Al-Quran dan Islam dihina oleh orang Kristian dan Yahudi

SAAT paderi tua, Terry Jones mengumumkan untuk membakar beratus-ratus kitab suci al-Quran di Dove Otreach Center, Florida Amerika Syarikat (AS) sebagai memperingati tahun kesembilan kejadian serangan 11 Sept 2001, umat Islam tidak boleh sekadar berdiam diri membiarkan ia berlaku.


Ekoran tindakan Jones itu, umat Islam telah tampil menemui paderi tersebut dengan tawaran untuk membeli kitab-kitab al-Quran tersebut bagi mengelakkannya dibakar.
"Tuan Jones, daripada al-Quran itu dibakar, adalah lebih baik jika kitab itu tuan jualkan sahaja kepada saya. Berapa pun harganya saya sanggup bayar, malah ia memberikan untung yang besar kepada Tuan dengan hanya menjual kitab-kitab yang tidak memberikan faedah kepada tuan ini!"




Dialog itu sebenarnya mengingatkan kita kepada bagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq menyelamatkan hamba abdi, Bilal bin Rabah daripada terus diseksa oleh majikannya, Umaiyyah bin Khalaf yang begitu marah apabila hambanya itu memeluk Islam.Abu Bakar menawarkan harga yang jauh berlipat kali ganda tinggi untuk membeli Bilal dan majikannya itu pasti beroleh untung luar biasa jika menjualkan sahaja Bilal itu kepada Abu Bakar.

"Saya mungkin tidak dapat apa-apa untung pun dengan membeli Bilal. Malah sangat rugi kerana pastinya hamba ini akan mati tidak lama lagi. lihatlah betapa teruknya kamu menyeksa dia," kata Abu Bakar yang akhirnya berjaya membeli dan menyelamatkan Bilal.
Malangnya peristiwa bagaimana Bilal diselamatkan itu tiada ulangannya, hanya tersimpan cantik dalam sejarah.

Hari Membakar al-Quran itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan ekoran bantahan, termasuk daripada pihak pentadbiran Rumah Putih. Namun rancangan jahat Jones untuk membakar al-Quran itu wajar mendapat perhatian serius daripada seluruh umat Islam.
Lebih-lebih lagi ada pihak mengambil baton daripada Jones untuk membakar al-Quran, iaitu ketika AS mengadakan sambutan majlis memperingati hampir 3,000 mangsa yang maut dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). Sekurang-kurangnya tiga insiden mengoyak dan membakar al-Quran dilapor berlaku di negara itu.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, mengoyakkan al-Quran sebelum membakarnya.


Pada insiden lain, seorang lelaki mengoyak dan menghina kitab suci Islam itu.Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api dan membakar sekurang-kurangnya dua naskah al-Quran di halaman rumahnya sambil Old menyifatkan Islam sebagai agama palsu.

"Jelas sekali daripada semua peristiwa-peristiwa ini, al-Quran perlu dipertahankan sepanjang masa. Umat Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berbuat demikian" kata Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Meeftah Anuar.

Tidak ada yang peliknya di sebalik perbuatan membakar al-Quran itu kerana kata Mohd. Meeftah semenjak Islam diturunkan, al-Quran sentiasa dimusuhi. Semua itu tidak akan dapat memadamkan bukti-bukti pengkhianatan musuh-musuh terhadap Islam yang berlanjutan sehingga hari ini.



"Di zaman yang semakin canggih yang kononnya telah mencapai ketamadunan yang tinggi, musuh-musuh Islam hanya bertukar nama watak sahaja. Perwatakan tetap sama, sekadar penjenamaan semula.

"Sejak dari zaman Amr bin Hisham (Abu Jahal), Utbah bin Rabiah, Musailamah Al Kazzab adalah watak-watak antagonis yang kini menjelma kembali dengan muka-muka baru untuk lebih dahsyat lagi menghina dan memfitnah al-Quran.

"Gerakan yang sentiasa berlegar-legar sama ada kita menyedarinya mahupun tidak," kata Mohd. Meeftah.

Sedangkan mereka sendiri mengakui kebenaran mengenai segala isi kandungan al-Quran, persoalannya mengapa musuh-musuh Islam ini begitu paranoid sehingga sanggup membakar dan menghina al-Quran?

"Mereka menjadi paranoid apabila al-Quran itu boleh menjadi sumber kekuatan kepada sesiapa yang mempercayai dan mengimani kitab suci itu.

"Lalu supaya umat Islam tidak menjadi kuat disebabkan adanya al-Quran, maka kitab itu hendak dibakar supaya kononnya umat itu akan menjadi lemah," kata Mohd. Meeftah.

Kata Mohd. Meeftah, tindakan mereka itu bukan disebabkan kononnya al-Quran mendalangi keganasan sebagaimana yang mereka tuduh. Tetapi kerana al-Quran telah menyebabkan umat Islam tidak dapat dikuasai atau tunduk di bawah telunjuk mereka.Tetapi pihak musuh begitu berani menghina al-Quran ekoran perpecahan dan kelemahan umat Islam masa kini.



"Pihak musuh mengambil pelbagai kesempatan kala umat Islam berpecah. Mereka mengambil kesempatan di saat umat Islam tidak mampu untuk membebaskan bumi Palestin dengan membakar masjid dan al-Quran.

"Benar, ayat-ayat al-Quran akan tetap terpelihara sehingga ke akhirat walaupun ia dibakar, direndam atau diperlakukan apa sahaja.

"Tetapi jangan kita salah konsep apabila dikatakan al-Quran tetap kekal terpelihara maka kita tidak perlu melakukan apa-apa, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dipijak-pijak dan lain-lain penghinaan.

"Ini samalah apabila kita yakin bahawa rezeki itu daripada Allah, maka adakah itu bermakna kita tidak perlu keluar untuk bekerja? Begitu juga dengan al-Quran.

"Mempertahankannya daripada dihina, daripada dimalukan, daripada difitnah adalah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam. Hatta dengan nyawa kita sendiri, sebagaimana kita wajib mempertahankan maruah diri, keluarga dan umat Islam yang lain," katanya.



Tiada ulasan:

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget