"Makam Ayat Suci" : Akhbar Sinar Harian


AKHBAR SINAR HARIAN : 1 APRIL 2011


Secara alami, naskhah al-Quran makin lama makin dimamah waktu. Helaian kertas yang tertanggal dari tulang kitab, rosak digigit anai-anai mahupun akibat terkena banjir atau kebakaran. Ada kalanya ia menyebabkan pemiliknya menjadi serba salah untuk menyimpannya tanpa dibaca atau sekadar warisan turun-temurun. 

Masalah al-Quran lama dan rosak terbiar berhabuk di dalam simpanan timbul apabila tidak ramai Muslim mengetahui bagaimana untuk melupuskannya. Sekurang-kurangnya cara itu mungkin lebih baik daripada segelintir mereka yang jahil terus 'mencampakkan' sebagaimana barangan lain yang tidak berharga di tempat yang tidak sepatutnya. 

Mungkin ada di antara kita ingin membuang bahan bacaan atau hiasan yang mengandungi ayat suci tetapi tidak tahu di mana lokasinya. Tahukah anda mengenai pusat pelupusan al-Quran lama? 

Pusat pelupusan ayat suci yang terletak di Batu 10, Cheras itu mula beroperasi sekitar 2007 dan berada di bawah urus tadbir Percetakan Saufi. Kewujudan pusat itu memudahkan masyarakat Islam yang ingin melupuskan barangan seperti jam, buku teks dan bingkai hiasan yang terkandung ayat suci, selain al-Quran. 

Kerja pelupusan dilakukan dengan sempurna mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan atau musibah. 

Perasaan sayu menjadi titik tolak 

Pengurus Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 53, berkata, dia mengambil inisiatif untuk membuka pusat pelupusan sedemikian atas dasar tanggungjawab sebagai umat Islam. 

Menurutnya, dia berasa sedih apabila melihat keratan terkandung ayat suci dan cebisan al-Quran yang dibuang di tapak pembuangan surat khabar lama. 

“Sayu hati saya melihat keadaan ini. Inilah menjadi titik tolak kepada pembukaan pusat pelupusan ini 

“Fenomena itu menunjukkan betapa manusia zaman ini tidak lagi mementingkan kehormatan ayat suci yang sepatutnya dihormati dan disanjung ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemu ramah. 

Rahmat berkata, al-Quran ibarat zat kepada umat Islam, kita sememang memerlukan dan menggunakannya selama ini tetapi tidak diambil peduli tentangnya. 


Persepsi negatif masyarakat 

Niat yang ingin dilakukan Rahmat adalah murni tetapi sering disalah anggap terutamanya pada peringkat awal mula mengumpul al-Quran dan buku teks jawi. 

Berkongsi pengalaman ketika mula membuka pusat pelupusan itu, Rahmat terpaksa bergerak sendiri ke sekolah dan masjid di merata tempat untuk mendapatkan buku teks serta al-Quran yang ingin dilupuskan. 

Katanya, rumah dan saudara mara adalah sasaran pertama untuk tujuan itu kemudian menular kepada masyarakat setempat. 

“Tidak hanya terikat di kawasan Lembah Klang dan Selangor sahaja, malah saya turut mendapatkannya dari Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Melaka. 

“Ada di antara individu dan pihak meminta bayaran ketika mendapatkan bahan mengandungi ayat suci ini kerana mereka beranggapan saya akan menjualnya,” katanya. 

Dia berkata, pernah sekali ketika dia ingin mengambil al-Quran lama yang tidak digunakan di sebuah masjid, individu tersebut memintanya supaya membayarnya. 

Menurutnya, menyedari hakikat itu dia telah memohon surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWIP) dan Jabatan Mufti Negeri Semalaysia pada 2009. 

Menurutnya, permohonan itu adalah bertujuan mengelakkan supaya orang ramai tidak menuduhnya mengambil kesempatan atau memanipulasi hasil kutipan itu. 

“Niat murni yang ingin dilakukan ini mengundang persepsi yang negatif orang ramai, tambahan pula pendedahan mengenai perkhidmatan itu terlalu kurang,” katanya. 


Lupus ikut garis panduan 

Kerja melupuskan ayat suci itu tidak boleh dilakukan sewenangnya mengikut kesukaan hati kita dan perlu dilaksanakan dengan kaedah tertentu. 

Rahmat memberitahu, proses pelupusan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Menurutnya, surat sokongan daripada beberapa negeri di Semenanjung telah dipohon bagi memastikan garis panduan yang diberikan adalah sama. 

“Maklum balas yang diterima telah menyatakan garis panduan tersebut adalah kesemuanya sama. 

“Garis panduan itu berdasarkan keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992,” katanya. 

Tambahnya, difahamkan terdapat sebuah syarikat korporat bukan Islam yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kerja pelupusan ayat suci itu sebelum kewujudannya. 

Katanya, tetapi mereka tidak pasti bagaimana cara pelupusan yang dilakukan dan adakah ianya sempurna atau sebaliknya. 

“Bahan pelupusan yang dihantar ke sini bukan disebabkan tidak digunakan, tetapi ada di antaranya mengandungi kesalahan huruf, baris, ayat dan muka surat. 

“Malah, sebahagian al-Quran yang ingin dilupuskan adalah disebabkan tiada kelulusan daripada Bahagian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya. 

Menurut Rahmat, dia sendiri pernah cuba mencetak al-Quran tetapi apabila ia dirujuk kepada KDN maka didapati banyak kesalahan dilakukan. KDN menyarankan supaya pembetulan dilakukan terlebih dahulu sebelum mencetak al-Quran tersebut dan hanya syarikat yang mendapat pengiktirafan sahaja boleh mencetaknya. 


Pelupusan ibarat urus jenazah 

Al-Quran atau bahan cetakan yang mengandungi ayat suci perlu diselenggarakan dengan tertib. Menurut Rahmat, kerja melupuskan itu boleh diibaratkan seperti menguruskan seorang jenazah dari awal hingga akhir. Ia perlu dilakukan dengan perlahan dan bagaimana cara yang sempurna untuk kita menghantarnya semula. 

“Pelupusan dilakukan mengikut peringkat bermula dari awalnya mengasingkan bahan sehinggalah abunya dimakamkan. 

“Kulit dan isi bahan akan diasingkan mengikut kategori, kemudian diracik dengan menggunakan mesin supaya ia menjadi lebih halus dan memudahkan pelupusan,” katanya. 

Dia berkata, debu yang terhasil akan dilarutkan dengan air kemudian dimakamkan di tempat khas yang telah digali. Cara pelupusan setiap barang adalah berbeza kerana ia bergantung kepada jenis bahan itu. 

“Kami menerima pelbagai jenis bahan yang terdiri daripada kertas, kain, kayu, kaca, plastik, tembikar dan cakera padat. 

“Orang ramai perlu mengasingkan bahan dan mengikatnya dengan kemas sebelum mengepos atau menghantarnya ke pusat ini bagi memudahkan kerja seterusnya dilakukan,” katanya. 


Kajian di beberapa negara 

Pusat pelupusan ayat suci itu menerima pelbagai jenis bentuk ayat suci untuk dilupuskan malah kajian di beberapa negara juga telah dilaksanakan. Rahmat berkata, sebelum membuka pusat pelupusan itu dia telah merantau ke beberapa negara yang mempunyai kaedah pelupusan al-Quran. Antara negara yang dilawati termasuk Syiria, Lubnan, Jerman dan Vietnam. 

“Di Syiria, teknik mencetak al-Quran dilihat manakala cara pelupusan ayat suci diperoleh dari Lubnan dan Jerman. 

“Berbeza pula dengan Vietnam, di mana saya melihat sendiri bagaimana cara bukan Islam melakukan kerja pelupusan ayat suci ini,” katanya. 

Dia berkata, hasil perantau itu datanglah idea untuk mencipta mesin insinerator yang ditempah khas dari Indonesia tetapi mengikut ciptaan dikehendakinya. Menurutnya, pelupusan ayat suci itu tidak hanya boleh dilakukan menggunakan mesin tetapi juga cara tradisional. 

“Kedua-dua cara ini akan menghasilkan abu yang berbeza di mana pelupusan menggunakan mesin insinerator akan mengeluarkan abu lebih halus. 

“Manakala, jika ia dilupuskan menggunakan cara tradisional, kita masih boleh melihat cebisan al-Quran malah ada di antara serpihan tersebut masih boleh dibaca,” katanya. 


Wakaf setiap 5 kilogram 

Orang ramai yang berminat untuk menghantar bahan ayat suci untuk dilupuskan boleh berkunjung ke pusat itu setiap hari. Menurut Rahmat, setiap lima kilogram bahan yang dihantar mereka perlu menyerahkan satu wakaf sebagai sumbangan pengurusan pelupusan ayat suci. 

“Wakaf ini boleh juga digantikan dengan wang tunai berjumlah RM30 atau mewakafkan senaskhah al-Quran yang disahkan KDN kepada kami. 

“Al-Quran yang diwakafkan akan dihantar ke sekolah atau masjid yang memerlukan,” katanya. 

Menurutnya, pada masa terdekat, satu lagi mesin insinerator akan dicipta untuk memudahkan kerja pelupusan yang dilakukan pada waktu malam. Dia turut bercadang untuk melebarkan sayap dengan membuka cawangan di negeri lain bagi tujuan pelupusan ayat suci itu. 

“Bermula dengan setiap zon seperti utara, selatan dan pantai timur kemudian mengorak langkah kepada daerah di setiap negeri pula. 

“Saya mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak berwajib atau individu yang ingin membantu dalam usaha yang murni itu,” katanya.


Selawat Tafrijiyah : Mencapai Keinginan


"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".

Selawat Nariyah disebut juga selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT. Bagi seseorang yang menginginkan agar kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan dan persaingan sebaiknyalah ia mengamalkan selawat Nariyah dengan membacanya selepas solat fardhu sebanyak yang ia mampu.

Bagi orang yang menghadapi kesempitan atau kebuntuan dalam menyelesaikan apa-apa masalah baik dalam bidang perdagangan atau di dalam menghadapi orang yang berniat jahat maka selawat ini bolehlah dibaca sehingga 4,444 kali.

Kata Imam Addainuri Rahimahullah sesiapa yang membaca selawat ini setiap selepas solat fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke derajat yang tinggi. Kata Al_Qurtubi pula sesiapa yang membaca selawat ini setiap hari sebanyak 44 kali nescaya Allah SWT hilangkan dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang berkebajikan dan dikasihi oleh orang ramai.

1. Menurut Imam Ad-Dainuri, barangsiapa membaca selawat ini 11 KALI setiap hari setiap lepas sembahyang lima waktu, REZEKInya tidak putus-putus dan mendapat kedudukan yang tinggi.

2. Menurut Imam Al-Qurtubi, barangsiapa membaca selawat ini 41 KALI atau 100 KALI, ALLAH akan menghilangkan segala dukacita dan dimudahkan segala urusan kehidupan.

3. Barangsiapa membaca selawat ini 313 KALI setiap hari, nescaya akan terbuka beberapa rahsia ghaib.4. Barangsiapa membaca selawat ini 4444 KALI akan tercapai segala cita-cita dan hajat dunia dan akhirat.

Solat Dhuha adalah Emas : Menarik Rezeki

Solat sunat dhuha ialah solat di waktu pagi. Ia merupakan salah satu dari tiga solat sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. 

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : 
Allah telah berfirman: 

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad) 
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari. 



Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : 

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : 

” Barangsiapa yangmenunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ). 






Fadhilat Dhuha 

Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat katanya: 

1. “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Abu Hurairah :Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

2. Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.” 

3. Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi). 

4. Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi) 

Kaifiyat Dhuha 

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam.Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud: 

”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah) 
Dari segi pembacaan di dalam solat sunat dhuha tiada wajib membaca surah-surah tertentu di dalam rakaat tersebut. Cuma kebiasaan yang dilakukan oleh para ulama iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Fatihah dan surah Wasy-Syamsi atau surah Al-Kafirun. Manakala rakaat kedua dibaca Al-Fatihah dan surah Ad-Dhuha atau surah Al-Ikhlas. 
 

Niat Solat Dhuha:-



Baca ketika sujud yang terakhir - 3 kali :

Di antara doa yang baik dibaca selepas solat Dhuha ialah :

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalahkeagungan-Mu, kebaikan adalah kebaikan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, sekiranya rezki kami di atas langit, turunkanlah, sekiranya dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kebaikan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh-soleh.” 

PERINGATAN

Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

Firman Allah s.w.t
“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
(bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
Al-Baqarah : 268

Kerjasama anda kami hargai.

Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

Buku Pelawat


ShoutMix chat widget