Al-Farabi digelar ARISTOTLE ke-2


Al-Farabi

Digelar Aristotle ke-2
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.





Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.

Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).

Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.

Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.

Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.

Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.

Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".

Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.

Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.

Sebagai seorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.

Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.

Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.

Khazanah Fathaniyah : PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DI DUNIA MELAYU

Cetakan Terbaru 2010 : Khazanah Fathaniyah
Kandungan : Merupakan sebuah buku pembelaan untuk ulama silam dunia Melayu dari cabaran golongan intelektual Islam masa kini. Isu yang dibangkitkan ialah;

Bahagian pertama - Istilah Ahlus Sunnah wal Jama'ah, al-Quran dan as-Sunnah, Istilah Martabat Tujuh, Istilah as-Salaf as-Shalih, maulid barzanji, mengenai Nur Muhammad, ulama-ulama dunia Melayu, senarai nama para ulama yang membicarakan Nur Muhammad dan karangan-karangan mereka.
 
Bahagian Kedua - Membicarakan sejarah penulisan fiqh di dunia Melayu / Asia Tenggara, pandangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani tentang imam mujtahid, pengertian mazhab, taqlid dan talfiq, pandangan mengenai bid'ah, pegangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran khilafiyah.

Halaman : 172 M/S

Berikut dikongsi
muqaddimah penulis, yang membicarakan matlamat penghasilannya, berserta sejarah perdebatan khilafiyah di dunia Melayu dan isi kandungannya ;

PERTIKAIAN pendapat dan khilafiyah dalam Islam, sama ada diakui mahu pun tidak, ia memang sejak lama berjalan. Sama ada disengaja atau pun tidak, sama ada mengelak apatah sengaja aktif berkecimpung pada perkara itu, jika kita melibatkan diri dalam aktiviti keislaman ternyata memang tidak dapat dielakkan. Dahulunya saya aktif mengikuti perkembangan khilafiyah di beberapa tempat yang terjadi di dunia Melayu ini, di mana saja forum atau seminar khilafiyah saya akan datang. Pandangan saya dari dulu sampai sekarang sama saja, iaitu saya tidak semestinya berpihak dengan satu pihak.
Sejak akhir-akhir ini saya memang tidak berminat lagi mengikuti pertikaian pendapat. Saya berfikir bahawa masih banyak pekerjaan yang perlu, yang tidak melibatkan khilafiyah, untuk disumbangkan kepada kepentingan umat Islam. Memang pertikaian pendapat menyalah-nyalahkan orang atau pihak lain lebih banyak merugikan perpaduan ummah. Akan tetapi pada saat-saat saya berusaha untuk tidak melibatkan diri dengan perkara khilafiyah, saya diundang oleh pihak tertentu untuk kembali mempersoalkan perkara-perkara yang jauh sebelum ini diperdebatkan orang. Undangan itu disampaikan kepada saya setelah mengajar malam Ahad, bertarikh 7 Rejab 1420 H/17 Oktober 1999 M, yang disampaikan oleh salah seorang ahli pengajian. Dia menyerahkan sebuah buku kepada saya, yang memang diketahuinya bahawa dalam buku yang tersebut memang terdapat sedikit kritikan terhadap buku-buku saya. Buku yang dihadiahi itu ialah ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’, judul kecil di bawahnya ‘Misteri Nur Muhammad, Teori Martabat Tujuh dan Rahsia Kitab Berzanji’ (Prosiding Seminar, diterbitkan oleh Badan Perkhidmatan Penerangan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (BPPI), cetakan pertama, Jun 1999).
Oleh hal-hal yang tersebut di atas, saya berasa wajib membela diri. Dengan waktu yang mesti diburu, maka saya selesaikanlah buku ini yang saya beri judul ‘PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DUNIA MELAYU’. Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘ALAF KEDUA’  ialah dalam lingkungan dari 1 Januari 1001 M hingga 31 Disember 1999 M. Perdebatan perkara khilafiyah Islam di dunia Melayu telah berjalan sejak abad ke 16-17 M, iaitu bermula dari Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengkritik ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam perkara Tasawuf.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan berdebat kepada kedua-dua ulama dan tokoh shufi itu, kerana pada ketika itu kedua-duanya telah meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri tiada perlawanan, sempat menyelesaikan beberapa kitab yang memfokuskan sektor shufi sehingga benar-benar dipandang salah tanpa ada pembelaan. Tiba-tiba muncullah seorang shufi bernama Syeikh Saifur Rijal yang mampu berdebat dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Setelah diadakan pertarungan debat terbuka, manakala Sultanah Acheh Shafiyatuddin pula tidak berpihak dengan sesuatu pihak, ternyata Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak mampu berhujah melawan Syeikh Saifur Rijal. Akibat peristiwa itulah Syeikh Nuruddin ar-Raniri terpaksa meninggalkan Acheh, lalu pulang ke negerinya India.
Demikianlah salah satu di antara perjalanan debat pada abad ke 16-17. Pada abad ke 19-20, perdebatan masalah khilafiyah menjelma kembali, bukan masalah shufi saja tetapi berbagai-bagai masalah termasuk fiqh Syafi’iyah dan ‘aqidah Ahlis Sunnah wal Jama’ah aliran Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi.
Untuk perdebatan yang ada sekarang, saya mulai dengan kenyataan Syeikh Khatib ‘Ali, kata beliau, “Ketahui olehmu bahawasanya fatwa-fatwa yang batal telah masuk ke negeri Minangkabau dan lain-lain negeri Hindiyah iaitu mulai pada masa tahun hijrah Nabi kita Muhammad SAW 1330 bersetuju dengan tahun Masihi 1912. Asalnya terbit daripada Rasyid Ridha Shahib Al-Manar, Kaum Wahhabiyah di Mesir. Dikembangkan oleh setengah beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya oleh setengan beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya daripada Al-Manar itu. Maka datang kitab Khiththah al-Mardhiyah karangan Syeikhuna asy-Syeikh Ahmad Khatib Imam asy-Syafi’iyi Makkah al-Musyarrafah buat menolaknya. Dan datang pula kitab Syawahid al-Haq dan Jawahir al-Bihar karangan Syeikh Yusuf an-Nabhani Ra’su Mahkamah Beirut…. Sekalian kitab-kitab yang tersebut itu menerangkan sesat dan batalnya fatwa-fatwa yang menyalahi mazhab yang empat. Maka berusaha pula al-haqir Muhammad ‘Ali Khatib buat mengarang kitab yang bernama Burhan al-Haq dan mengeluarkan Shuluh Melayu buat menolak segala fatwa-fatwa yang batal itu…. “.
Isu yang tersebutlah yang berjalan terus di dunia Melayu tanpa hentinya hingga sekarang ini, penghujung alaf kedua. Baik peristiwa pada abad ke 16-17 atau pun peristiwa abad ke 19-20 masih dalam lingkungan alaf yang kedua. Oleh sebab alaf yang kedua Masihi berakhir, judul buku ini saya sebut “PENUTUP ….”. Sekarang kita memasuki alaf yang ketiga Masihi, kita semua belum dapat meramalkan perdebatan Islam dalam bentuk apa pula akan terjadi sepanjang alaf itu. Oleh sebab saya yakin buku ini akan menjadi rujukan orang-orang sependapat dengan saya di dunia Melayu mulai sekarang (penghujung alaf yang kedua), sepanjang alaf yang ketiga dan alaf-alaf yang berikutnya, maka setiap terbitan ulangan buku ini (selagi saya hidup), akan saya tulis penambahan-penambahan kandungannya.
Buku yang diterbitkan sekarang ini sebenarnya masih belum lengkap. Tulisan tokoh-tokoh tertentu yang segenarasi dengan saya yang mempersalah-salahkan ulama silam dunia Melayu, yang tulisannya telah sampai kepada saya, sebenarnya telah saya tanggapi. Telah saya selesaikan bantahan terhadapnya dalam alaf yang kedua tetapi masih belum diterbitkan, terpaksa diterbitkan dalam alaf yang ketiga. Oleh sebab itulah, maka saya jadikan tambahan dalam buku ini juga untuk penerbitan-penerbitan ulangan. Sebab-sebab belum diterbitkan ialah kerana memelihara hubungan baik peribadi antara saya dengan tokoh-tokoh yang bersangkutan. Akan tetapi setelah saya berfikir dan terus berfikir, bahawa mereka tidak menjaga nama baik ulama-ulama yang telah berjasa.  Sedangkan mereka demikian adanya, maka tiada perlulah saya masih bertahan untuk tidak menerbitkan pemikiran saya yang membela ulama-ulama silam kita.
Insya-Allah, saya pastikan, sama ada dalam waktu terdekat atau teratur menurut jadwal akan saya terbitkan jua. Bahawa kita berada sekarang ini, kalaulah bukan kerana perjuangan yang gigih ulama-ulama silam kita, agama apa yang kita anut atau tahap pengenalan kita terhadap agama Islam belum tentu seperti yang ada sekarang ini. Orang-orang tertentu telah mencemarkan nama ulama-ulama silam, sedangkan setiap ulama mempunyai keturunan nasab dan keturunan murid yang sekian ramai sekaligus meninggalkan karangan-karangan berupa risalah dan kitab sebagai pedoman.
Kitab-kitab peninggalan mereka pula dipersalahkan atau pun diharamkan mempergunakannya. Tanpa disedari orang-orang tertentu tadi memutuskan tali silaturrahim antara ulama silam yang terkenal dengan keturunan nasab dan jalur murid-murid mereka dari atas hingga sekarang ini, jika propaganda pihak-pihak tertentu tadi diterima oleh mereka. Atau pun keturunan nasab ulama dan keturunan murid-murid pada mulanya menjadikan karangan ulama silam sebagai pegangan, tetapi setelah membaca tulisan-tulisan orang tertentu yang menyalahkan atau pun mengharamkan tadi, mereka memandang kitab-kitab itu sangat jijik, kerana percaya dengan tuduhan, bahawa kitab-kitab itu penuh dengan kesesatan, bid’ah dan khurafat.
Mereka yang pandai menyalahkan atau pun mengharamkan ternyata tiada mampu menghasilkan karya yang berpengaruh dalam masyarakat sejagat dunia Melayu. Tanpa mereka sedari, walaupun mereka mengaku bahawa mereka akan memurnikan Islam, sebenarnya adalah sebagai virus kanker perusak dan pemusnah aliran Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Dan sekaligus sebagai perusak dan pemusnah khazanah pengkaryaan Melayu-Islam yang telah dihasilkan ulama-ulama Melayu yang telah digunakan oleh masyarakat Islam di rantau ini sejak sekian lama.
Selanjutnya dalam buku ini terdapat dua judul. Selain PENUTUP PERDEBATAN ISLAM DI DUNIA MELAYU ALAF KEDUA, judul lainnya adalah SUMBANGAN SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATHANI KEPADA PENGAJIAN FIQH SYAFI’IE DI ASIA TENGGARA. Judul ini adalah merupakan kertas kerja saya dalam Nadwah Ilmiah Tokoh Ulama Peringkat Kebangsaan Kali Keempat (SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATANI) anjuran bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademi Islam Universiti Malaya, 11-13 Jamadilakhir 1412 H/ 17-19 Disember 1991 M. Kertas kerja yang tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk buku.
Digabungkan penerbitannya dengan judul yang pertama adalah tepat pada waktunya kerana lebih memperkuat dan menyerlahkan bukti keulamaan dan ketokohan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani setelah karya beliau dikecam dalam buku berjudul ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’ yang telah disebutkan pada awal muqaddimah ini. Kertas kerja mengenai sumbangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah penting sebagai pedoman untuk menghadapi khilafiyah dalam bidang fiqhiyah Syafi’iyah pada masa-masa yang akan datang.
Sekian saja kata pengantar/ muqaddimah pada terbitan yang pertama ini, mudah-mudahan perkara ikhtilaf dalam mazhab dan firqah Islam yang dibicarakan ini menjadi rahmat, janganlah hendaknya perpecahan ummah menjadi yang lebih besar.

Diselesaikan di Kuala Lumpur
Pada Selasa, 15 Sya’ban 1420 H
                     23 November 1999 M

Wassalam,
Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah
sumber diambil dari : Khazanah Fathaniyah

Ibn Sina lebih hebat dari gurunya al-Farabi


Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.



Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.

Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori 4 unsur yang dinamakan HUMOURS iaitu :
  • Darah
  • Lendir (phlegm)
  • Hempedu kuning (yellow bile)
  • Hempedu hitam (black bile). 

Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.

Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu  Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi.

sumber artikel ini diambil dari : Ibn Sina

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget