JABATAN HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU
Pada 4 Nov 2010 seramai 6 orang pegawai dari JABATAN HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU telah mengadakan lawatan ke Pusat Pengumpulan Ayat-Ayat Suci di cheras batu 10. Lawatan yang dijalankan bertujuan melihat sendiri cara pemprosesan memulihara ayat-ayat suci dengan sempurna. Hampir 3 jam sesi lawatan kerja dijalankan.
  
Al-Farabi digelar ARISTOTLE ke-2
Digelar Aristotle ke-2 
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama  sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al  Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak  dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera  yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat  pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah  pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.
Selepas  beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan  perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di  istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini  menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi  terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat  sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih  menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan  duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga  beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).
Walaupun  Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli  sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada  zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.
Selain  itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang  dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya.  Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah  mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan  Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu  pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan  sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung  lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini  mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.
Dalam  membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu  adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk  memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang  pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu  perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat,  stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle  dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai  kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang  paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang  terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa  Arab.
Meskipun  pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi  beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam  kehidupan manusia.
Menurut  Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya  daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya  untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa  sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk  diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli  falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya  dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang  saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar  diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.
Pandangan  falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli  falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau  juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu  segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang  tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan  Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran  Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang  tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di  samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang  mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu  merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku  antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran,  idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung  dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai  ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah  disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".
Terdapat  dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku  itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama  Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang  diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi  juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan  teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai  sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.
Sebagai  seorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan  kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan.  Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi  pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap  perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah  satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah  lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan  jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya  menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Sesungguhnya  Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak  daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan  manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan  negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi  mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku  pada hari ini.
Khazanah Fathaniyah : PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DI DUNIA MELAYU
| Cetakan Terbaru 2010 : Khazanah Fathaniyah | 
Kandungan :  Merupakan sebuah buku pembelaan untuk ulama silam dunia Melayu dari  cabaran golongan intelektual Islam masa kini. Isu yang dibangkitkan  ialah;
Bahagian pertama -  Istilah Ahlus Sunnah wal Jama'ah, al-Quran dan as-Sunnah, Istilah  Martabat Tujuh, Istilah as-Salaf as-Shalih, maulid barzanji, mengenai  Nur Muhammad, ulama-ulama dunia Melayu, senarai nama para ulama yang  membicarakan Nur Muhammad dan karangan-karangan mereka.
Bahagian Kedua -  Membicarakan sejarah penulisan fiqh di dunia Melayu / Asia Tenggara,  pandangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani tentang imam mujtahid,  pengertian mazhab, taqlid dan talfiq, pandangan mengenai bid'ah,  pegangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran khilafiyah.
Berikut dikongsi muqaddimah penulis, yang membicarakan matlamat penghasilannya, berserta sejarah perdebatan khilafiyah di dunia Melayu dan isi kandungannya ;
sumber diambil dari : Khazanah FathaniyahPERTIKAIAN pendapat dan khilafiyah dalam Islam, sama ada diakui mahu pun tidak, ia memang sejak lama berjalan. Sama ada disengaja atau pun tidak, sama ada mengelak apatah sengaja aktif berkecimpung pada perkara itu, jika kita melibatkan diri dalam aktiviti keislaman ternyata memang tidak dapat dielakkan. Dahulunya saya aktif mengikuti perkembangan khilafiyah di beberapa tempat yang terjadi di dunia Melayu ini, di mana saja forum atau seminar khilafiyah saya akan datang. Pandangan saya dari dulu sampai sekarang sama saja, iaitu saya tidak semestinya berpihak dengan satu pihak.Sejak akhir-akhir ini saya memang tidak berminat lagi mengikuti pertikaian pendapat. Saya berfikir bahawa masih banyak pekerjaan yang perlu, yang tidak melibatkan khilafiyah, untuk disumbangkan kepada kepentingan umat Islam. Memang pertikaian pendapat menyalah-nyalahkan orang atau pihak lain lebih banyak merugikan perpaduan ummah. Akan tetapi pada saat-saat saya berusaha untuk tidak melibatkan diri dengan perkara khilafiyah, saya diundang oleh pihak tertentu untuk kembali mempersoalkan perkara-perkara yang jauh sebelum ini diperdebatkan orang. Undangan itu disampaikan kepada saya setelah mengajar malam Ahad, bertarikh 7 Rejab 1420 H/17 Oktober 1999 M, yang disampaikan oleh salah seorang ahli pengajian. Dia menyerahkan sebuah buku kepada saya, yang memang diketahuinya bahawa dalam buku yang tersebut memang terdapat sedikit kritikan terhadap buku-buku saya. Buku yang dihadiahi itu ialah ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’, judul kecil di bawahnya ‘Misteri Nur Muhammad, Teori Martabat Tujuh dan Rahsia Kitab Berzanji’ (Prosiding Seminar, diterbitkan oleh Badan Perkhidmatan Penerangan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (BPPI), cetakan pertama, Jun 1999).Oleh hal-hal yang tersebut di atas, saya berasa wajib membela diri. Dengan waktu yang mesti diburu, maka saya selesaikanlah buku ini yang saya beri judul ‘PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DUNIA MELAYU’. Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘ALAF KEDUA’ ialah dalam lingkungan dari 1 Januari 1001 M hingga 31 Disember 1999 M. Perdebatan perkara khilafiyah Islam di dunia Melayu telah berjalan sejak abad ke 16-17 M, iaitu bermula dari Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengkritik ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam perkara Tasawuf.Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan berdebat kepada kedua-dua ulama dan tokoh shufi itu, kerana pada ketika itu kedua-duanya telah meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri tiada perlawanan, sempat menyelesaikan beberapa kitab yang memfokuskan sektor shufi sehingga benar-benar dipandang salah tanpa ada pembelaan. Tiba-tiba muncullah seorang shufi bernama Syeikh Saifur Rijal yang mampu berdebat dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Setelah diadakan pertarungan debat terbuka, manakala Sultanah Acheh Shafiyatuddin pula tidak berpihak dengan sesuatu pihak, ternyata Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak mampu berhujah melawan Syeikh Saifur Rijal. Akibat peristiwa itulah Syeikh Nuruddin ar-Raniri terpaksa meninggalkan Acheh, lalu pulang ke negerinya India.Demikianlah salah satu di antara perjalanan debat pada abad ke 16-17. Pada abad ke 19-20, perdebatan masalah khilafiyah menjelma kembali, bukan masalah shufi saja tetapi berbagai-bagai masalah termasuk fiqh Syafi’iyah dan ‘aqidah Ahlis Sunnah wal Jama’ah aliran Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi.Untuk perdebatan yang ada sekarang, saya mulai dengan kenyataan Syeikh Khatib ‘Ali, kata beliau, “Ketahui olehmu bahawasanya fatwa-fatwa yang batal telah masuk ke negeri Minangkabau dan lain-lain negeri Hindiyah iaitu mulai pada masa tahun hijrah Nabi kita Muhammad SAW 1330 bersetuju dengan tahun Masihi 1912. Asalnya terbit daripada Rasyid Ridha Shahib Al-Manar, Kaum Wahhabiyah di Mesir. Dikembangkan oleh setengah beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya oleh setengan beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya daripada Al-Manar itu. Maka datang kitab Khiththah al-Mardhiyah karangan Syeikhuna asy-Syeikh Ahmad Khatib Imam asy-Syafi’iyi Makkah al-Musyarrafah buat menolaknya. Dan datang pula kitab Syawahid al-Haq dan Jawahir al-Bihar karangan Syeikh Yusuf an-Nabhani Ra’su Mahkamah Beirut…. Sekalian kitab-kitab yang tersebut itu menerangkan sesat dan batalnya fatwa-fatwa yang menyalahi mazhab yang empat. Maka berusaha pula al-haqir Muhammad ‘Ali Khatib buat mengarang kitab yang bernama Burhan al-Haq dan mengeluarkan Shuluh Melayu buat menolak segala fatwa-fatwa yang batal itu…. “.Isu yang tersebutlah yang berjalan terus di dunia Melayu tanpa hentinya hingga sekarang ini, penghujung alaf kedua. Baik peristiwa pada abad ke 16-17 atau pun peristiwa abad ke 19-20 masih dalam lingkungan alaf yang kedua. Oleh sebab alaf yang kedua Masihi berakhir, judul buku ini saya sebut “PENUTUP ….”. Sekarang kita memasuki alaf yang ketiga Masihi, kita semua belum dapat meramalkan perdebatan Islam dalam bentuk apa pula akan terjadi sepanjang alaf itu. Oleh sebab saya yakin buku ini akan menjadi rujukan orang-orang sependapat dengan saya di dunia Melayu mulai sekarang (penghujung alaf yang kedua), sepanjang alaf yang ketiga dan alaf-alaf yang berikutnya, maka setiap terbitan ulangan buku ini (selagi saya hidup), akan saya tulis penambahan-penambahan kandungannya.Buku yang diterbitkan sekarang ini sebenarnya masih belum lengkap. Tulisan tokoh-tokoh tertentu yang segenarasi dengan saya yang mempersalah-salahkan ulama silam dunia Melayu, yang tulisannya telah sampai kepada saya, sebenarnya telah saya tanggapi. Telah saya selesaikan bantahan terhadapnya dalam alaf yang kedua tetapi masih belum diterbitkan, terpaksa diterbitkan dalam alaf yang ketiga. Oleh sebab itulah, maka saya jadikan tambahan dalam buku ini juga untuk penerbitan-penerbitan ulangan. Sebab-sebab belum diterbitkan ialah kerana memelihara hubungan baik peribadi antara saya dengan tokoh-tokoh yang bersangkutan. Akan tetapi setelah saya berfikir dan terus berfikir, bahawa mereka tidak menjaga nama baik ulama-ulama yang telah berjasa. Sedangkan mereka demikian adanya, maka tiada perlulah saya masih bertahan untuk tidak menerbitkan pemikiran saya yang membela ulama-ulama silam kita.Insya-Allah, saya pastikan, sama ada dalam waktu terdekat atau teratur menurut jadwal akan saya terbitkan jua. Bahawa kita berada sekarang ini, kalaulah bukan kerana perjuangan yang gigih ulama-ulama silam kita, agama apa yang kita anut atau tahap pengenalan kita terhadap agama Islam belum tentu seperti yang ada sekarang ini. Orang-orang tertentu telah mencemarkan nama ulama-ulama silam, sedangkan setiap ulama mempunyai keturunan nasab dan keturunan murid yang sekian ramai sekaligus meninggalkan karangan-karangan berupa risalah dan kitab sebagai pedoman.Kitab-kitab peninggalan mereka pula dipersalahkan atau pun diharamkan mempergunakannya. Tanpa disedari orang-orang tertentu tadi memutuskan tali silaturrahim antara ulama silam yang terkenal dengan keturunan nasab dan jalur murid-murid mereka dari atas hingga sekarang ini, jika propaganda pihak-pihak tertentu tadi diterima oleh mereka. Atau pun keturunan nasab ulama dan keturunan murid-murid pada mulanya menjadikan karangan ulama silam sebagai pegangan, tetapi setelah membaca tulisan-tulisan orang tertentu yang menyalahkan atau pun mengharamkan tadi, mereka memandang kitab-kitab itu sangat jijik, kerana percaya dengan tuduhan, bahawa kitab-kitab itu penuh dengan kesesatan, bid’ah dan khurafat.Mereka yang pandai menyalahkan atau pun mengharamkan ternyata tiada mampu menghasilkan karya yang berpengaruh dalam masyarakat sejagat dunia Melayu. Tanpa mereka sedari, walaupun mereka mengaku bahawa mereka akan memurnikan Islam, sebenarnya adalah sebagai virus kanker perusak dan pemusnah aliran Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Dan sekaligus sebagai perusak dan pemusnah khazanah pengkaryaan Melayu-Islam yang telah dihasilkan ulama-ulama Melayu yang telah digunakan oleh masyarakat Islam di rantau ini sejak sekian lama.Selanjutnya dalam buku ini terdapat dua judul. Selain PENUTUP PERDEBATAN ISLAM DI DUNIA MELAYU ALAF KEDUA, judul lainnya adalah SUMBANGAN SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATHANI KEPADA PENGAJIAN FIQH SYAFI’IE DI ASIA TENGGARA. Judul ini adalah merupakan kertas kerja saya dalam Nadwah Ilmiah Tokoh Ulama Peringkat Kebangsaan Kali Keempat (SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATANI) anjuran bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademi Islam Universiti Malaya, 11-13 Jamadilakhir 1412 H/ 17-19 Disember 1991 M. Kertas kerja yang tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk buku.Digabungkan penerbitannya dengan judul yang pertama adalah tepat pada waktunya kerana lebih memperkuat dan menyerlahkan bukti keulamaan dan ketokohan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani setelah karya beliau dikecam dalam buku berjudul ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’ yang telah disebutkan pada awal muqaddimah ini. Kertas kerja mengenai sumbangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah penting sebagai pedoman untuk menghadapi khilafiyah dalam bidang fiqhiyah Syafi’iyah pada masa-masa yang akan datang.Sekian saja kata pengantar/ muqaddimah pada terbitan yang pertama ini, mudah-mudahan perkara ikhtilaf dalam mazhab dan firqah Islam yang dibicarakan ini menjadi rahmat, janganlah hendaknya perpecahan ummah menjadi yang lebih besar.
Diselesaikan di Kuala LumpurPada Selasa, 15 Sya’ban 1420 H23 November 1999 M
Wassalam,Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Langgan:
Ulasan (Atom)
PERINGATAN
Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.
Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.
Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu 
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan 
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya. 
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268
Kerjasama anda kami hargai.
Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.





