SEJARAH AL-QURAN

QuranApakah itu al-Quran?

  • Ia membawa maksud ‘bacaan’, berasal dari perkataan qara’a.
  • Kata al-Quran berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul yakni maqru’ (dibaca).
  • Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, dihafal, dihayati, diimani dan diamalkan.

Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (di dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu), jika Kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikutinya. (al-Qiyaamah: 17-18).

Al-Quran kini didefinisikan sebagai himpunan khusus Kalamullah yang merupakan mukjizat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang ditulis, dimushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah yang sangat dituntut.

Terdapat juga Kalamullah yang diturunkan kepada nabi selain Rasulullah SAW dan tidak dinamakan al-Quran. Contohnya, Kalamullah yang terhimpun dalam Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s.,, Taurat kepada Nabi Musa a.s. dan Injil kepada Nabi Isa a.s.

Ada jua Kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW yang tidak dinamakan al-Quran dan membacanya dianggap sebagai ibadat dinamakan Hadis Qudsi.

Penurunan dan Penerimaan Wahyu Tidak Mudah

Oleh kerana nilai al-Quran itu sangat tinggi dan tidak ada barang benda yang boleh disamakan dengannya, maka penurunan dan penerimaan al-Quran melalui wahyu bukanlah satu kerja atau proses yang mudah.

Ia diturun dan diterima oleh Rasulullah dengan pelbagai cara.

Antaranya:
  • Malaikat (Jibril) memasukkan wahyu ke dalam hati Rasulullah. Dalam hal ini Rasulullah tidak melihat sesuatu apa pun. Baginda merasa wahyu itu sudah berada dalam kalbu baginda. Mengenainya baginda menyatakan: “Ruhul qudus mewahyukan ke dalam kalbulku”. Hal ini boleh dirujuk melalui ayat 51, surah Asy-Syura.

  • Malaikat (Jibril) menampakkan dirinya kepada Nabi dalam bentuk rupa lelaki yang mengajarkan kepada baginda membaca sesuatu wahyu sehingga baginda mengetahui dan benar-benar hafal.

  • Wahyu datang kepada baginda seperti gemerincing loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan oleh baginda. Kadang-kadang pada kening baginda terpercik peluh walaupun wahyu turun pada musim dingin. Kadang-kadang unta baginda terpaksa berhenti dari berjalan dan terduduk kerana merasa amat berat sekiranya ketika wahyu diturunkan, baginda sedang menunggang unta.

  • Sebagai penulis wahyu, Zaid bin Sabit diriwayatkan berkata: “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat ketika turunnya wahyu, Rasulullah yang menerimanya seakan-akan diserang demam yang teruk dan peluh baginda bercucuran seperti permata. Setelah selesai turunnya wahyu, barulah baginda kembali seperti biasa”.

  • Malaikat (Jibril) menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki tetapi dalam bentuk rupanya yang asal. Hal ini terkandung dalam ayat 13-14, Surah An-Najm yang bermaksud: Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidarulmuntaha).

Penurunan al-Quran

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun yakni 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur adalah:

  • Lebih mudah dimengerti dan dilaksanakan penyebaran dan penghafalannya. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu dibuat dalam keadaan banyak sekali gus selain dari ia akan membebankan.

  • Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kemaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus.

  • Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih mengesankan dan lebih meresap ke dalam sanubari.

  • Memudahkan penghafalan.

  • Di antara ayat-ayat itu ada yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan sesuatu pendapat atau perbuatan.

Ayat Makiyyah Dan Madaniyyah

Al-Quran terbahagi kepada dua bahagian ayat iaitu ayat Makiyyah dan ayat Madaniyyah.

Ayat Makiyyah : diturunkan di Mekah



Ayat Madaniyyah : diturunkan di Madinah.


Beza antara keduanya adalah:

Ayat-ayat Makiyyah pada umumnya pendek-pendek manakala ayat-ayat Madaniyyah pula panjang-panjang.



Ayat Madaniyyah yang merupakan 11/30 juzuk kandungan al-Quran berjumlah 1,456 ayat


Ayat Makiyyah yang merupakan 19/30 juzuk daripada isi kandungan al-Quran berjumlah 4,780 ayat.


Keseluruhan ayat al-Quran sebanyak 6,236 ayat dengan kira-kira 1.2 juta huruf.

Dalam bentuk surahnya sebanyak 114 surah dan juzuknya sebanyak 30 juzuk. Membaca al-Quran diberi 10 ganjaran untuk setiap satu huruf.

Dalam ayat-ayat Madaniyyah terdapat ayat ya ayyuhalladzina aamanu (Wahai orang yang beriman) dan amat sedikit terdapat ayat ya ayyuhanass (Wahai manusia), manakala dalam ayat-ayat Makiyyah pula adalah sebaliknya.

Ayat-ayat Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal-hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah-kisah umat terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.

Ayat-ayat Madaniyyah pula mengandungi hukum-hukum sama ada yang berhubungan dengan hukum adat atau hukum-hukum duniawi seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum antara bangsa, hukum antara agama dan sebagainya.

Oleh RAMLI ABDUL HALIM
*RAMLI ABDUL HALIM ialah murid tua Madrasah Al-Balaghulmubin, Rong Chenak, Pasir Mas, Kelantan.



Tiada ulasan:

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget