Memaparkan catatan dengan label 2010. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2010. Papar semua catatan

Bersediakah Anda Untuk Melangkah Ke Tahun 2011...?

MENYAMBUT TAHUN BARU 2011
Setiap tahun masyarakat di seluruh negara akan menyambut tahun baru mengikut kalendar Masihi. Tidak kira apa jua bangsa dan agama, masyarakat Islam hari ini juga menyambut kehadiran tahun baru Masihi ini dengan begitu meriah sekali. Berbeza dengan menyambut tahun baru Hijrah. Mereka lebih cenderung untuk meraikan tahun Masihi berbanding mengikut Taqwim Hijrah. Kita harap semuanya ini nanti akan berubah sedikit demi sedikit kepada memeriahkan sambutan Ma’al Hijrah pada tahun-tahun mendatang.
Pada malam “Count Down”  31 Disember...dan sambutan “Happy New Year” bahkan sanggup berbelanja besar untuk menyambutnya. Namun, sedar atau tidak sedar mengenainya. Kita kini sudah terikut-ikut dengan budaya yang merosakkan nilai-nilai murni dan keharmonian masyarakat setiap kali menjelangnya tahun baru. Apakah faedah yang diperolehi dengan menghabiskan masa dan tenaga semata-mata untuk mengira masa sebelum bermulanya tahun baru. Ingatlah mengenai kepentingan masa, peredarannya yang semakin singkat apabila dunia menghampiri usianya.

30. Sebahagian manusia diberi hidayah (petunjuk) oleh Allah; dan sebahagiannya lagi (yang ingkar) ditimpa kesukaran (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan itu pemimpin-pemimpin mereka selain dari Allah, serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayahNya.
31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampau. Surah Al-A’raf : 30-31
"Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan mengasihi mereka yang memohon keampunannya." (Hadith Riwayat Al-Hakim dan Ibnu ‘Adi)
Masa yang singkat sebelum tibanya tahun baru ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya. Kita sebenarnya memerlukan masa untuk merancang mengenai kehidupan kita yang seterusnya. Ambillah peluang pada malam tahun baru untuk merancang prestasi hidup kita untuk tahun yang berikutnya. Siapa yang pernah terfikir untuk berbuat demikian, melainkan mereka yang sentiasa inginkan peningkatan dalam diri dan menjadi seorang yang berjaya di dalam hidupnya di dunia dan di akhirat. Ingat, peruntukkan dalam sehari untuk melatih diri merancang perjalanan dan menetapkan matlamat kita.

"Muslim yang sejati adalah mereka yang menyelamatkan Muslim yang lain dari lidah dan tangannya itu: Manakala mereka yang berhijrah ialah mereka yang meninggalkan semua larangan Allah." (Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Peluang membaca doa selamat pada awal tahun baru merupakan amalan yang baik bagi menggantikan perbuatan berteriak dan menari-nari di pusat hiburan. Kesedaran dalam diri masyarakat dan mengamalkan ajaran agama pada hari ini amatlah penting bagi membina benteng pertahanan diri dari segala penyakit hati. Pesanan buat mereka yang mampu berdakwah, bimbinglah saudara-saudari kita dengan ikhlas dan tetapkan diri hanya meminta pertolongan Allah sekiranya kita menerima sebarang kesusahan. Semoga tahun baru ini lebih memberikan manfaat kepada kita dan meyumbangkan generasi pewaris ad-Deen yang mulia ini.

SEMOGA ANDA BERJAYA TAHUN 2011.......!

FATWA : Isu Membaca dan Menterjemahkan Ayat Al-Quran Oleh Orang Bukan Islam


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam  Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:
“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya.  Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus  menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.
Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam.  Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan. 
Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.  Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.
Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”


Wakaf Al-Quran akan ke Indochina

Dalam usaha untuk membantu komuniti etnik Melayu Cam di Indochina, khususnya di Kemboja dan Vietnam, mahasiswa UTM Skudai ingin mempelawa mana-mana badan kerajaan dan swasta serta individu yang prihatin untuk turut sama menderma dan menghulurkan sumbangan  bagi melaksanakan hasrat murni ini.

Kumpulan minoriti di negara Indochina itu yang majoritiya adalah penganut agama islam, kebanyakan mereka kurang didedahkan dengan ajaran islam, manakala murid di sekolah kebangsaan pula tidak diajar mata pelajaran Pendidikan Islam. Pengajian agama hanya diajarkan di madrasah/surau-surau kampung dengan bekalan elektrik, kitab mengaji dan al-Quran serta peralatan alat tulis yang sangat terhad.

Sehubungan itu, mahasiswa Kolej Tun Dr Ismail UTM Skudai dengan nasihat PM Dr Firdausi (pengetua kolej), telah mengambil inisiatif untuk menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan komuniti yang berkenaan (Kemboja-Vietnam). Program ini dirancang berjalan selama sepuluh hari bermula 5 Disember tahun ini.

Antara aktiviti yang akan dijalankan termasuklah ibadah aqiqah di beberapa buah kampung, membaik pulih prasarana di Maahad Muhammadiah Beng Broul seperti pembinaan tandas dan generator serta berkhatan.

Pengarah program, saudara Muaz Zakaria berkata, hasil sumbangan para dermawan yang disalurkan oleh masyarakat Malaysia melalui Kembara Kasih’10 akan diagihkan kepada penduduk di sekitar Kg Cham dan Kg Beng Broul di Kemboja, manakala di Vietnam adalah di sekitar Chau Doc.

Sumbangan kitab agama dalam bahasa Cam, Al-Quran, peralatan solat seperti telekung, kain pelekat, sejadah dan baju-baju sangat diperlukan oleh mereka.

Bagi yang berhajat untuk menyumbang/mewakafkan Al-Quran boleh lah disalurkan kepada Percetakan Saufi di alamat:

Lot 6213 batu 9 3/4 cheras,
jalan cheras kajang, selangor.
(bersebelahan masjid batu10, jalan cheras kajang) atau hubungi Y.Bhg Tuan Hj. Rahmat Mahdan (Pengerusi Percetakan Saufi).

UTM Skudai menyokong usaha Syarikat Penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani, Percetakan Saufi yang selain mencetak naskhah Al-Quran baru, turut menjalankan pelupusan ayat Al-Quran dalam apa juga bentuk seperti buku teks, Yasin, risalah, akhbar lama hingga kepada cebisan kertas mengandungi ayat Al-Quran secara mengikut tertib..

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk boleh mengirimkan kepada:

Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, Kembara Kasih 2010, 
Kemboja-Vietnam, Kolej Tun Dr Ismail,
UTM Skudai,
81310 Skudai Johor Bahru.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi pengarah program Kembara Kasih 2010 di talian- 019-7091 079.

Kisah Sejarah Awal Muharram "HIJRAH"





Assalamualaikum...salam sejahtera.


Terima Kasih diucapkan kepada mereka yang mengikuti perkembangan dari masa ke semasa blog "Program Wakaf Al-Quran dan Pelupusan Ayat-Ayat Suci.


SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH
KE-1432H/2010M


Hanya tinggal 2 hari sahaja kita akan menyambut Awal Muharram 1432 hijrah  pada hari selasa 7 Disember 2010. Sedar tak sedar kita akan meninggal bulan yang terakhir 1431 hijrah. Adakah anda bersedia....?


Jom...! kita imbas kembali sejarah islam yang manusia kini tidak mengambil peduli tentang terjadinya kelendar islam.


KISAH BERMULANYA KALENDAR ISLAM


Kalendar Islam bagi sandaran umat Islam adalah Takwim Hijrah atau Takwim Islam. Ianya merupakan takwim yang digunakan secara meluas di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun.Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya. Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asy’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.
Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.
Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.
Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.
KOTA MEKAH
Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.
Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar,setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
Sebab-sebab berlaku Hijrah
Ia bagi mengurangkan tekanan yang dialami baginda Rasulullah terhadap serangan bertubi-tubi puak musuh di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah yang tidak senang dengan Islam yang diperkenalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
KOTA MADINAH
Atas dasar itu Allah SWT memerintahkan baginda dan seluruh umat Islam yang masih berada di bumi Mekah supaya meninggalkan tempat itu dan menuju ke kota Madinah.
Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang amat pedih dari sisi Allah sepertimana yang ditegaskan Allah menerusi firman-Nya dalam ayat 97 surah an-Nisaa yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri kami sendiri (Mekah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali.”
Hijrah adalah sunnah para anbiya
Hijrah bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad s.a.w sahaja, malah telah terdahulu daripadanya para Anbiya seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf alaihimussalam dan lain-lain, ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima dakwah atau seruan yang dibawa oleh mereka.
Maka berlakulah penentangan antara hak dan batil yang memang menjadi lumrah dan semulajadi hingga hari Kiamat.
Justeru, para Anbiya semuanya telah dijemput oleh Allah di sisinya, agama-Nya yang benar itu diwarisi oleh mereka yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, maka golongan pewaris Islam sampai bila-bila berdepan dengan tribulasi ciptaan manusia yang tidak senang Islam mendapat sambutan menggalakkan.
Allah tidak akan membiarkan agama Islam terkulai layu tanpa yang menyambutnya, maka dia memilih di kalangan hamba-hambaNya individu-individu yang sanggup berkorban untuk agama-Nya, namun mereka terpaksa berdepan dengan ujian, cubaan, tribulasi yang direka oleh manusia-manusia yang tidak berapa senang Islam mendapat tempat di hati manusia, walaupun yang membencinya bernama Islam, tetapi pada masa yang sama menganut fahaman Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme, Nasionalisme, dan lain-lain.
Mereka berusaha untuk menangkap, memenjara, membunuh golongan yang mendaulatkan Islam tanpa bicara dan bukti yang sah lagi kukuh untuk menuduh mereka, ia sedang berlaku di negara-negara yang diperintah umat Islam sampai hari ini, khususnya mereka yang tidak meletakkan Islam sebagai agama perlembagaan negara.
Maka berlakulah penghijrahan golongan ulama’yang terpaksa meninggalkan negara masing-masing bukan atas alasan takut, tetapi kejahatan golongan pemerintah memuncak yang memaksa mereka keluar untuk mencari lokasi yang difikirkan munasabah untu meneruskan aktiviti dakwah di situ.
Rasulullah sendiri pernah menjadi sasaran musuh
Allah SWT berfirman menerusi ayat 30 surah al-Anfal:
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan segala daya upaya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap (memenjara), membunuh serta mengusirmu keluar dari (Mekah). Mereka membuat perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat mereka, dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya (perancangan).” Jelas ayat di atas, menunjukkan bahawa kejahatan orang-orang yang jahat terhadap kerja-kerja dakwah tidak terhenti setakat itu, malah mereka memilih salah satu jalan untuk memastikan dakwah itu gagal, sama ada melalui penangkapan terhadap pendakwah, mengusir, memenjara atau membunuh mereka tanpa kebenaran yang sah, itulah yang akan dilakukan sampai hari kiamat, tetapi yang lebih menduka-citakan ialah apabila ia dirancang sendiri orang yang bernama Islam.Sesungguhnya hijrah yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w itu bukan ke satu tempat tertentu, malah ia bermaksud hijrah kepada Allah bagi mendapatkan keredaan-Nya, ia bertepatan dengan firman Allah di atas lidah Nabi Ibrahim dan Nabi Lut dalam ayat 26 surah al-Ankabut : “Dan berkatalah Ibrahim : Sesungguhnya aku akan berpindah (berhijrah) ke tempat yang diperintahkan Tuhanku, sesungguhnya Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran daripada peristiwa Hijrah
 Hijrah telah melahirkan beberapa pendekatan berikut:
1. Sunnah Nabi keluar ke tempat jauh dengan ditemani seseorang (Saidina Abu Bakr).
2. Hijrah di waktu malam adalah paling sesuai untuk bermunajat kepada Allah, kerana pada waktu itu ramai di kalangan pihak musuh sedang seronok tidur.
3. Tidak salah mendapat dan menggunakan khidmat orang kafir bagi tujuan maslahat Islam sepertimana baginda menggunakan khidmat Abdullah Bin Uraiqit (Nasrani) menjadi petunjuk jalan ke Madinah.
4. Baginda mengatur strategi berdakwah agar tidak dapat dikesan oleh musuh dengan menghilangkan kesan tapak kaki dengan puluhan tapak kaki kambing yang diusahakan oleh Amir Bin Fuhairah.
5. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja/belia dalam kerja-kerja dakwah sepertimana baginda mengarahkan Saidina Ali Bin Abu Talib menggantikan tempat tidurnya.
6. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang muslimah berperanan dalam memberi saham seperti Asma Binti Abu Bakar.
7. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja, Abdullah Bin Abu Bakr untuk mendapatkan rahsia bagi memudahkan kerja-kerja dakwah.
Sesungguhnya setiap daripada individu muslim, boleh memainkan peranannya sebagai anggota jamaah menurut kadar kemampuan dan ilmunya bagi memajukan Islam pada kadar yang termampu.
Perkara sunat yang dilakukan di bulan Muharam
1. Digalakkan berpuasa sunat pada awal Muharram.
2. Digalakkan berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram.

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget