al-furud

Ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.  Ashab al-furud terdiri daripada 12 golongan iaitu suami, isteri, ibu, bapa, datuk (bapa kepada bapa), nenek (ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa), anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan),saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan dan saudara lelaki seibu. Golongan ashab al-furud merupakan ahli waris yang paling utama dan didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta pusaka berbanding ahli waris  asabahdan  dhawi al-arham. Ahli waris  ashab al-furud akan menerima salah satu bahagian atau fardu berikut, iaitu 1/2, 1/4, 1/8, 1/6, 1/3, 2/3 atau 1/3 baki.

(i) Suami
 Mendapat 1/2 jika isteri (si mati) tidak mempunyaianak(lelaki atau perempuan)atau cucu ke bawah, atau 1/4 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.

(ii) Isteri
 Mendapat 1/4 jika si mati (suami) tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah, atau 1/8 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.

(iii) Bapa
 Mendapat 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki atau ke bawah, atau  1/6 dan asabah jika si mati mempunyai anak perempuan, atau asabah jika si mati tidak mempunyai anak(lelaki atau perempuan), anak perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah.

(iv) Datuk (bapa kepada bapa) 
 Kedudukan datuk sama seperti bapa, tetapi datuk tidak akan mewarisi harta pusaka selagi ada bapa kerana datuk didinding oleh bapa. Datuk akan mendapat 1/6 atau 1/6 dan asabah atau  asabah iaitu sama seperti bapa.

(v) Ibu
 Mendapat 1/6 jika si mati mempunyai anak, atau anak  perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah, atau mempunyai  beberapa orang saudara(lelaki atau perempuan); atau 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka jika si mati tidak mempunyai ahli-ahli waris tersebut di atas; atau 1/3 baki jika si  mati meninggal salah seorang suami atau isteri dan bapa tanpa  ahli waris yang lain (iaitu dalam kes Umariyyatain sahaja).

(vi) Nenek
 Nenek tidak akan mewarisi harta selagi mempunyai ibu. Nenek hanya mendapat 1/6 sama ada seorang ataulebih.

(vii) Anak perempuan
 Mendapat 1/2 jika seorang, 2/3 jika dua orang atau lebih atau mendapat  asabah bi al-ghayr ketika bersamasama dengan  anak lelaki. Anak lelaki mendapat dua bahagian anak perempuan.

(viii) Anak perempuan kepada anak lelaki
 Mendapat 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih, 1/6 jika bersama-sama seorang anak perempuan; mendapat  asabah bi al-ghayr ketika bersama-sama dengan anak lelaki kepada anak lelaki atau terdinding oleh anak lelaki atau oleh dua orang anak perempuan, kecuali jika terdapat anak lelaki  kepada anak lelaki yang  samasama menerima asabah bi al-ghayr.

(ix) Saudara perempuan seibu sebapa
Mendapat 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih;  asabah bi al-ghayr ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa; asabah ma’a al-ghayr ketika bersama-sama anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua- duanya; atau terdinding oleh anak lelaki atau cucu lelaki atau ke bawah.

(x) Saudara perempuan sebapa
 Mendapat 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua atau lebih; 1/6 jika bersama dengan seorang saudara perempuan seibu sebapa;  asabah bi al-ghayr jika bersama saudara lelaki sebapa;  asabah ma’a al-ghayr ketika bersama dengan anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua-duanya; atau terdinding oleh anak lelaki, cucu lelaki, bapa, saudara lelaki seibu sebapa, dua orang saudara perempuan seibu sebapa (kecuali jika ada saudara lelaki sebapa) dan oleh seorang saudara perempuan seibu sebapa ketika dia menerima  asabah ma’a al-ghayr.

(xi) Saudara perempuan seibu
 Mendapat 1/6 jika seorang atau 1/3 jika dua orang atau lebih; atau didinding oleh anak keturunan sama ada lelaki atau perempuan, bapa atau datuk.

(xii) Saudara lelaki seibu
 Mendapat 1/6 jika seorang atau 1/3 jika dua orang atau lebih; atau didinding oleh anak keturunan lelaki atau perempuan, bapa atau datuk. Ahli-ahli waris   ashab al-furud terbahagi kepada tiga golongan, iaitu:

(a) Ahli waris utama yang terdiri daripada suami, isteri, ibu, bapa dan anak perempuan. Mereka tidak digugurkan dari menerima pusaka secara mutlak.

(b) Ahli waris gantian yang terdiri daripada datuk, nenek dan anak perempuan kepada anak lelaki. Ahli-ahli waris ini akan menggantikan tempat ahli waris utama dalam menerima pusaka seperti datuk menggantikan tempat bapa, nenek menggantikan tempat ibu dan anak perempuan kepada anak lelaki menggantikan tempat anak perempuan.

(c) Ahli waris sisian (hawasyi) yang terdiri daripada saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki dan perempuan seibu.



Ahli Waris Asabah

Menurut istilah faraid, ahli waris asabah ialah ahli-ahli waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka dalam harta pusaka sama ada melalui al-Quran atau al-Sunnah.
Kadangkala mereka menerima semua harta pusaka, kadangkala baki dan kadangkala tidak memperolehi harta kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud.

Jenis-jenis Asabah

Asabah terbahagi kepada dua jenis iaitu  asabah nasabiyyah (qarabah hukmiyyah) iaitu asabah bagi orang yang memerdekakan hamba dan asabah nasabiyyah, iaitu ahli waris si mati yang mempunyai hubungan nasab (kerabat) dengannya yang terdiri daripada golongan  lelaki tanpa diselangi oleh perempuan seperti anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki, bapa, datuk, saudara lelaki seibu sebapa, sebapa, bapa saudara seibu sebapa, sebapa dan anak lelaki mereka. Begitu juga ahli waris  ashab al-furud yang perempuan ketika bersama-sama saudara lelakinya seperti anak perempuan ketika bersama anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa ketika bersama dengan saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan
sebapa ketika bersama saudara lelaki sebapa. Mereka adalah ahli waris asabah nasabiyyah.

Asabah nasabiyyah terbahagi kepada tiga jenis, iaitu

 1) Asabah bi al-nafs : iaitu  asabah dengan dirinya sendiri. Ahli-ahli waris  yang termasuk dalam kategori ini ialah semua ahli waris lelaki yang tidak diselangi dengan si mati oleh perempuan. Mereka terdiri daripada 12 orang iaitu anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki, bapa,  datuk, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa, bapa saudara (sebelahbapa) seibu sebapa,bapa audara (sebelah bapa) sebapa, anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa dan anak lelaki kepada bapa saudara sebapa.

Golongan  asabah bi al-nafs terbahagi kepada empat peringkat mengikut keutamaan dalam menerima  asabah(baki), iaitu;

a) Jihat al-bunuwwah ; iaitu anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

b) Jihat al-ubuwwah ; iaitu bapa, datuk dan seterusnya ke atas selagi tidak diselangi oleh perempuan.

c) Jihat al-ukhuwwah ; iaitu saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

d) Jihat al-umumah ; iaitu bapa saudara (sebelah bapa) seibu sebapa , bapa saudara (sebelah bapa) sebapa, anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa, anak lelaki kepada bapa saudara 21sebapa dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

Mengikut kaedah faraid,  jihat al-bunuwwahdidahulukan daripada  jihat al-ubuwwah,  jihat al-ubuwwah pula didahulukan daripada  jihat al-ukhuwwah dan seterusnya mengikut susunan atau tertib. Pembahagian jihat di atas adalah mengikut pendapat Imam Abu Hanifah. Sebaliknya, mengikut Jumhur ulama’ termasuk mazhab Shafi’e, mereka menyamakan datuk (bapa kepada bapa dan seterusnya ke atas) dengan saudara lelaki (seibu sebapa atau sebapa) dalam satu jihat.

2) Ahli waris asabah bi al-ghayr.

Ahli waris  asabah bi al-ghayr terdiri daripada empat orang ahli waris perempuan daripada ahli waris  ashab alfurud iaitu anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. Mereka akan menerima asabah (baki) ketika bersama-sama dengan saudara lelaki mereka yang sedarjat atau setaraf dengan mereka, seperti anak perempuan ketika bersama dengan anak lelaki, anak perempuan kepada anak lelaki ketika bersama dengan anak lelaki kepada anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa ketika bersama dengan saudara lelaki sebapa. Kadar pembahagian dalam asabah bi al-ghayr ialah bahagian lelaki menyamai 2 bahagian perempuan atau mengikut nisbah 2 : 1 iaitu 2 bahagian untuk ahli waris lelaki dan satu bahagian untuk ahli waris perempuan.

Terdapat beberapa syarat bagi membolehkan ahli waris  asabah bi al-ghayr menerima baki harta bersamasama dengan saudara-saudara lelaki mereka, iaitu ;

(i) Ahli waris perempuan yang menjadi  asabah bi alghayr hendaklah terdiri daripada ahli waris ashab al-furud.

(ii) Wujud persamaan  jihat antara ahli waris perempuan asbah al-Furud  dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannya. Oleh itu anak perempuan tidak boleh ditaksibkan oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa.

(iii) Wujud persamaan darjat antara ahli waris perempuan ashab al-furud  dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannya. Oleh itu, anak perempuan kepada anak lelaki tidak boleh ditaksibkan oleh anak lelaki, dan saudara perempuan seibu sebapa tidak boleh ditaksibkan oleh anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa.

(iv) Wujud persamaan kekuatan hubungan kekerabatan antara ahli waris perempuan ashab al-furud dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannnya. Oleh itu, saudara perempuan seibu sebapa tidak boleh ditaksibkan oleh saudara lelaki sebapa. Terdapat beberapa pengecualian kepada kaedah asal asabah bi al-ghayr di atas, iaitu mengenai anak perempuan kepada anak lelaki dan datuk bersama dengan saudarasaudara perempuan sama ada seibu sebapa atau sebapa. Anak perempuan kepada anak lelaki boleh ditaksibkan olehanak lelaki kepada anak lelaki kepada anak lelaki (cicit lelaki). Contohnya, seorang mati meningggalkan dua orang anak perempuan, seorang anak perempuan kepada anak lelaki dan seorang anak lelaki kepada anak lelaki kepada anak lelaki (cicit lelaki), maka dua orang anak perempuan mendapat 2/3, seorang anak perempuan kepada anak lelaki dan seorang anak lelaki kepada anak lelaki kepada anak lelaki (cicit lelaki) bersama-sama mendapat baki harta (1/3) bahagian dengan kadar lelaki mendapat dua bahagian dan perempuan mendapat satu bahagian (nisbah 2:1).

3) Ahli waris asabah ma’a al-ghayr

Ahli waris  asabah ma’a al-ghayr hanya dua orang sahaja iaitu saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa apabila menerima pusaka bersamasama dengan anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama dengan kedua-duanyasekali. Saudara-saudara perempuan seibu sebapa atausebapa akan menerima asabah (baki) harta jika masih ada setelah diberikan kepada ahli waris  ashab al-Furud iaitu anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki. Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri, ibu, seorang anak perempuan, seorang anak perempuan kepada anak lelaki dan saudara perempuan seibu sebapa, maka seorang isteri mendapat 1/8, ibumendapat 1/6, seorang anak perempuan mendapat 1/2, seorang anak perempuan kepada anak lelaki mendapat 1/6 dan seorang saudara perempuan seibu sebapa mendapat bakinya (asabah).

Terdapat dua syarat yang membolehkan saudara perempuan seibu sebapa menjadi ahli waris asabah ma’a al-ghayr iaitu ;

(i) Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa hendaklah mempusakai bersama-sama dengan anak perempuan, atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua-dua sekali.

(ii) Tidak ada bersama-sama mereka saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa. Jika ada saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa maka saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa akan menerima asabah bi al-ghayr dan pembahagiannya berdasarkan nisbah 2:1. Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa yang menjadi ahli waris asabah ma’a al-ghayr, maka kedudukan mereka sama seperti saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa. Ini bermakna mereka dapat mendinding ahli warisahli waris lain yang didinding oleh saudara lelaki mereka.


Ahli waris dhawi al-arham

Menurut istilah,  dhawi al-arham ialah ahli waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ahli waris ashab al-furud dan asabah sama ada lelaki atau perempuan, seperti anak lelaki dan  anak perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan anak perempuan kepada saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.

Pendapat Fuqaha Mengenai Pewarisan Dhawi al-Arham Fuqaha berselisih pendapat tentang pewarisan  dhawi alarham kepada dua golongan, iaitu;

i) Menurut Saidina Ali, Umar, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Muaz bin Jabal, Mujahid, Ikramah, Shurayh, Masruq, al-Nakhai’, alSha’bi dan lain-lain,mereka berpendapat bahawa ahli waris dhawi al-arham berhak menerima harta pusaka apabila tidak ada ahli waris  ashab al-furud dan  asabah kecuali suami atau isteri. Pendapat ini merupakan pendapat  Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal.

ii) Menurut Saidina Abu Bakar, Uthman, Zayd bin Thabit, Sufyan al-Thawri, al-Zuhri, al-Awzai, Ibn Jarir al-Tabari dan fuqaha Hijaz, mereka berpendapat bahawa ahli waris  dhawi alarham tidak boleh mewarisi harta pusaka kerana tidak terdapat nas-nas yang jelas dari al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Shafie, Maliki  dan Ibn Hazm al-Zahiri.

Syarat Dan Cara Pewarisan Dhawi al-Arham

Bagi golongan pertama yang berpendapat bahawa ahli waris dhawi al-arham berhak menerima harta pusaka , mereka telah menetapkan  dua syarat berikut iaitu ;

i) Ahli waris  ashab al-furud tidak ada dan jika terdapat ahli waris  ashab al-Furud,  mereka akan mengambil bahagiannya sebagai ahli waris ashab al-furud dan bakinya dengan cara al-radd.

ii) Ahli waris  asabah tidak ada dan jika terdapat ahli waris asabah maka semua harta akan dihabiskan oleh ahli waris asabah.

Di kalangan fuqaha’ yang membolehkan  dhawi al-arhammenerima harta pusaka, mereka berbeza pendapat pulatentang cara pewarisannya seperti berikut ;

i) Kaedah Ahl al-Rahm – kaedah ini dikenali sebagai aliran altaswiyah iaitu menyamaratakan ahli waris-ahli waris  dhawi al-arham dalam menerima harta pusaka. Oleh itu tidak ada perbezaan di antara ahli waris yang dekat dan ahli waris yang jauh dan antara lelaki dengan perempuan. Dasarpembahagian pusaka adalah secara sama rata kerana pewarisan mereka semata-mata atas dasar hubungan kerabat (rahim) dengan si mati.

ii) Kaedah Ahl al-Tanzil – kaedah ini dikenali sebagai kaedah penggantian kerana mereka meletakkan anak keturunan si mati daripada golongan  dhawi al-arham pada tempat orang tua mereka yang menghubungkan mereka dengan si mati sama ada dari kalangan ashab al-Furud atau asabahdan bahagian mereka juga sama, sama ada secara fardu atau asabah serta bahagian seorang lelaki dua kali ganda bahagian perempuan.

iii) Kaedah  Ahl al-Qarabah – kaedah ini melihat kepada keakraban dan kekuatan hubungan antara ahli waris dhawi al-arham dengan si mati sama ada dari segi  jihat, darjat 27atau kekuatan hubungan darah (qarabah) seperti mana yang berlaku dalam pewarisan asabah bi al-nafs.



3. SARINGAN AHLI-AHLI WARIS MELALUI DOKTRIN AL-HAJB (DINDINGAN)

Doktrin  al-hajb memainkan peranan yang amat penting dalam Undang-undang Pusaka Islam kerana ia akan menentukan kedudukan seseorang ahli waris samaada mereka berhak menerima harta pusaka atau sebaliknya. Seseorang ahli waris tidak berhak terhadap harta pusaka atas alasan terdapat ahli waris lain yang lebih dekat hubungan kekerabatan dan tarafnya dengan si mati, maka ahli waris tersebut dikeluarkan secara mutlak  (hajbb hirman). Kadangkala tedapat juga ahli waris yang akan menerima harta pusaka kurang sedikit kerana adanya ahli waris lain yang boleh mengurangkan kadar bahagian itu secara tak mutlak (hajb nuqsan).

Dari segi istilah, doktrin  al-hajb bermaksud tegahan atau halangan seseorang ahli waris daripada mendapat harta pusaka secara keseluruhan atau sebahagian, kerana ada ahli waris lain yang lebih berhak terhadap harta pusaka itu. Umpamanya, datuk dihalang atau didinding oleh bapa daripada mendapat harta pusaka dan suami dihalang atau didinding oleh anak lelaki atau anak perempuan si mati dari mendapat 1/2 bahagian kepada 1/4 bahagian dan sebagainya. Peranan doktrin  al-hajb dalam Undangundang Pusaka Islam adalah merupakan satu proses saringan terhadap ahli-ahli waris untuk menentukan  status dan hak mereka dalam pembahagian pusaka.

Pembahagian al-Hajb (Dindingan)

Al-Hajb terbahagi kepada dua bahagian iaitu al-hajb bi al-wasf dan  al-hajb bi al-shakhsi.  Al-Hajb bi al-wasfberkemungkinan berlaku kepada semua ahli waris jikasekiranya terdapat sifat atau halangan tertentu seperti pembunuhan, perhambaan dan berlainan agama. Manakala al-hajb bi al-shakhsi berlaku dengan wujud ahli waris tertentu (yang lebih dekat) yang boleh mendinding ahli waris lain sama ada secara hirman atau nuqsan. Mengikut undang-undang pusaka,  al-hajb bi alshakhsi terbahagi kepada dua jenis iaitu  hajb hirman dan hajb nuqsan.

1) Hajb Nuqsan dan contoh-contohnya. Hajb nuqsan ialah dindingan yang boleh mengurangkan bahagian ahli waris daripada mendapat saham yang besar kepada saham yang lebih rendah atau lebih sedikit kerana ada ahli waris lain. Hajb nuqsan boleh berlaku kepada lima orang ahli waris ashab al-furud berikut:

a) Suami boleh terdinding secara hajb nuqsan dari mendapat bahagian 1/2 kepada 1/4 dengan debab si mati mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada anak tersebut dengan suami ini atau suami lain.

b) Isteri boleh terdinding secara  hajb nuqsan dari mendapat bahagian 1/4 kepada 1/8 dengan sebab si mati mempunyai anak sama ada anak lelaki atau perempuan 29dan sama ada anak tersebut dengan isteri sekarang atau isteri-isteri terdahulu.

c) Anak perempuan kepada anak lelaki boleh terdinding secara  hajb nuqsan dari mmeninendapat bahagian 1/2 kepada 1/6 dengan sebab si mati mempunyai seorang anak perempuan.

d) Saudara perempuan sebapa boleh terdinding secara hajb nuqsan dari mendapat 1/2 kepada 1/6 dengan sebab si mati mempunyai seorang saudara perempuan seibu sebapa.

e) Ibu boleh terdinding secara hajb nuqsan dari mendapat 1/3 kepada 1/6 dengan sebab si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan), atau si mati mempunyai beberapa orang saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu.

2) Hajb Hirman dan contoh-contohnya Hajb hirman ialah tegahan atau halangan seseorang ahli waris daripada mendapat harta pusaka secara mutlak.

Hajb hirman boleh berlaku kepada tujuh golongan ahli waris berikut :

a) Datuk boleh didinding secara hajb hirman oleh bapa.

b) Nenek boleh didinding secara hajb hirman oleh ibu.

c) Saudara-saudara perempuan seibu sebapa boleh didinding secara  hajb hirman sama ada oleh anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki atau bapa secara ijmak. Walau bagaimanapun, menurut Abu Hanifah, datuk juga boleh menggugurkan saudarasaudara perempuan seibu sebapa secara  hajb hirman.

d) Saudara perempuan sebapa didinidng secara hajb hirman oleh dua orang saudara perempuan seibu sebapa, jika tidak ada bersama-samanya saudara lelaki sebapa.

e) Saudara (lelaki atau perempuan) seibu didinding secara  hajb hirman oleh bapa, datuk, anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki kepada anak lelaki, dananak perempuan kepada anak lelaki.

f) Anak perempuan kepada anak lelaki didinding secara hajb hirman oleh dua orang anak perempuan jika tidak ada bersama-samanya anak lelaki kepada anak lelaki.

 g) Anak lelaki kepada anak lelaki didinding secara hajb  hirman oleh anak lelaki. Walau bagaimanapun, terdapat enam golongan ahli waris  ashab al-furud dan  asabah yang langsung tidak terlibat dengan hajb hirman. Mereka ialah bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan, suami dan isteri. Ahli-ahli waris ini mempunyai pertalian dengan si mati secara terus tanpa ada ahli waris pengantara (wasitah), maka mereka akan menerima harta pusaka dalam apa keadaan sekalipun. Sebahagian besar ahli-ahli waris ini (selain anak lelaki) hanya terlibat dengan  hajb nuqsan.



3. HAK JANIN,  KHUNTHA DAN  MAFQUD DALAM HARTA PUSAKA.

 Undang-undang Pusaka Islam menentukan hak mempusakai harta pusaka kepada beberapa golongan tertentu, di antaranya ialah janin dalam kandungan ibunya,  khuntha dan  mafqud. Ketiga-tiga golongan ini telah diberi penekanan dalam Undang-undang Pusaka Islam sebagai satu sistem yang  syumul  bagi menjamin  hak dan keadilan kepada mereka.

Berhubung dengan hak janin dalam pusaka ,para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa janin itu berhak mendapat harta pusaka pewarisnya yang mati bersama-sama dengan ahli-ahli waris yang lain.Walaubagaimanapun, pewarisan janin tertakluk kepada dua syarat iaitu:

i) Janin itu sudah wujud di dalam kandungan ibunya semasa kematian pewaris.

ii) Janin itu dilahirkan dalam keadaan hidup walaupun beberapa saat.Undang-undang Pusaka Islam mengenalpasti beberapa tanda yang menunjukkan bahawa janin yang dilahirkan itu hidup, seperti menangis, menyusu, bernafas, bergerak anggota badannya dan sebagainya. Para fuqaha’ mempunyai pendapat yang berbeza sama ada seluruh badan janin itu perlu dilahirkan dalam keadaan hidup atau sebahagian besarnya sahaja. Bagi mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali mensyaratkan bahawa janin itu hendaklah dilahirkan dengan seluruh badannya dalam keadaan hidup. Jika sebahagian sahaja dilahirkan hidup dan kemudiannya meninggal dunia maka dia tidak berhak mewarisi harta pusaka sekalipun kelahiran itu diikuti dengan tangisan.

Setelah memenuhi syarat-syarat di atas, janin berhak mewarisi harta pusaka dan berapa bahagian harta yang sepatut disimpan sehingga kelahirannya. Menurut jumhur fuqaha’ , harta pusaka boleh dibahagikan sebelum kelahiran janin, tetapi bahagian yang perlu disimpan untuk janin ialah bahagian yang paling maksimum sama ada lelaki atau perempuan. Bagi mazhab Maliki hartapusaka tersebut tidak boleh dibahagikan sehinggalahjanin itu dilahirkan.


Pewarisan  khuntha telah dibincang dalam Undangundang Pusaka Islam secara terperinci bagi mempastikan status dan kedudukan mereka dalam menerima harta pusaka sama ada sebagai seorang waris lelaki atau perempuan. Dalam undang-undang Islam,  khuntha ialah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin iaitu lelaki dan perempuan, atau tidakterdapat sebarang tanda sama ada lelaki atau perempuan tetapi mempunyai tempat keluar air kencing sahaja. Dalam masalah penentuan jantina khuntha, para ulama faraid telah menetapkan beberapa tanda untuk mengenali jantina mereka. Di antara tanda-tanda tersebut ialah jika khuntha itu masih kecil, maka keadaan jantinanya boleh dipastikan dengan melihat tempat keluar air kecingnya sama ada melalui alat kelamin lelaki atau perempuan. Jika air kencing keluar melalui alat kelamin lelaki, maka dia dianggap lelaki dan mewarisi bahagian pusaka sebagai ahli waris lelaki. Jika ia keluar melalui alat kelamin perempuan, maka dia dianggap perempuan dan mewarisi bahagian pusaka sebagai ahliwaris perempuan. Jika air kencing itu keluar melalui kedua-dua alat kelamin, maka ia harus dilihat kepada alat kelamin mana yang lebih banyak mengeluarkan air kencing itu. Jika air kencing lebih banyak keluar melalui alat kelamin lelaki, maka dia dianggap sebagai lelaki dan demikian juga sebaliknya. Tetapi jumhur fuqaha’berpendapat penentuannya hendaklah dibuat dengan melihat alat kelamin mana yang lebih dahulu mengeluarkan air kencing. Jika air kencing keluar melalui alat kelamin lelaki lebih dahulu daripada perempuan, maka dia dianggap sebagai lelaki dan demikian sebaliknya. Jika  khuntha itu seorang dewasa, maka ia harus dilihat kepada tanda-tanda yang dia adalah seorang lelaki seperti tumbuh misai, janggut dan sebagainya, maka dia dianggap sebagai lelaki dan mewarisi bahagian pusaka sebagai ahli waris lelaki.

Sebaliknya jika terdapat tanda-tanda yang ianya adalah seorang perempuan seperti keluar haid, tumbuh buah dada, hamil dan seumpamanya, maka dia dianggap sebagai perempuan dan mewarisi pusaka sebagai ahli waris perempuan. Terdapat setengah pendapat yang mengatakan bahawa sekiranya tidak dapat ditentukan jantina seseorang  khuntha,  maka ia akan ditentukan dengan melihat bilangan tulang rusuk di bahagian bawah sebelah kiri badannya. Jika ternyata bilangan tulang rusuk di sebelah kiri adalah kurang satu batang daripada sebelah kanan, maka dia dianggap sebagai ahli waris lelaki. Terdapat pandangan yang lain yang mengatakan bahawa penentuan jantina khuntha boleh ditentukan melalui naluri dan keinginannya sama adakepada seorang perempuan atau lelaki. Jika nalurinya berminat kepada seorang perempuan, maka dia dianggap sebagai seorang lelaki dan demikian juga sebaliknya.

Dalam masalah  mafqud, Undang-undang Pusaka Islam memberi perhatian khusus tentang pembahagian harta pusaka kepada mereka.  Mafqud bermaksud seseorang yang telah hilang atau ghaib tanpa diketahui keadaannya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Dalam masalah orang yang hilang, maka isterinya tidak boleh dikahwini dan hartanya tidak boleh dipusakai serta hak-haknya hendaklah dipelihara sehingga jelas kedudukannya sama ada dia masih hidup atau telah meninggal dunia.

Kuasa untuk menentukan dan membuat keputusan  sama ada mafqud itu masih hidup atau telah meninggal dunia adalah mahkamah dengan berpandukan kepada bukti-bukti, penyiasatan atau telah tamat tempoh menunggu (sepertimana ditentukan oleh fuqaha’).

Apabila mahkamah telah memutuskan bahawa dia telah meninggal dunia maka kematiannya dianggap berlaku pada masa dikeluarkan keputusan mahkamah itu. Ahli-ahli waris yang ada pada masa keputusan oleh mahkamah dikeluarkan adalah berhak mewarisi hartanya. Demikian juga orang mafqud boleh mewarisi harta pewarisnya yang meninggal dunia sebelum keputusan mahkamah dibuat terhadapnya. Jika keputusan mengenai kematiannya telah dibuat oleh mahkamah, tetapi ternyata kemudiannya dia masih hidup, maka dia tidak boleh menuntut kembali bahagian harta yang telah dihabiskan oleh ahli warisnya kecuali mengambil apa harta yang masih berbaki sahaja.



4. DOKTRIN TAKHARUJ.

Sungguhpun Undang-undang Pusaka Islam telah menentukan ahli-ahli waris tertentu dalam menerima harta pusaka dan kadar bahagian mereka masingmasing, tetapi undang-undang itu telah memberi ruang yang seluas-luasnya kepada ahli waris untuk menerima harta pusaka pewaris atau sebaliknya. Penolakan ahli waris terhadap harta pusaka boleh dilakukan melaluidoktrin takharuj. 

Takharuj dalam Undang-undang Pusaka Islam bermaksud seorang waris menarik diri dari mengambilharta pusaka sama ada sebahagian atau keseluruhannya dengan salah seorang ahli waris ataubeberapa ahli waris yang lain dengan mengambil bayaran (‘iwad) tertentu sama ada dari harta pusaka itu atau harta-harta yang lain atau tanpa bayaran. Takharujdengan mengenakan bayaran adalah satu bentuk akad mu’awadah  yang diharuskan oleh hukum syarak jika terdapat keredaan atau kerelaan di antara ahli-ahli waris yang terlibat.

Doktrin  takharuj diamalkan dalam pembahagian pusaka dalam pelbagai bentuk dan dengan pelbagai cara pembayarannya adalah sematamata untuk memberi keselesaan dan kebebasan kepada ahli-ahli waris yang terlibat. Ia hendaklah dilakukan dengan persetujuan dan kerelaan ahli-ahliwaris yang berhak dalam pembahagian pusaka itu, sama ada secara individu atau kumpulan  ahli-ahli waris tertentu dan sama ada dengan mengenakan bayaran tertentu atau tanpa bayaran. 

Dalam melaksanakan doktrin  takharuj, terdapat tiga keadaan yang boleh membatalkan pelaksanaannya, iaitu apabila tuntutan hutang melebihi daripada harta pusaka si mati yang ada. Sedangkan waris-waris tidak bersedia untuk membayar hutang tersebut, maka takharuj dianggap batal. Kedua, apabila timbul tuntutan wasiat terhadap si mati, maka tuntutan itu boleh menyebabkan kadar sebenar bahagian masing-masing ahli waris dalam harta pusaka akan berubah. Ketiga, apabila wujud seorang ahli waris yang tidak diketahui  sebelum pembahagian atau pada masa  takharuj, sedangkan kehadirannya boleh menyebabkan perubahan dalam hak dan bahagian harta pusaka ahliahli waris berkenaan. Berdasarkan ketiga-tiga keadaan di atas, doktrin takharuj tidak boleh dilaksanakan.




5. KESIMPULAN DAN CADANGAN

 Undang-undang Pusaka Islam merupakan ketetapan Allah s.w.t melalui nas yang qat’i iaitu ayat 11, 12 dan 176 surah al-Nisa’. Ayat-ayat tersebut menerangkan ahli-ahli waris yang berhak terhadap harta pusaka dan kadar bahagian yang sepatutnya mereka terima seperti 1/2, 1/4, 1/8, 1/3, 2/3, atau 1/6. Undang-undang Pusaka Islam telah membawa beberapa pembaharuan yang tidak wujud dalam undang-undang lain sebelumnya.

Undang-undang ini disyari’atkan oleh Allah s.w.t semata-mata untuk memberi keadilan kepada manusia sejagat. Oleh itu, pensyari’atan Undang-undang Pusaka Islam mempunyai hikmat dan falsafah tersendiri yang tidak dapat diselami dan dihayati oleh segelintir manusia hari ini. Undang-undang inimempunyai dasar yang jelas dan bersifat syumul kerana ia merupakan ketetapan Allah s.w.t yang lebih mengetahui segala-galanya.

Bagi menjamin pelaksanaan dan pematuhan Undang-undang Pusaka Islam (faraid) secara berterusan dikalangan orang Islam di negara ini dan institusi  atau agensi yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka mereka, maka dengan ini dicadangkan beberapa syor, langkah dan tindakan yang boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti berikut:

 1. Memperkenalkan Undang-undang Pusaka Islam dalam bentuk undang-undang bertulis (statut) yang boleh dijadikan panduan dan amalan di Mahkamah-mahkamah Syariah, institusi atau agensi pengurusan harta Islam, pengamal undang-undang Syariah ,syarikat koperat, pemegang-pemegang amanah dan orang Islam di Malaysia amnya. Beberapa negara  Islam di Timur Tengah dan rantau ini telah meluluskan Undang-undang Pusaka 38Islam secara bertulis seperti  Qanun Mawarith Mesir 1943 (bagi undang-undang pusaka tak berwasiat),  Qanun Wasiyyah Mesir 1946 (bagi undang-undang pusaka berwasiat) dan sebagainya.

 2. Mengkaji dan mengenalpasti beberapa statut dan undang-undang bertulis yang berkaitan dengan pengurusan harta orang Islam yang sedang berkuatkuasa di  negara ini supaya tidak ada peruntukan yang tidak selari atau bercanggah dengan undang-undang Islam, sepertiAkta Pemegang Amanah 1949, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (terutamanya peruntukan yang berkaitan dengan Adat Perpatih), Kanun Tanah Negara1965 dan sebagainya.

 3. Mempertingkatkan dan memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negara ini dengan cara mengembalikan kuasa pentadbiran pusaka orang-orang Islam ke Mahkamah Syariah sama seperti sebelum kemerdekaan. Bagi melaksanakan cadangan ini, satu pindaan kepada Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (yang mengandungi tiga senarai), hendaklah dilakukan dengan bijaksana.

4. Menyeragam dan menyelaraskan had bidangkuasa  mal  antara Mahkamah Rendah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Syariah di seluruh Malaysia supaya tidak wujud perbezaan yang ketara, terutamanya antara Mahkamah Syariah di Semenanjung Malaysia dengan Mahkamah Syariah di Negeri Sabah dan Sarawak.

 5. Penyediaan dan proses pengeluaran Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris oleh Mahkamah Syariah di Negeri-negeri hendaklah dibuat setelah melalui proses perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, bertujuan untuk mengelak daripada berlaku kesilapan. Kes-kes pembahagian pusaka yang rumit seharusnya dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri untuk keputusan.

 6. Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris yang disediakan melalui  E-Faraid atau  E-Syariah oleh agensi pengurusan harta pusaka orang Islam sepatutnya terlebih dahulu disahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri-negeri agar tidak berbangkit persoalan keesahannya kemudian hari. Program  E-Faraid dan  E-Syariah hendaklah disemak semula bagi tujuan penyeragaman.

 7.  Mengenalpasti satu badan peringkat Kebangsaan yang akan bertanggungjawab untuk mengawalselia dan memantau institusi atau agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung denganpengurusan harta orang Islam, umpamanya pengurusan pusaka, wasiat, hibah, wakaf dan seumpamanya.

 8. Mewajibkan institusi atau agensi pengurusan harta orang Islam untuk melantik Panel Syariah mereka masing-masing supaya produk syariah yang diperkenalkan dalam pasaran dan operasinya tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

 9. Mempastikan semua fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan  berkaitandengan pembahagian harta pusaka, harta penama, takaful dan seumpamanya, dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak berkenaan.

10. Memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat Islam di Malaysia mengenai Undang-undangPusaka Islam, undang-undang wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya, dengan cara menganjurkan seminar, kolokium, konvensyen, diskusi, dialog dan seumpamanya, sama ada di Pusat-pusat Latihan dan sebagainya 

RUJUKAN

Abu Zahrah, Muhammad.1963.  Ahkam al-tarikat wa al-mawarith. t.tp.Dar al- Fikr al-Arabi. al-Ghamidi, Nasir bin Muhammad bin Masyri. 2002.  Al-Khulasah fi ‘ilm al-faraid. Makkah al-Mukarramah: Dar Tayyibah al-Khudra’. al-Ghundur, Ahmad.1966. al-Mirath fi al-Islam wa al-qanun. Mesir: Dar al-Ma’arif. al-Hasri, Ahmad.1972.al-Tarikat wa al-wasaya fi al-fiqh al- Islami. Amman : Maktabat al-Aqsa.  Ibn Rushd.1989.  Bidayat al-mujtahid wa nihayat al-muqtasid. Juz.2. Beirut: Dar al-Jil. 41Makhluf, Hasanayn Muhammad.1958. al-Mawarith fi al-shari’ah al-islamiyyah.Cetakan  Ke-3. t.tp: Matbaah li Jannah al-Bayan al-Arabi. Muhammad Muhiy al-Din Abd. Al-Hamid.1991.  Ahkam al-mawarith fi al-shari’ah al-islamiyyah ‘ala al- madhahib al-a’immah al-arba’ah. Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah. Mustafa ‘Asyur.t.th.’Ilm al-mirath.Qahirah:Maktabat al-Qur’an.  al-Sabuni, Muhammd Ali.1989.al-Mawarith fi al-shariah al-islamiyyah fi daw al-kitab wa al-sunnah.  Damshiq:Dar al-Qalam.  al-Zuhayli, Wahbah.1989.  al-Fiqh al-islami wa adillatuh. Juz.8. Cet.ke-3. Damsyiq :Dar al-Fikr. al-Zuhayli, Muhamad. 2001. Al Faraid wa al Mawarith wa alwasoya. Damsyiq : Dar al-Kalim al Tayyib.  Mohd Zamro Muda dan Mohd Ridzuan Awang. 2006.   Undangundang pusaka Islam: Pelaksanaan di  Malaysia   Bangi:
Jabatan Syariah, UKM

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget