Zina : Akibat Buruk Yang Mengundang


Zina merupakan kejahatan yang  sangat besar yang memberi kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri,  khususnya  dan kepada seluruh umat amnya. Di zaman sekarang di mana banyaknya  saluran dan media yang berusaha menyeret kearah perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk  setiap orang mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari  dosa zina, Kita semua  hendaklah   lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus, hatta, walaupun hanya mendekatinya. Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah:
§ Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni berkurangnya  agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya  rasa cemburu.
§ Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal yang amat diambil berat  dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.
§ Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
§ Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
§ Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan  atau merasa demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
§ Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan  jatuh  martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
§ Allah akan mencampakkan  sifat liar di hati penzina , sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
§ Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual  dan tidak percaya .
§ Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu  oleh orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
§ Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
§ Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat  bidadari yang jelita di syurga kelak.
§ Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh  membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang  lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan  maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya  dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
§ Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan  masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada  pelakunya malah kepada  seluruh keluarganya.
§ Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam daripada  asakan akidah kafir, misalnya, kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas dalam jiwa kerana  walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan diri dia akan  masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya.
§ Jika wanita yang berzina  hamil dan  untuk menutupi aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah  membunuh jiwa yang tidak berdosa. Jika dia ialah seorang wanita yang telah  bersuami dan melakukan kecurangan  sehingga hamil dan membiarkan anak itu  lahir maka dia telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan  mereka tanpa disedari  siapa dia sebenarnya. Amat  mengerikan, naudzubillah min dzalik.
§ Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab),  Di mata masyarakat mereka tidak memiliki  status sosial yang jelas.
§ Penzina laki-laki berarti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
§ Zina dapat menyemai  permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya .
§ Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh  martabat di mata  masyarakat, sehingga kadang-kadang menyebabkan  mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.
§ Perzinaan  menyebabkan menularnya penyakit-penyakit ganas seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.
§ Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan yang dilakukan secara  terang-terangan.
Zina : Akibat Buruk Yang Mengundang
Demikianlah  besarnya bahaya  dosa zina, sehingga   Ibnul Qayyim,  ketika  mengulas tentang hukuman bagi penzina, berkata: “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:
Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu tahun.
Kedua, Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan  terhadap penzina. Umumnya sifat  kasihan  adalah diharuskankan bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga  menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan  boleh   dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan  hukuman  merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan  positif bagi kebaikan umat.
BEBERAPA PERKARA PENTING YANG PERLU DIPERHATIKAN
Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang mealkukannya hanya sekali.
§ Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan  terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya  secara  sembunyi-sembunyi.
§ Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim (terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan rumah tangganya.
§ Berzina dengan jiran  lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.
§ Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana  perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
§ Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih jahat dan hina  daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
§ Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan, baik siangnya ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
§ Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
§ Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama dari segi ekonomi) lebih buruk deripada orang fakir atau lemah.

BERTAUBAT
Bertaubat ini bukan khusus  hanya kepada penzina, bahkan  kepada sesiapa  sahaja yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya. Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling penting adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menarik  ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah dilakukan, dan  ingatlah, tidak ada istilah  ‘putus asa’  dalam  mencari rahmat Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan orang-orang yang tidak menyembah ilah yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka mereka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “ (QS. 25:68-70)

Disaring dari risalah Daarul Wathan judul Min mafasid az-zina, karya Muhammad bin Ibrahim al Hamd.
Zina : Akibat Buruk Yang Mengundang

Rekod Dunia : Menulis Al-Quran Sepanjang 6km Terpanjang Di Dunia



Hussein Menulis Al-Quran Terpanjang Di Dunia

Seorang pemuda Iraq bercadang mencipta nama sebagai penulis ayat al-Quran paling panjang di dunia, lapor media semalam. Hussein al-Kharsan, 25, berkata dia menjangkakan tulisannya itu sepanjang antara 5,500 dan 6,000 meter. Jika usahanya berjaya, nama Hussein bakal tercatat dalam buku Rekod Dunia Guinness.

Naskhah itu sepatutnya dipamerkan tahun ini, sempena perisytiharan Najaf sebagai Ibu Negara Kebudayaan Islam, tetapi projek berkenaan ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan ekoran pelbagai isu, termasuk dakwaan rasuah. Sejak memulakan tugasnya sebulan lalu, Hussein berjaya menyiapkan 13 halaman al-Quran.

Walaupun mengalami kesakitan tengkuk dan belakang, graduan lepasan Universiti Baghdad itu terus tekun menyiapkan naskhah berkenaan selama beberapa jam sehari. Katanya, dia sepatutnya menyiapkan naskhah itu dalam tempoh enam bulan dengan menulis tiga daripada 503 halaman sehari. “Pada awalnya saya berjaya dan menulis selama 16 jam sehari sehingalah saya mula rasa sakit pada minggu kedua,” katanya.

Kini Hussein mengabaikan nasihat doktor supaya berehat, sebaliknya dia memakan pil penahan sakit dan menulis lima jam sehari. - AFP

Nasihat Emas Kerohanian - Syeikh Mahmud Majzub al-Kedahi | Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat


Syeikh Mahmud al-Majzub al-Kedahi
Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat

NASIHAT EMAS - PENGUBAT KEROHANIAN

Dipetik dari kata-kata Syeikh Mahmud al-Majzub al-Kedahi didalam kitab Ruhul zikri :-

1- Perkara kerohanian tidak boleh difaham dengan aqal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu, sudah tentulah Imam Ghazali tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya’rani tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

2- Belajar kereta perlu ada guru, nak kenal Allah tak perlu guru. Ini awal-awal lagi syaitan tipu.

3- Duka dan suka di dalamnya makrifah lebih manis daripada madu, lebih putih daripada susu. Duka dan suka di dalamnya kekufuran dan kesyirikkan lebih pahit daripada hempedu dan lebih busuk daripada budu.

4- Kalau nak berjalan (di dalam perjalanan Ahlullah). Mengaku kita ni tak terpakai (tak berguna dan banyak dosa), lebih senang, mudah-mudahan Allah S.W.T. ampun dosa kita.

5- Orang yang diberi mudah (untuk menjalani jalan kesufian) apabila ada darah (keturunan) kesufian. Tiada dosa besar. Tiada amalan kejinnan (khadam). Banyakkan selawat, istighfar, zikir dan baik adab dengan Allah S.W.T., zuhud, tinggalkan makhluk, bersungguh-sungguh dengan Allah S.W.T., istiqomah, tegas, tiada tujuan dunia dan akhirat.

6- Kalau tak senang dengan sesuatu – DIAM!

7- Cakap salah tak cakap salah, cakaplah kerana Allah S.W.T. Semoga jadi hamba Allah S.W.T.

8- Kerja dunia boleh tangguh-tangguh, kerja akhirat tak boleh tangguh-tangguh.

9- Saya berdoa kepada Allah S.W.T. nak jadi hamba Allah S.W.T., bukan nak jadi wali.

10- Buat ibadat nak jadi wali – syirik!

11- Orang yang sebenar cinta Allah S.W.T. tidak takut menghadapi cabaran hidup dunia.


12- Saya tak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tak ketahuan). Saya tak ajar kamu menjadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah S.W.T. yang bertaqwa.

13- Saya hamba Allah S.W.T. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang Allah S.W.T. bagi tahu. Kalau Dia tak bagi tahu, saya pun tak tahu.

14- Dia Tuhan! kita hamba. Jangan campur urusan Tuhan. Manusia jenis apa ini? Dia nak atur Tuhan. Dia suruh Tuhan ikut dia. Nauzubillah min zalik..

15- Hidup atas dunia tak mahu ikut nabi, aulia atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh, ini cerita kartun.

16- Waktu hidup ikut Firaun, Qarun dan Haman. Bila mati nak masuk Syurga, dengan nabi Musa a.s. dan Harun a.s. Logik tak? fikir-fikirlah..

17- Manusia, banyak tak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu amarah kemudian berdoa dengan Tuhan. Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dulu. Allah S.W.T. jadikan nafsu Amarah supaya kita tinggalkan bukan untuk ikut.

18- Cara cuci hati. Banyakkan baca Al-Quran, ingat mati dan hadir majlis zikir. Bila hati suci, barulah ada tauhid.

19- Ilmu (kesufian) ini bukan boleh diwarisi. Kalau boleh tentulah saya bagi anak isteri saya dulu, tetapi ia adalah anugerah Tuhan.

20- Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis).

21- Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa. Macam kera maka jadilah kera.

22- Saya mengajar ilmu para wali bukannya tok sami!

23- Saya hanya boleh nasihat, saya tak boleh memberi manfaat dan mudharat. Buat ibadat nak fadhilat, nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat.

24- Kesufian bukan boleh di dapati dengan seminar dan pena. Kesufian boleh di dapati dengan zuhud dan yakin.

25- Jangan buat ibadat pura-pura, nanti jadi kura-kura.

26- Nabi Yunus a.s., duduk dalam perut ikan tapi, tak jadi tahi, sebab baginda membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”. Oleh itu supaya kita, tidak menjadi tahi dunia, maka banyakkanlah membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”.

27- Perjalanan saya muafakat dengan perjalanan Maulana Ilyas r.a. (Pengasas Jemaah Tabligh, Ahli Zaman Abad 14 hijrah) dari segi menghancur hati kepada Allah S.W.T. cuma caranya berbeza tetapi matlamatnya sama. Seperti nelayan nak menjadi jutawan, tauke kilang nak jadi jutawan, peladang nak jadi jutawan. Walaupun caranya berbeza tetapi matlamat mereka sama, nak jadi jutawan!

28- Kamu boleh paksa anak kamu untuk dunia, tak cukup dengan sekolah pergi tusyen lagi. Tapi kenapa dengan halqah zikir kamu tak boleh buat?
Air mata takut Allah S.W.T. tak sama dengan air mata lembu. Macamana air mata lembu? Bila dia lapar dia menangis, bila dia sakit dia menangis, bila anak dia mati dia menangis. Macam itulah air mata orang tidak takut Allah S.W.T.

29- Menurut hadis, setitik air mata orang yang takut Allah S.W.T. boleh memadamkan api neraka. Apatah lagi api dunia dan bom atom, bom nuklear – kalau dibandingkan dengan api neraka! Sebab itulah Iblis dan konco-konconya mencari jalan untuk memupuskan jalan-jalan orang yang takut Allah.

30- Hari ini ramai orang membicarakan karomah para aulia, karomah Sultan ‘Aulia Sheikh Abdul Qadir Al Jilani tetapi kenapa tidak mengkaji cara-cara dan punca-punca hendak mendapat karomah.

31- Saya menceritakan perjalanan muqarrabin. Oleh itu janganlah kamu menghukum (membuat andaian) di atas pandangan orang-orang hasanah. Kerana kebaikkan orang-orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.

32- Kamu, kereta boleh beli tetapi jam loceng untuk mengejut waktu tahajud tak boleh beli.

33- Berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasullallah.

34- Orang kafir yang makan ular, bisa ular tidak menjejaskan mereka kerana dalam badan mereka ada sel-sel darah ular. Kita orang Islam tak makan ular, kemudian kita tak buat perkara yang lebih bisa dari bisa ular (zikir, istighfar dan selawat).


35- Bila (iman) kita lemah, maka orang-orang yang lebih lemah daripada kita akan mengambil kesempatan daripada kelemahan kita. Jalan penyelesaiannya, dengan kita memperbaikki diri kita.

36- Allah S.W.T. tak terima doa orang yang mengikut nafsu Ammarah.

37- Maafkan segala kesalahan orang-orang yang membuat kesalahan dengan kita walaupun mereka tidak memohon maaf.

38- Orang yang tak berani menghadapi ujian, itu orang bodoh. Kalau tak ada ombak yang besar macam mana orang yang main luncur ombak hendak rasa keseronokkan bermain ombak.

39- Kalaulah binatang buas boleh di latih sebagaimana harimau, gajah dan beruk sarkes dilatih untuk membuat pertunjukkan (boleh dijinakkan), apatah lagi manusia kerana Allah berfirman “Walhal mereka seindah-indah makhluk Allah”
(Surah Tin Ayat 4).

40- Jadilah hamba Allah, buatlah kerana Allah, MasyaAllah!

41- Jikalau kulit saya kamu salin ke tubuh kamu, darah saya kamu tukar ke dalam jasad kamu, daging dan tulang saya kamu pakai sekalipun! Kamu tak akan dapat sebagaimana saya dapat sekiranya kamu tak bersungguh – sebagaimana saya bersungguh-sungguh dengan Allah.

42- Bukan nak (zikir dengan suara) kuat, bukan perlahan. Matlamat kita hancur hati dengan Allah tetapi kebiasaanya nak hancurkan batu gunung untuk buat jalan kena gunakan bahan letupan. Kemudian batu tadi di masukkan di dalam masing penghancur, tentulah proses ini mengeluarkan bunyi yang kuat. Apatah hati manusia lebih keras dari batu.

43- Fahaman Wahabi ialah fahaman yang berpegang kuat dengan zhahir syariat. Mereka tidak terbuka rahsia syariat. Jika kita berpegang kuat denga syariat dan hakikat, mereka tak boleh makan kita.

44- Kalaulah anjing yang mengikut pemuda Ashabul Kahfi, Allah masukkan ke dalam syurga. Apatah manusia yang bersungguh-sungguh mengikuti perjalanan Ahlullah. Ada orang yang menulis nama-nama mereka (Ashabul Kahfi) untuk dibuat azimat sahaja. Ini saya tak setuju, sepatutnya kita kena ikut langkah mereka untuk menyelamatkan iman. Kita pun akan sama dapat kekuatan macam mana yang Allah anugerahkan kepada mereka.

45- Kamu tentang makan, kamu pandai. Untuk menyedapkan sesuatu makanan berbagai ramuan digunakan, tetapi kenapa untuk mendapat kemanisan di dalam ibadah – kamu tak pandai?

46- Duduklah tang manapun, di parit longkang, di dalam istana, di atas, di bawah, di tepi, di tengah, di laut atau di darat. Matlamat kita ialah kehambaan.

47- Pohonlah kepada Allah untuk berjumpa dengan guru yang boleh membimbing kamu ke jalan Allah.

48- Di dalam perjalanan Ahlullah, baka keturunan adalah salah satu perkara yang sangat penting. Sebab itulah Rasullullah S.A.W. suruh memilih perempuan yang beragama untuk dijadikan isteri.

49- Untuk menyucikan darah-darah keturunan yang tak terpakai, darah kejinnan, darah kekufuran dan kesyirikan. Hendaklah menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta.

50- Kalau kita tak larat nak berjalan, jadilah tangga untuk orang-orang yang nak berjalan.

51- Sesetengah orang seronok membaca dan mendengar keromah Syaikh Abdul Kadir Al Jilani. Nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani dia tak baca! Bacalah nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani, Fathul Ghaib dan Fathur Rabbani.

52- Allah S.W.T membimbing mereka melalui syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Pancaran nur kalimah ‘La ila haillallah’ yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sentiasa dikawal dan diperlihara oleh para aulia supaya memancar dan bersinar.

53- Bilal bin Rabbah r.a seorang hamba abdi. Orang yang dipandang hina oleh masyarakat tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, dia seorang yang mulia dan cerdik. Beliau tidak tunduk kepada kekufuran dan kesyirikkan walaupun jasadnya disiksa. Di hari ini, kita ada ramai golongan cerdik pandai, ada pensyarah, ada jurutera, ada doktor, ada ulama; tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, kita jauh ke belakang dan lebih bodoh daripada Bilal r.a..

54- Kalau kereta rosak ada tukang yang akan baikinya. Kalau orang rosak siapa yang nak baiki?

55- Jadilah hamba Allah sehamba-hambanya. Kalau orang bertanya siapa yang paling banyak dosa? Angkatlah tangan!

56- Perkara yang kita tak tahu tidak semestinya perkara tersebut tak betul.

57- Orang yang loyar buruk dengan ALLAH ialah orang yang loyar buruk dengan Aulia Allah.

58- Bala yang Allah kenakan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita.

59- Benda dan perkara yang dah berlaku, jangan kata “Silap!” Tuhan buat “Tak silap”. Yang silapnya pasal kita “Ikut hawa nafsu!”

60- Pakai baju, dulukan tangan kanan, buka baju dulukan tangan kiri. Pakai kain dulukan kaki kanan, tanggalkan kain, dulukan kaki kiri, pakai seluar duduk dulu dan mulakan dengan kaki kanan kemudian barulah berdiri, buka seluar dulukan kaki kiri. Nak pakai kasut/selipar dulukan kaki kanan nak buka, dulukan kaki kiri. Pakai kain tindihkan kanan di atas pihak kiri. Ni kamu tidak! pakai ikut “DAN!”. Tak ikut sunnah, ikut syaitan, tak ada zikrullah. Zikrullah tak masuk dalam badan lagi. Kamu ingat perkara ni kecik! Kalau perkara kecik tidak boleh nak jaga, macam mana nak jaga perkara yang lebih BESAR?...

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget