FARAID : Pengurusan Wasiat Harta Pusaka - Siri 2


PEMBAHARUAN DALAM UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM
 
Sebelum Islam terutamanya pada zaman Jahiliah, anak-anak perempuan, isteri, ibu-ibu dan ahli waris perempuan yang lain langsung tidak diberikan hak dalam harta pusaka. Demikian juga kanak-kanak yang belum baligh tidak diberikan hak dalam pembahagian harta pusaka. Perwarisan hanya berlaku kepada golongan lelaki 8 yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga dari serangan musuh. Perwarisan hanya berlaku atas dasar keturunan (untuk lelaki yang dewasa), perjanjian dan anak angkat.

Selepas turunnya ayat  al-mawarith, Undang-undang Pusaka Islam telah memperkenalkan satu pembaharuan dalam undang-undang pusaka, di mana golongan wanita telah diiktiraf oleh Islam dengan memberikan kepada mereka taraf ahli waris yang sah dan menetapkan kadar  tertentu kepada mereka dalam harta pusaka.Daripada 12 golongan ahli waris ashab al-furud, seramai  8 orang adalah terdiri daripada ahli waris perempuan dan 4 orang sahaja yang terdiri dari ahli waris lelaki. Di antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam Undang-undang Pusaka Islam ialah:

1. Hak pusaka mempusakai adalah berasaskan kepada hubungan nasab (kerabat), akad perkahwinan, wala’ dan Islam.

2. Tidak menafikan hak dalam pusaka antara lelaki dan perempuan, kecil atau besar, di mana semua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh pewaris (si mati).

3. Ibu bapa dan anak-anak tidak digugurkan daripada menerima harta pusaka dalam apa keadaan sekalipun. Kemungkinan kadar bahagian mereka dalam pusaka boleh berubah sekiranya terdapat   ahli -ahli waris yang lain.

4. Saudara-saudara lelaki dan perempuan tidak akan menerima harta pusaka sekiranya ada dua ibu bapa si 9 mati. Kewujudan saudara-saudara boleh mengurangkan bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6.

5. Apabila wujud ahli waris lelaki dan perempuan dalam satu kes, ahli waris lelaki akan mengambil dua bahagian ahli waris perempuan, atau dua bahagian untuk ahli waris lelaki dan satu bahagian untuk ahli waris perempuan.


DASAR UMUM DALAM UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM

Undang-undang Pusaka Islam dibina di atas asas yang kukuh , yang tidak wujud dalam sistem pusaka yang lain. Dasar ini merupakan ciri utama kepada Undang-undang Pusaka Islam, iaitu:

1.  Al-Wasatiyyah, iaitu satu sistem yang bersifat pertengahan (wasatiyyah) berbanding dengan sistem kapitalis dan komunis. Pemilikan individu diberi pengiktirafan dan dijamin melalui Undang-undang Pusaka Islam.

 2.  Al-Tawazun, iaitu satu sistem yang memberi perimbangan kepada pemilik harta untuk melupuskan hartanya atas kadar 1/3 selepas kematian dalam bentuk wasiat untuk kebajikan, dan 2/3 lagi untuk ahli- ahli waris sebagai harta pusaka mengikut hukum Syarak.

3.  Al-Adalah; iaitu satu sistem pembahagian pusaka secara adil  kepada semua ahli-ahli waris berdasarkan fitrah manusia, keperluan dan  keakraban mereka dengan pewaris.

4. Al-Ijbar; iaitu satu sistem yang mewajibkan semua ahli-ahli waris menerima harta pusaka secara faraid dan pewaris tidak boleh menegah salah seorang ahli-ahli waris daripada menerima harta pusakanya, malah ahli-ahli waris wajib menerima harta pusaka segera selepas kematian, kecuali dia melepaskan haknya.

5. Perwarisan dikalangan keluarga terdekat; iaitu perwarisan yang berlaku dikalangan kaum kerabat terdekat dengan pewaris seperti suami isteri, dua ibu bapa,  anakanak, saudara-saudara, bapa-bapa saudara dan dhawi alarham(menurut pendapat Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal) .

 6. Penetapan bahagian untuk ahli-ahli waris; iaitu ahliahli waris fardu dan  asabah  akan menerima pusaka. Bahagian ahli-ahli waris  ashab al-furud telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Bahagian mereka sama ada 1/2, 1/4, 1/8, 2/3 , 1/3 atau 1/6 sepertimana dijelaskan dalam nas alQuran.

 7. Ahli-ahli waris yang syumul; iaitu ahli-ahli waris yang berhak menerima pusaka adalah merangkumi semua ahliwaris atau kerabat, sama ada kecil atau besar, tua  atau muda, kaya atau miskin dan janin dalam kandungan ibu mereka juga diberi hak dalam pusaka. Demikian juga suami atau isteri berhak menerima harta pusaka sekalipun mereka bukan kerabat, tetapi mereka mempunyai hubungan suci perkahwinan, pengorbanan, tolong menolong dan kesetiaan di antara mereka.

 8. Hak wanita dan kanak-kanak dalam pusaka dan kadarnya; iaitu wanita dan kanak-kanak kecil dijamin hak mereka dalam pusaka Islam. Kadar yang sepatutnya diterima oleh wanita adalah 2/3, 1/3, 1/6, 1/2, 1/4 atau 1/8. Kanak-kanak kecil atau besar kadar penerimaan mereka dalam pusaka adalah sama sahaja.

 9. Keutamaan kepada kaum kerabat yang lebih hampir dengan pewaris jika tidak ada halangan tertentu yang boleh menghalang mereka daripada menerima harta pusaka.

 10. Berlebih kurang kadar (al-tafadul) dalam pembahagian pusaka adalah berasaskan kepada keperluan ahli-ahli waris (al-hajah), umpamanya wanita dan kanak-kanak kecil lebih memerlukan kepada harta, anakanak si mati lebih memerlukan kepada harta berbanding dengan bapa dan datuk mereka dan lelaki lebih memerlukan kepada harta berbanding dengan wanita kerana lelaki memikul tanggungjawab tertentu dalam agama.

 11. Hukum pusaka Islam bersifat tetap (thabat); iaitu tidak berubah dan tidak boleh bertukar ganti sekalipun masa, lokasi dan individu berubah kerana ia merupakan ketetapan Allah s.w.t. melalui nas al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. kecuali dalam kes perwarisan datuk ketika bersama saudara-saudara dalam menerima pusaka dan wasiat wajibah yang ada ruang untuk berijtihad.


Tiada ulasan:

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget