IBADAH WAKAF






ALLAH mencipta Manusia dengan sebaik ciptaan. Manusia diberi akal dan fikiran untuk merancang kehidupan seharian. Kelebihan ini dianugerahkan oleh Allah tanpa mengira agama dan bangsa. Dengan kelebihan itu manusia diberti tugas untuk mentadbirkan dan memakmurkan dunia. Hanya dengan ilmu, akal yang diasaskan kepada iman menentukan bentuk amalan yang dilakukan oleh manusia. Justeru ilmu telah meningkatkan darjat dan martabat manusia lebih tinggi dari malaikat. Peristiwa Nabi Adam dengan malaikat seperti yang termaktub dalam al-Quran membuktikan demikian. Marilah kita mensyukuri dan menginsafi akan kelebihan yang telah Tuhan kurniakan ini dengan menambah dan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah yang mencipta alam seluruhnya. Dialah yang memberi rezeki, memberi kesihatan tubuh badan, melanjutkan usia umur, mengurniakan kekayaan, kenikmatan hidup dunia dan sebagainya. Tanpa rahmat yang dilimpahkan, kehidupan manusia di dunia tidak akan sempurna.
Allah telah menetapkan tatacara hidup di dunia ini. Tatacara yang mengerat dan mengharmonikan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan yang mencipta dan Maha Besar. Dalam kehidupan bermasyarakat manusia diberi panduan1 bagaimana sesebuah keluarga itu dikembangkan. Maka diadakan peraturan nikah kahwin. Apabila terbentuk keluarga maka ditetapkan tanggungjawab dan hak masing-masing dalam keluarga. Selagi manusia berpegang kepada aturan-aturan yang dilandaskan jaminan ketenteraman dalam keluarga akan berterusan.

Manusia tidak boleh hidup dalam kelompok keluarga yang terbatas. Manusia hari ini telah berkembang berasaskan unit-unit keluarga. Telah membentuk masyarakat yang besar. Seterusnya menuju ke arah globalisasi. Dalam keadaan sedemikian manusia dituntut supaya berkerjasama dan bertolong bantu diantara satu dengan lain. Dalam al-Quran Allah s.w.t berfirman bermaksud,
"Wahai manusia sesungguh kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan, sesungguhnya yang mulia diantara kamu disisi Allah adalah mereka yang bertakwa diantara kamu"
Dalam ayat yang lain Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud,
"Bertolong bantu dalam perkara kebajikan dan juga bertolong bantu dalam perkara keburukan dan permusuhan"

Manusia adalah makhluk yang mempunyai potensi tinggi untuk maju dalam membangunkan dunia. Umat Islam perlu mengembangkan potensi ini untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan negara. Negara kita adalah sebuah negara yang mempunyai potensi untuk menjadi negara maju. Langkah-langkah untuk menuju ke arah sebuah negara maju telah dimulakan dalam pelbagai bidang. Bagaimanapun satu diantara bidang yang patut umat Islam di negara ini, khususnya di negari Pahang, bangunkan ialah mewujud dan memperkukuhkan Institusi Wakaf.

Kewujudan wakaf dalam perundangan Islam berdasarkan kepada hadis berikut :
1. Hadis nabi s.a.w bermaksud :
   "Apabila seseorang itu mati terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah jariah atau
   ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh berdoa untuknya. Yang
   dimaksudkan dengan sedekah jariah ialah wakaf"

2. Hadis yang diriwayatkan oleh Umar tentang sebidang tanah di Khaibar.
    Umar bertanya kepada Rasulullah s.a.w apa yang patutu dilakukan Jawab Rasulullah,
    jika mahu tahan asalnya (tanah) dan bersedekah dengannya. Maka kamu telah
    bersedekah dengannya.

Amalan wakaf telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar Othman, Ali dan sahabat-sahabatnya selepas mereka.

"Image" wakaf di negara ini pada umumnya tidak memberangsangkan. Berbanding dengan negara-negara Islam yang lain seperti di negara Mesir, Kuwait, Turki dan Marocco. Di negara-negara Afrika dan Asia Barat seperti Mesir, Kuwait dan Marocco diwujud kementerian Wakaf, untuk mentadbirkan wakaf. Cuba bayangkan betapa wakaf itu telah meresap sepenuhnya dalam sistem pemerintahan negara-negara tersebut. Dari dana Wakaf masjid-masjid didirikan. Kegiatan dan aktiviti Islam dilaksanakan secara terancang. Berbanding dengan kegiatan dan pembangunan Islam negara kita. Amat bergantung kepada sumbangan pemerintah. Dana Wakaf di Turki bukan sahaja dapat menampung kegiatan Islam di Turki bahkan dapat mendirikan masjid di negara minority Islam. Dana Wakaf Kuwait, pula telah digunakan bagi tujuan pembangunan keilmuan dengan mengeluarkan ensiklopedia perundangan Islam atau fiqh.

Menurut abu Zahrah, wakaf telah begitu banyak di zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah iaitu di Mesir dan Syam dan negera-negara Islam yang telah dibuka dalam pemerintahan tersebut. Harta wakaf ketika itu terdiri dari tanah, bangunan dan kebun-kebun. Pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik telah ditubuhkan jabatan bagi mengurus harta wakaf.

Di negara kita wakaf masih belum meresap dan sebati dalam tubuh badan dan minda umat Islam di negara ini. Pada satu ketika dahulu masyarakat Islam di rantau ini tidak ketinggalan dari melaksanakan khairat wakaf sehingga dapat menubuhkan Pusat Pengajian Tinggi Agama. Jelas bahawa masyarakat Islam dahulu lebih prihatin dan komited dalam menghayati wakaf. Amalan wakaf di negara-negara Islam tidak terbatas kepada tanah, bangunan bahkan terdapat di setengah negara Islam mereka mewakafkan pokok buahan yang boleh mendatangkan hasil.

Kedudukan wakaf dalam ajaran Islam amat tinggi nilainya. Bahkan mempunyai tiga dimensi. Pertama memberi pahala yang berganda kepada orang yang berwakaf. Kedua menunaikan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan masyarakat yang daif. Ketiga menaikkan image dan syiar Islam. Dalam konteks negara kita dana wakaf boleh mempesatkan lagi pembangunan negara yang bercirikan Islam. Di negara kita hari ini kita dapat melihat institusi Muamalah Islam seperti Bank Islam, Takaful dan saham berlandaskan Islam. Kita perlu menambah, memartabatkan institusi Muamalah. Wakaf adalah satu diantaranya. Masyarakat Islam perlu membangunkan wakaf - memakmurkan harta wakaf supaya dapat dilihat dan dikecapi pembangunannya. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud,
"Tidak mencapai sesuatu kebajikan sehingga kamu membelanjakan apa yang kamu kasihi".
Dalam sesebuah hadis ada menyatakan,
"Tidak sempurna Iman seseorang sehingga dia mengasihani saudaranya seperti mana dia mengasihani dirinya sendiri"

Sekarang mari kita lihat bagaimana kita boleh menginfakkan harta kita sebagaimana yang dituntut oleh agama kita.

Mengikut Perlembagaan Negara kita, pentadbiran hal ehwal Agama Islam adalah terletak pada negeri dan raja adalah ketua agama bagi negeri berkenaan. Dalam hubungan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah ditubuhkan bagi menasihati raja dalam urusan tersebut. Dalam hubungan ini Majlis telah membuat keputusan untuk menubuhkan dan seterusnya melancarkan `Saham Wakaf', di negeri Pahang. Bagi sesetengah pihak mungkin tidak begitu jelas dengan maksud Saham Wakaf. Secara ringkas, sebenarnya Saham Wakaf adalah satu bentuk wakaf dan asas-asasnya masih mengikut konsep asal wakaf. Segala nas dan syarat-syarat tetap mengikut lunas dan prinsip wakaf.

Kesahihan wakaf adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w daripada Othman r.a, yang bermaksud,
"Sesiapa yang mengali telaga Raumah maka baginya Syurga", kata Saidina Othman maka "Akulah yang menggalinya".

Menurut satu riwayat dari al-Bhaqawi pula menyatakan,
"Sesungguhnya telaga "Raumah" itu adalah milik seorang lelaki yang dibeli dari bani Ghaffar dan dia mengguna telaga itu dengan nama "Raumah", dan dia telah menjual telaga itu untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dengan harga secupak gandum", maka kata Nabi kepadanya "Adakah kamu menjual itu pada halnya dia adalah harta di dalam syurga?" Jawapannya ialah "Ya, Rasulullah, saya tidak ada apa-apa harta, begitu juga keluarga saya selain daripada telaga itu, maka sampaikan berita ini kepada Saidina Othman. Lantas Saidina Othman membeli telaga itu dengan harga 35,000 dirham. Kemudian Nabi pergi kepada Saidina Othman dan berkata kepadanya, "Apakah engkau akan beri kepada aku sepertimana memberikan kepadanya", jawab Saidina Osman, "Ya, dan akan jadikan wakaf untuk orang Muslimin." (Fikhul Sunnah Sayid Sabiq)

Dari hadis tersebut jelas menyatakan sesuatu harta, termasuk harta yang disukai oleh seseorang boleh diwakafkan. Asalkan harta itu miliknya dan bersifat kekal serta boleh memberi manafaat. Sama ada yang bersifat kekal itu tetap atau benda boleh alih. Justeru, kita boleh mewakafkan tanah, bangunan, pokok buahan sama ada seluruh atau sebahagian harta tersebut. Hari ini rekod menunjukkan tanah-tanah wakaf lebih bersifat khusus seperti untuk tapak masjid dan perkuburan. Keadaan ini mendatangkan kesulitan apabila hendak dibangunkan dan boleh mengusik sensitiviti masyarakat Islam apabila di istiadat atau ditukar atau dijual. Masyarakat akan kata Majlis jual tanah kubur jual tapak masjid untuk buat rumah dan sebagainya.

Dalam konteks Saham Wakaf ia adalah mementingkan kebajikan umum. Dengan cara demikian wakaf tersebut boleh dipelbagaikan kegunaannya bagi apa jua tujuan kebajikan dan pembangunan umat Islam.

Tujuan Majlis mewujudkan Saham Wakaf adalah bagi membolehkan penyertaan yang lebih ramai umat Islam dalam negeri ini dalam ibadat wakaf. Setiap orang Islam boleh menyumbang wang ringgit ke dalam dana Saham Wakaf sekadar termampu. Yang berada dengan kedudukannya, yang mewah dengan kelebihannya. Saham atau bahagian sumbangan itu akan diistibdalkan dengan harta kekal seperti tanah, bangunan dan projek yang boleh mendatangkan manafaat kepada umat Islam. Ini adalah ibadat yang dijamin pahalanya dan berkekalan selagi wakaf itu wujud. Keistemewaan wakaf berbanding dengan sedekah biasa, ibadat wakaf sifatnya kemasyarakatan/sosial yang meluas dan berterusan atau kekal dan bukan individual. Sedekah kepada seseorang lebih bersifat individual dan tiada pihak dan hukum yang mengawal kegunaannya. Pemilik sedekah boleh melakukan mengikut kehendaknya. Berlainan dengan wakaf. Ia mempunyai hukum yang tersendiri dan tujuan yang tertentu. Saham Wakaf tidak boleh dijual, tidak boleh dijadikan pemberian kepada mana-mana pihak dan tidak boleh diwarisi oleh seseorang. Begitu ketat sekali hukumnya bagi mengawal harta wakaf supaya tidak disalahgunakan. Justeru sifat wakaf itu kekal dan berpanjangan maka ia adalah satu pelaburan yang hakiki untuk mendapat keredhaan Allah. Melabur dalam Saham Wakaf dividennya dikutip di akhirat. Dividennya jauh lebih tinggi berbanding dengan saham-saham lain.

Marilah kita mulai sekarang menanamkan semangat dan kesedaran untuk melaksanakan ibadat wakaf. Allah s.w.t berfirman maksudnya,
"Barangsiapa yang melakukan sekecil zarah kebajikan nescaya dia akan melihatnya (balasan)"

Dalam era pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sedang berlaku kini, institusi Islam seperti Wakaf hendaklah digerakkan bersama-sama menyertai arus pembangunan. Ini membuktikan Islam membawa ajaran yang dinamik dan progresif sesuai dengan perkembangan dan perubahan masa. Tentu kita umat Islam di negeri ini merasa megah apabila kita sendiri dapat menegakkan syiar Islam di samping apa yang selama ini telah dilakukan oleh kerajaan. Semoga dengan terbentuknya dana Saham Wakaf dan sumbangan umat Islam seluruhnya akan dapat memartabatkan lagi syiar Islam dan mempertingkatkan komitmen umat Islam dan melaksanakan tanggungjawab sosial dan pembangunan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semoga ibadah amal jariah ini dapat diteruskan selama-lamanya

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget