"Makam Ayat Suci" : Akhbar Sinar Harian


AKHBAR SINAR HARIAN : 1 APRIL 2011


Secara alami, naskhah al-Quran makin lama makin dimamah waktu. Helaian kertas yang tertanggal dari tulang kitab, rosak digigit anai-anai mahupun akibat terkena banjir atau kebakaran. Ada kalanya ia menyebabkan pemiliknya menjadi serba salah untuk menyimpannya tanpa dibaca atau sekadar warisan turun-temurun. 

Masalah al-Quran lama dan rosak terbiar berhabuk di dalam simpanan timbul apabila tidak ramai Muslim mengetahui bagaimana untuk melupuskannya. Sekurang-kurangnya cara itu mungkin lebih baik daripada segelintir mereka yang jahil terus 'mencampakkan' sebagaimana barangan lain yang tidak berharga di tempat yang tidak sepatutnya. 

Mungkin ada di antara kita ingin membuang bahan bacaan atau hiasan yang mengandungi ayat suci tetapi tidak tahu di mana lokasinya. Tahukah anda mengenai pusat pelupusan al-Quran lama? 

Pusat pelupusan ayat suci yang terletak di Batu 10, Cheras itu mula beroperasi sekitar 2007 dan berada di bawah urus tadbir Percetakan Saufi. Kewujudan pusat itu memudahkan masyarakat Islam yang ingin melupuskan barangan seperti jam, buku teks dan bingkai hiasan yang terkandung ayat suci, selain al-Quran. 

Kerja pelupusan dilakukan dengan sempurna mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan atau musibah. 

Perasaan sayu menjadi titik tolak 

Pengurus Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 53, berkata, dia mengambil inisiatif untuk membuka pusat pelupusan sedemikian atas dasar tanggungjawab sebagai umat Islam. 

Menurutnya, dia berasa sedih apabila melihat keratan terkandung ayat suci dan cebisan al-Quran yang dibuang di tapak pembuangan surat khabar lama. 

“Sayu hati saya melihat keadaan ini. Inilah menjadi titik tolak kepada pembukaan pusat pelupusan ini 

“Fenomena itu menunjukkan betapa manusia zaman ini tidak lagi mementingkan kehormatan ayat suci yang sepatutnya dihormati dan disanjung ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemu ramah. 

Rahmat berkata, al-Quran ibarat zat kepada umat Islam, kita sememang memerlukan dan menggunakannya selama ini tetapi tidak diambil peduli tentangnya. 


Persepsi negatif masyarakat 

Niat yang ingin dilakukan Rahmat adalah murni tetapi sering disalah anggap terutamanya pada peringkat awal mula mengumpul al-Quran dan buku teks jawi. 

Berkongsi pengalaman ketika mula membuka pusat pelupusan itu, Rahmat terpaksa bergerak sendiri ke sekolah dan masjid di merata tempat untuk mendapatkan buku teks serta al-Quran yang ingin dilupuskan. 

Katanya, rumah dan saudara mara adalah sasaran pertama untuk tujuan itu kemudian menular kepada masyarakat setempat. 

“Tidak hanya terikat di kawasan Lembah Klang dan Selangor sahaja, malah saya turut mendapatkannya dari Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Melaka. 

“Ada di antara individu dan pihak meminta bayaran ketika mendapatkan bahan mengandungi ayat suci ini kerana mereka beranggapan saya akan menjualnya,” katanya. 

Dia berkata, pernah sekali ketika dia ingin mengambil al-Quran lama yang tidak digunakan di sebuah masjid, individu tersebut memintanya supaya membayarnya. 

Menurutnya, menyedari hakikat itu dia telah memohon surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWIP) dan Jabatan Mufti Negeri Semalaysia pada 2009. 

Menurutnya, permohonan itu adalah bertujuan mengelakkan supaya orang ramai tidak menuduhnya mengambil kesempatan atau memanipulasi hasil kutipan itu. 

“Niat murni yang ingin dilakukan ini mengundang persepsi yang negatif orang ramai, tambahan pula pendedahan mengenai perkhidmatan itu terlalu kurang,” katanya. 


Lupus ikut garis panduan 

Kerja melupuskan ayat suci itu tidak boleh dilakukan sewenangnya mengikut kesukaan hati kita dan perlu dilaksanakan dengan kaedah tertentu. 

Rahmat memberitahu, proses pelupusan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Menurutnya, surat sokongan daripada beberapa negeri di Semenanjung telah dipohon bagi memastikan garis panduan yang diberikan adalah sama. 

“Maklum balas yang diterima telah menyatakan garis panduan tersebut adalah kesemuanya sama. 

“Garis panduan itu berdasarkan keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992,” katanya. 

Tambahnya, difahamkan terdapat sebuah syarikat korporat bukan Islam yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kerja pelupusan ayat suci itu sebelum kewujudannya. 

Katanya, tetapi mereka tidak pasti bagaimana cara pelupusan yang dilakukan dan adakah ianya sempurna atau sebaliknya. 

“Bahan pelupusan yang dihantar ke sini bukan disebabkan tidak digunakan, tetapi ada di antaranya mengandungi kesalahan huruf, baris, ayat dan muka surat. 

“Malah, sebahagian al-Quran yang ingin dilupuskan adalah disebabkan tiada kelulusan daripada Bahagian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya. 

Menurut Rahmat, dia sendiri pernah cuba mencetak al-Quran tetapi apabila ia dirujuk kepada KDN maka didapati banyak kesalahan dilakukan. KDN menyarankan supaya pembetulan dilakukan terlebih dahulu sebelum mencetak al-Quran tersebut dan hanya syarikat yang mendapat pengiktirafan sahaja boleh mencetaknya. 


Pelupusan ibarat urus jenazah 

Al-Quran atau bahan cetakan yang mengandungi ayat suci perlu diselenggarakan dengan tertib. Menurut Rahmat, kerja melupuskan itu boleh diibaratkan seperti menguruskan seorang jenazah dari awal hingga akhir. Ia perlu dilakukan dengan perlahan dan bagaimana cara yang sempurna untuk kita menghantarnya semula. 

“Pelupusan dilakukan mengikut peringkat bermula dari awalnya mengasingkan bahan sehinggalah abunya dimakamkan. 

“Kulit dan isi bahan akan diasingkan mengikut kategori, kemudian diracik dengan menggunakan mesin supaya ia menjadi lebih halus dan memudahkan pelupusan,” katanya. 

Dia berkata, debu yang terhasil akan dilarutkan dengan air kemudian dimakamkan di tempat khas yang telah digali. Cara pelupusan setiap barang adalah berbeza kerana ia bergantung kepada jenis bahan itu. 

“Kami menerima pelbagai jenis bahan yang terdiri daripada kertas, kain, kayu, kaca, plastik, tembikar dan cakera padat. 

“Orang ramai perlu mengasingkan bahan dan mengikatnya dengan kemas sebelum mengepos atau menghantarnya ke pusat ini bagi memudahkan kerja seterusnya dilakukan,” katanya. 


Kajian di beberapa negara 

Pusat pelupusan ayat suci itu menerima pelbagai jenis bentuk ayat suci untuk dilupuskan malah kajian di beberapa negara juga telah dilaksanakan. Rahmat berkata, sebelum membuka pusat pelupusan itu dia telah merantau ke beberapa negara yang mempunyai kaedah pelupusan al-Quran. Antara negara yang dilawati termasuk Syiria, Lubnan, Jerman dan Vietnam. 

“Di Syiria, teknik mencetak al-Quran dilihat manakala cara pelupusan ayat suci diperoleh dari Lubnan dan Jerman. 

“Berbeza pula dengan Vietnam, di mana saya melihat sendiri bagaimana cara bukan Islam melakukan kerja pelupusan ayat suci ini,” katanya. 

Dia berkata, hasil perantau itu datanglah idea untuk mencipta mesin insinerator yang ditempah khas dari Indonesia tetapi mengikut ciptaan dikehendakinya. Menurutnya, pelupusan ayat suci itu tidak hanya boleh dilakukan menggunakan mesin tetapi juga cara tradisional. 

“Kedua-dua cara ini akan menghasilkan abu yang berbeza di mana pelupusan menggunakan mesin insinerator akan mengeluarkan abu lebih halus. 

“Manakala, jika ia dilupuskan menggunakan cara tradisional, kita masih boleh melihat cebisan al-Quran malah ada di antara serpihan tersebut masih boleh dibaca,” katanya. 


Wakaf setiap 5 kilogram 

Orang ramai yang berminat untuk menghantar bahan ayat suci untuk dilupuskan boleh berkunjung ke pusat itu setiap hari. Menurut Rahmat, setiap lima kilogram bahan yang dihantar mereka perlu menyerahkan satu wakaf sebagai sumbangan pengurusan pelupusan ayat suci. 

“Wakaf ini boleh juga digantikan dengan wang tunai berjumlah RM30 atau mewakafkan senaskhah al-Quran yang disahkan KDN kepada kami. 

“Al-Quran yang diwakafkan akan dihantar ke sekolah atau masjid yang memerlukan,” katanya. 

Menurutnya, pada masa terdekat, satu lagi mesin insinerator akan dicipta untuk memudahkan kerja pelupusan yang dilakukan pada waktu malam. Dia turut bercadang untuk melebarkan sayap dengan membuka cawangan di negeri lain bagi tujuan pelupusan ayat suci itu. 

“Bermula dengan setiap zon seperti utara, selatan dan pantai timur kemudian mengorak langkah kepada daerah di setiap negeri pula. 

“Saya mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak berwajib atau individu yang ingin membantu dalam usaha yang murni itu,” katanya.


PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget