Abu Al-Quran | Laut bergelora berubah tenang | Program Khas Bersama Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria | Pembuangan Abu Al-Quran


Ribuan terima kasih kepada Tan Sri Hurassani Zakaria, Mufti Perak kerana menganjurkan "Program Khas Bersama Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria | Pembuangan Abu Al-Quran" bersama Percetakan Saufi untuk membuang abu al-Quran di kawasan perairan negeri Perak serta turut dijayakan bersama oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Majlis Dareah Manjung dan para wartawan Berita Harian, Harian Metro, TV Al-Hijrah.


Lihat laporan akhbar dibawah.






TERTIB...kakitangan Jabatan Mufti  Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil, Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah abu untuk dilupuskan.





Laut bergelora berubah tenang | Harian Metro


"Program Khas Bersama Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria | Pembuangan Abu Al-Quran"


LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.


Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.

Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.

Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.


Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.

Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.


Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.

Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.


Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran, berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga dibenarkan.

“Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan lalu.

**********************************************************************************************************************************
"Program Khas Bersama Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria | Pembuangan Abu Al-Quran"

Lagi Kes Buang Al-Quran di Mergong, Kedah



ALOR SETAR - Seorang pengurus syarikat percetakan terkejut apabila menemui dua guni plastik berisi naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kilangnya di Mergong di sini.
Plastik putih itu berisi helaian surah Yasin, doa, wirid serta panduan ibadah itu ditemui dibuang di tepi kilang Percetakan Siaran Sdn. Bhd. pada petang Isnin lalu.
Pengurus Pemasaran syarikat itu, Abdul Basidh Abdul Wahid, 40, memberitahu, dia menemui bungkusan itu ketika mahu menutup pagar premisnya kira-kira pukul 6 petang.
"Saya tidak menyangka dua bungkusan plastik itu berisi helaian al-Quran termasuk surah Yasin selain helaian doa, wirid dan panduan ibadah.
"Perbuatan itu satu penghinaan kerana tidak menjaga kesucian al-Quran dan agama," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Syarikat percetakan itu yang beroperasi sejak tahun 1958 adalah satu-satu syarikat percetakan yang mempunyai lesen mencetak teks al-Quran di Kedah dan Perlis.
Abdul Basidh memberitahu, selain mencetak bahan al-Quran, kilang itu turut mencetak buku agama dan kalendar yang ditempah pelbagai pihak.
Tambahnya, perbuatan membuang bahan al-Quran di premisnya itu dilihat mahu melepaskan tanggungjawab dan mengambil jalan mudah melupuskannya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

GEMPAR...! Kehormatan Al-Quran Dicabuli "Buang Di Bangsal Lembu"


Assalamualaikum....
Hari ini pada 26.9.2011, Digemparkan di akhbar Kosmo! dan Harian Metro Online dengan kisah "AL-QURAN DIBUANG DI BANGSAL LEMBU" di Kampung Pauh Sembilan, Bachok Kelantan.
Rasa kecewa dengan sikap individu yang tidak mempedulikan kitab suci al-Quran walaupun cetakannya salah mahupun rosak. Syarikat yang menerbitkan,mencetak dan menjualnya mengaut keuntungan berganda tetapi akhirnya yang salah dan rosak ke tempat yang hina. Begitu kejam sikap manusia yang melakukannya. Semoga Allah memberi balasan yang setimpalnya kepada mereka yang menghina kehormatan kitab suci "AL-QURAN".

GAMBAR KEADAAN AL-QURAN YANG DIHINA
BACHOK - Penduduk Kampung Pauh Sembilan dekat sini gempar apabila menemui beribu-ribu naskhah al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal lembu dipercayai untuk dilupuskan secara tidak sah.

Seorang penduduk, Mamat Harun, 65, berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin, sebuah treler telah memasuki kampungnya dan dia sempat melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori kecil.
Menurutnya, treler tersebut berhenti dalam jarak satu kilometer dari bangsal tempat al-Quran tersebut ditinggalkan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk mengangkutnya.
"Jalan ke bangsal ini sempit, jadi treler berhenti di simpang jalan dan mereka menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan al-Quran dari treler ke sebuah lori kecil sebelum dihantar ke bangsal tersebut.
"Saya sempat tanya, mereka beritahu dari Kuala Lumpur dan diarahkan untuk menghantar al-Quran tersebut ke sini untuk disimpan," ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, jarak antara rumahnya ke bangsal tersebut hanyalah 200 meter dan pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.
Bagaimanapun dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas beberapa orang polis dan pegawai pejabat agama datang ke kawasan tersebut petang kelmarin.
Katanya, bangsal tersebut yang seluas 1.4 meter x 2.8 meter itu pernah dijadikan tempat menyimpan makanan lembu seperti dedak dan rumput namun tetapi kini tidak lagi digunakan oleh pemiliknya.
Sementara itu, sumber Pejabat Agama Jajahan Bachok memberitahu, siasatan awal mendapati al-Quran tersebut mungkin untuk dilupuskan.
Ia berikutan terdapat kecacatan daripada segi cetakan dan reka bentuk ataupun kesilapan pada ayat al-Quran itu sendiri.
Katanya, al-Quran tersebut telah dihantar ke sini oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada individu tertentu untuk dilupuskan dan bangsal tersebut hanya dijadikan transit.
"Kita telah membuat laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu terbabit kerana tindakan melupus al-Quran perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hanya boleh dibuat di kawasan tertentu sahaja.
"Saya dimaklumkan tempat untuk melupus al-Quran ini hanya di Kuala Lumpur dan prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Jadi, ini mungkin salah satu cara pihak tersebut untuk mengurangkan kerugian yang dialami," ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya telah menutup kawasan tersebut dan kesemua al-Quran terbabit juga ditutup dengan rapi bagi mengelakkan ia disalah guna.
Kawasan tersebut kini di bawah pemantauan polis sehingga siasatan selesai dan tindakan susulan diambil.

Pelupusan Al-Quran Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Aug 1992 telah membincangkan Pelupusan Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam uthmani hendaklah dilupuskan.
     
  2. Kaedah pelupusan ialah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal.
     
  3. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Dan dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.
Keputusan (English): 
 
Disposal Of Al-Qur’an

Decision:

The 30th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd August 1992 has discussed on disposal of al-Quran. The Committee has decided that:

1. Al-Qur'an that is damaged, torn, extremely old, which no longer can be read and is not written in Othmani font should be disposed

2. The method of disposal is via controlled incineration and it should be buried in a controlled place

3. The disposal work should be under the responsibility of Secretariat or Council or State’s Islamic Affairs Department and carried out in secrecy to avoid public misunderstanding.

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget