SUATU ketika dahulu orang rasa jelik dengan karaoke. Tetapi kini siapa sangka dengan aktiviti karaoke, ia boleh menyatukan sebuah keluarga hanya dengan bersama-sama mendendangkan lagu-lagu ketuhanan yang dinyanyikan indah oleh artis Maher Zain.
Begitu juga beberapa tahun lalu, kita melihat anak-anak muda menggunakan walkman sambil mendengar lagu-lagu artis-artis kegemaran mereka. Jangan terkejut pula apabila ada di kalangan anak-anak muda zaman ini yang memakai pemain MP3 tetapi sebenarnya sedang i'adah(mengulang) al-Quran.
Malahan mengimbas kembali detik permulaan penggunaan Internet suatu masa dahulu, ia pada asalnya digunakan oleh ibu pejabat Jabatan Keselamatan Amerika Syarikat (AS), Pentagon. Tujuannya untuk berperang, tetapi kemudian ia digunakan dan menyelusup serta membudaya dalam semua aspek kehidupan masyarakat moden sekarang.
Begitu juga kerajaan Jerman yang mencipta kenderaan perang yang tidak menggunakan air kerana pada ketika itu mereka berperang di padang pasir. Namun apabila tamatnya peperangan, Jerman mencipta jenama kenderaan Volkswagen yang kini adalah antara kenderaan berprestij dan terunggul di dunia.
Hakikatnya, industri hiburan dan dunia pendidikan telah lama menggunakan gajet multimedia atau apa sahaja aplikasi terkini untuk mencapai matlamat masing-masing. Mungkin tidak mustahil ia boleh digunakan dengan lebih meluas sehingga kepada satu kaedah atau medium terkini dalam penyampaian mesej dakwah.
Pokoknya, apa juga cara yang dipilih, ia bergantung kepada cara kita memanfaatkan teknologi dan media baru ini. Lantaran itu, tepat dengan masanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif memperkenalkan siaran televisyennya ke seluruh dunia melalui saluran Internet yang diberi nama Jakim.TV.
Aplikasi moden ini adalah sebahagian dari kemudahan MyAIM (Malaysian Authoritative Islamic Media). MyAIM adalah usaha Jakim menyediakan maklumat dan panduan tentang Islam dalam pelbagai media seperti media audio/video dan media cetak melalui Internet.
Ini juga selaras dengan usaha-usaha kerajaan menyediakan sebanyak mungkin kandungan tempatan yang berkualiti dari segala aspek, sebagai persediaan untuk mengimbangi kandungan luar yang negatif susulan dari penyediaan jalur lebar ke seluruh negara.
Buat permulaan, kebanyakan kandungannya adalah berbentuk video on demand (VoD), hasil produksi Bahagian Media Jakim dan video koleksi dan arkib rancangan RTM khususnya yang berkaitan dengan Islam.
Jakim.TV dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 11 Januari 2011, sempena Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah Menteri di JPM di Putrajaya.
Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, kewujudan Jakim.TV ini juga dilihat sebagai satu lagi usaha terkini Jakim dalam mengisi seberapa banyak ruang yang ada untuk misi dakwahnya.
Apatah lagi, dakwah sebagaimana yang dikiaskan oleh tokoh terkenal dari Mesir iaitu Sheikh Mohammad Mutta'awali al Syakrawi: "Dakwah ini umpama air dari langit. Yang mana sifatnya suci bersih, apabila ia turun ke bumi ia akan menyelinap ke setiap ruang tanpa terkecuali."
Secara umumnya, kata beliau, Jakim tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan media baru itu, lebih-lebih lagi menerusi Jakim.TV yang turut mensasarkan kepada satu lagi kelompok baru dan tidak sahaja golongan remaja tetapi juga golongan pesara.
"Ini kerana telah nampak trend di mana kumpulan ini semakin leka dengan perkembangan industri teknologi maklumat (IT). malah tidak terkejut sekiranya golongan yang sebelum ini buta IT kini semakin celik sehingga ada yang ketagih dengan apa yang ditawarkan oleh perkembangan drastik dunia ICT masa kini. Sekali gus mengubah persepsi orang ramai yang menganggap apa sahaja yang berkaitan aplikasi teknologi moden adalah untuk golongan muda," katanya.
Tambah Wan Mohamad, Jakim.TV juga bagaikan ensiklopedia pada skrin. Kalau sebelum ini untuk memperoleh maklumat kita terpaksa mengikut abjad, melalui Jakim.TV, banyak bahan popular semua agensi di bawah Menteri di JPM turut boleh dimuatkan.
Contohnya, Tabung Haji ada mengeluarkan pelbagai alat bantuan latihan untuk jemaah haji. Kadang-kadang, ada antaranya boleh digunakan semula sebagai proses pengukuhan. Jadi, televisyen Internet boleh menjadi alat pengukuhan tersebut.
Selain itu, penonton turut berpeluang berhubung secara interaktif. Ini bermaksud ketika menonton, seandainya ada sesuatu isu atau fakta yang perlu dicari, maka pada masa sama, penonton dilengkapkan dengan ciri-ciri interaktif, capaian dan carian kepada kandungan lain yang berkaitan seperti artikel, fatwa dan sebagainya. uniknya lagi, ia berlaku secara maya.
"Pendek kata, apabila seseorang itu melayari laman web Jakim, pada masa sama dia juga berpeluang mendapatkan semua maklumat pada satu tempat sahaja. Ia seolah-olah seperti sebuah perpustakaan, penyiaran televisyen dan akhbar dipusatkan di situ.
"Di samping itu, banyak juga yang kita dengar di mana orang bukan sahaja menonton televisyen tetapi lebih kepada mendengar televisyen.
"Justeru Jakim.TV juga boleh dijadikan alat untuk mendengar tanpa perlu menonton. Ia sebenarnya begitu mesra pengguna. Umpamanya, tugas surirumah yang sibuk. Sambil mereka sibuk di dapur, mereka juga berkesempatan untuk mendengar tanpa perlu menonton," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan