Ibn Sina lebih hebat dari gurunya al-Farabi


Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.



Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.

Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori 4 unsur yang dinamakan HUMOURS iaitu :
  • Darah
  • Lendir (phlegm)
  • Hempedu kuning (yellow bile)
  • Hempedu hitam (black bile). 

Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.

Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu  Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi.

sumber artikel ini diambil dari : Ibn Sina

7 Daerah Terengganu catat "Malaysian Book of Records" Khatam Al-Quran menggunakan e-Book

Baru-baru ini seramai 16,929 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berjaya khatam al-Quran secara serentak di kesemua tujuh daerah di negeri Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,170 murid Tahun Satu hingga Enam di Terengganu termasuk kira-kira 300 orang di Stadium Tertutup, Kompleks Gong Badak di sini menggunakan e-Book untuk majlis berkenaan.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tersebut turut dicatit dalam Malaysia Book of Records sebagai Khatam al-Quran Terbanyak Menggunakan e-Book Secara Serentak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halid Sintol, pegawai daripada Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin selain Exco kerajaan negeri. Ahmad berkata, majlis berkenaan diadakan di tempat berasingan memandangkan Terengganu tidak mempunyai venue khusus bagi menampung jumlah mereka yang ramai. Justeru, katanya, majlis melibatkan 6,001 murid dari Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta kawasan Manir dan Batu Rakit itu diadakan di Stadium Tertutup manakala 2,400 murid dari Parlimen Besut pula diadakan di Masjid Kampung Raja, Besut dan 1,626 dari Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri.

Menurut beliau, seramai 1,972 murid dari Parlimen Marang pula di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang, 1,749 murid lagi dari Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud, Parlimen Dungun (1,821) di Masjid Tengku Intan Zaharah dan Kemaman (1,264) di Masjid Sultan Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan 30,000 kanak-kanak dari negeri ini yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan tadika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

TASAUF DAN SYARIAH....Ape yang anda tahu...?

DALAM kesempatan yang lepas kita telah menjelaskan kesilapan sesetengah golongan yang cenderung menuduh bidaah terhadap sesama Islam sedangkan tidak semua yang baharu dalam agama itu adalah bidaah secara hakiki. Seringkali yang dikatakanbidaah hasanah itu sebenarnya bukanlah bidaah melainkan dari sudut bahasa sahaja.

Aliran yang paling banyak dituduh dengan amalan bidaah adalah aliran tasauf sehingga ia teraniaya, ditohmah dan dipandang serong. Hanya segelintir manusia yang memandangnya dengan betul dan benar. Sebahagian besar ahli masyarakat melabelkan tasauf dan sufi dengan sifat-sifat yang tercela dan keji sehingga menjatuhkan hak penyaksian dan keadilan seseorang ahli tasauf. Mereka sampai berkata: "Si fulan tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima khabarnya. Kenapa? Kerana dia adalah seorang Sufi!"

Namun demikian, apa yang menghairankan, orang-orang yang begitu lancang mencaci tasauf dan menentang ahli sufi ini pula, kerap mengutip kata-kata dan perbuatan ahli sufi untuk dijadikan bahan teks ucapan dan pengajaran mereka di atas mimbar-mimbar Jumaat dan kerusi-kerusi pengajian.

Mereka seolah-olah tidak berasa malu dan segan meminjam kata-kata imam-imam sufi ini untuk digunapakai dalam khutbah-khutbah dan majlis-majlis pengajian mereka. Kita seringkali mendengar mereka mengucapkan: Telah berkata al Fudhail ibn 'Iyadh r.a, telah berkata Junaid al Baghdadi r.a, telah berkata Hasan al Basri r.a, telah berkata Sahl al Tasturi r.a, telah berkata al Muhasibi r.a, telah berkata Bisyr al Hafi r.a dan sebagainya.

Adakah mereka tidak kenal siapakah insan yang meniti di bibir-bibir mereka itu? Nama-nama ulama yang mereka sebut merupakan pemuka-pemuka tasauf yang tidak asing lagi. Malah ulama inilah yang telah menyusun kaedah-kaedah ilmu tasauf dan telah mencapai kedudukan sebagai wali qutub (pangkat kewalian tertinggi). Kitab-kitab tasauf juga dipenuhi dengan kata-kata mereka, khabar-khabar dan biografi mereka. Tidak dapat dipastikan, sama ada orang yang mentohmah ahli tasauf ini benar-benar orang yang jahil ataupun buat-buat jahil? Atau mereka ini buta atau buat-buat buta?

Kita suka menaqalkan kalam imam-imam agama yang mereka ini adalah penyangga dan rijal tasauf. Apa yang kita kehendaki di sini adalah menaqalkan kalam mereka mengenai syariat Islam supaya kita mengetahui mawqif (pendirian) mereka yang sebenar. Kita wajib mengenali seseorang itu melalui dirinya sendiri. Dalam mengenali seseorang, dirinya sendirilah yang terbaik untuk menceritakan mengenai pendapatnya sendiri dan lebih dipercayai apabila dia menzahirkan apa yang ada di dalam hatinya.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget