Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan

"Makam Ayat Suci" : Akhbar Sinar Harian


AKHBAR SINAR HARIAN : 1 APRIL 2011


Secara alami, naskhah al-Quran makin lama makin dimamah waktu. Helaian kertas yang tertanggal dari tulang kitab, rosak digigit anai-anai mahupun akibat terkena banjir atau kebakaran. Ada kalanya ia menyebabkan pemiliknya menjadi serba salah untuk menyimpannya tanpa dibaca atau sekadar warisan turun-temurun. 

Masalah al-Quran lama dan rosak terbiar berhabuk di dalam simpanan timbul apabila tidak ramai Muslim mengetahui bagaimana untuk melupuskannya. Sekurang-kurangnya cara itu mungkin lebih baik daripada segelintir mereka yang jahil terus 'mencampakkan' sebagaimana barangan lain yang tidak berharga di tempat yang tidak sepatutnya. 

Mungkin ada di antara kita ingin membuang bahan bacaan atau hiasan yang mengandungi ayat suci tetapi tidak tahu di mana lokasinya. Tahukah anda mengenai pusat pelupusan al-Quran lama? 

Pusat pelupusan ayat suci yang terletak di Batu 10, Cheras itu mula beroperasi sekitar 2007 dan berada di bawah urus tadbir Percetakan Saufi. Kewujudan pusat itu memudahkan masyarakat Islam yang ingin melupuskan barangan seperti jam, buku teks dan bingkai hiasan yang terkandung ayat suci, selain al-Quran. 

Kerja pelupusan dilakukan dengan sempurna mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan atau musibah. 

Perasaan sayu menjadi titik tolak 

Pengurus Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 53, berkata, dia mengambil inisiatif untuk membuka pusat pelupusan sedemikian atas dasar tanggungjawab sebagai umat Islam. 

Menurutnya, dia berasa sedih apabila melihat keratan terkandung ayat suci dan cebisan al-Quran yang dibuang di tapak pembuangan surat khabar lama. 

“Sayu hati saya melihat keadaan ini. Inilah menjadi titik tolak kepada pembukaan pusat pelupusan ini 

“Fenomena itu menunjukkan betapa manusia zaman ini tidak lagi mementingkan kehormatan ayat suci yang sepatutnya dihormati dan disanjung ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemu ramah. 

Rahmat berkata, al-Quran ibarat zat kepada umat Islam, kita sememang memerlukan dan menggunakannya selama ini tetapi tidak diambil peduli tentangnya. 


Persepsi negatif masyarakat 

Niat yang ingin dilakukan Rahmat adalah murni tetapi sering disalah anggap terutamanya pada peringkat awal mula mengumpul al-Quran dan buku teks jawi. 

Berkongsi pengalaman ketika mula membuka pusat pelupusan itu, Rahmat terpaksa bergerak sendiri ke sekolah dan masjid di merata tempat untuk mendapatkan buku teks serta al-Quran yang ingin dilupuskan. 

Katanya, rumah dan saudara mara adalah sasaran pertama untuk tujuan itu kemudian menular kepada masyarakat setempat. 

“Tidak hanya terikat di kawasan Lembah Klang dan Selangor sahaja, malah saya turut mendapatkannya dari Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Melaka. 

“Ada di antara individu dan pihak meminta bayaran ketika mendapatkan bahan mengandungi ayat suci ini kerana mereka beranggapan saya akan menjualnya,” katanya. 

Dia berkata, pernah sekali ketika dia ingin mengambil al-Quran lama yang tidak digunakan di sebuah masjid, individu tersebut memintanya supaya membayarnya. 

Menurutnya, menyedari hakikat itu dia telah memohon surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWIP) dan Jabatan Mufti Negeri Semalaysia pada 2009. 

Menurutnya, permohonan itu adalah bertujuan mengelakkan supaya orang ramai tidak menuduhnya mengambil kesempatan atau memanipulasi hasil kutipan itu. 

“Niat murni yang ingin dilakukan ini mengundang persepsi yang negatif orang ramai, tambahan pula pendedahan mengenai perkhidmatan itu terlalu kurang,” katanya. 


Lupus ikut garis panduan 

Kerja melupuskan ayat suci itu tidak boleh dilakukan sewenangnya mengikut kesukaan hati kita dan perlu dilaksanakan dengan kaedah tertentu. 

Rahmat memberitahu, proses pelupusan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Menurutnya, surat sokongan daripada beberapa negeri di Semenanjung telah dipohon bagi memastikan garis panduan yang diberikan adalah sama. 

“Maklum balas yang diterima telah menyatakan garis panduan tersebut adalah kesemuanya sama. 

“Garis panduan itu berdasarkan keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992,” katanya. 

Tambahnya, difahamkan terdapat sebuah syarikat korporat bukan Islam yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kerja pelupusan ayat suci itu sebelum kewujudannya. 

Katanya, tetapi mereka tidak pasti bagaimana cara pelupusan yang dilakukan dan adakah ianya sempurna atau sebaliknya. 

“Bahan pelupusan yang dihantar ke sini bukan disebabkan tidak digunakan, tetapi ada di antaranya mengandungi kesalahan huruf, baris, ayat dan muka surat. 

“Malah, sebahagian al-Quran yang ingin dilupuskan adalah disebabkan tiada kelulusan daripada Bahagian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya. 

Menurut Rahmat, dia sendiri pernah cuba mencetak al-Quran tetapi apabila ia dirujuk kepada KDN maka didapati banyak kesalahan dilakukan. KDN menyarankan supaya pembetulan dilakukan terlebih dahulu sebelum mencetak al-Quran tersebut dan hanya syarikat yang mendapat pengiktirafan sahaja boleh mencetaknya. 


Pelupusan ibarat urus jenazah 

Al-Quran atau bahan cetakan yang mengandungi ayat suci perlu diselenggarakan dengan tertib. Menurut Rahmat, kerja melupuskan itu boleh diibaratkan seperti menguruskan seorang jenazah dari awal hingga akhir. Ia perlu dilakukan dengan perlahan dan bagaimana cara yang sempurna untuk kita menghantarnya semula. 

“Pelupusan dilakukan mengikut peringkat bermula dari awalnya mengasingkan bahan sehinggalah abunya dimakamkan. 

“Kulit dan isi bahan akan diasingkan mengikut kategori, kemudian diracik dengan menggunakan mesin supaya ia menjadi lebih halus dan memudahkan pelupusan,” katanya. 

Dia berkata, debu yang terhasil akan dilarutkan dengan air kemudian dimakamkan di tempat khas yang telah digali. Cara pelupusan setiap barang adalah berbeza kerana ia bergantung kepada jenis bahan itu. 

“Kami menerima pelbagai jenis bahan yang terdiri daripada kertas, kain, kayu, kaca, plastik, tembikar dan cakera padat. 

“Orang ramai perlu mengasingkan bahan dan mengikatnya dengan kemas sebelum mengepos atau menghantarnya ke pusat ini bagi memudahkan kerja seterusnya dilakukan,” katanya. 


Kajian di beberapa negara 

Pusat pelupusan ayat suci itu menerima pelbagai jenis bentuk ayat suci untuk dilupuskan malah kajian di beberapa negara juga telah dilaksanakan. Rahmat berkata, sebelum membuka pusat pelupusan itu dia telah merantau ke beberapa negara yang mempunyai kaedah pelupusan al-Quran. Antara negara yang dilawati termasuk Syiria, Lubnan, Jerman dan Vietnam. 

“Di Syiria, teknik mencetak al-Quran dilihat manakala cara pelupusan ayat suci diperoleh dari Lubnan dan Jerman. 

“Berbeza pula dengan Vietnam, di mana saya melihat sendiri bagaimana cara bukan Islam melakukan kerja pelupusan ayat suci ini,” katanya. 

Dia berkata, hasil perantau itu datanglah idea untuk mencipta mesin insinerator yang ditempah khas dari Indonesia tetapi mengikut ciptaan dikehendakinya. Menurutnya, pelupusan ayat suci itu tidak hanya boleh dilakukan menggunakan mesin tetapi juga cara tradisional. 

“Kedua-dua cara ini akan menghasilkan abu yang berbeza di mana pelupusan menggunakan mesin insinerator akan mengeluarkan abu lebih halus. 

“Manakala, jika ia dilupuskan menggunakan cara tradisional, kita masih boleh melihat cebisan al-Quran malah ada di antara serpihan tersebut masih boleh dibaca,” katanya. 


Wakaf setiap 5 kilogram 

Orang ramai yang berminat untuk menghantar bahan ayat suci untuk dilupuskan boleh berkunjung ke pusat itu setiap hari. Menurut Rahmat, setiap lima kilogram bahan yang dihantar mereka perlu menyerahkan satu wakaf sebagai sumbangan pengurusan pelupusan ayat suci. 

“Wakaf ini boleh juga digantikan dengan wang tunai berjumlah RM30 atau mewakafkan senaskhah al-Quran yang disahkan KDN kepada kami. 

“Al-Quran yang diwakafkan akan dihantar ke sekolah atau masjid yang memerlukan,” katanya. 

Menurutnya, pada masa terdekat, satu lagi mesin insinerator akan dicipta untuk memudahkan kerja pelupusan yang dilakukan pada waktu malam. Dia turut bercadang untuk melebarkan sayap dengan membuka cawangan di negeri lain bagi tujuan pelupusan ayat suci itu. 

“Bermula dengan setiap zon seperti utara, selatan dan pantai timur kemudian mengorak langkah kepada daerah di setiap negeri pula. 

“Saya mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak berwajib atau individu yang ingin membantu dalam usaha yang murni itu,” katanya.


Hari Kekasih Atau Valentine's : Ape Hukumnya Jika Disambut?


HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE


Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

Ø Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Ø Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Ø Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Ø Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

Rujukan Tambahan


SOLAT : Diantara solat yang tidak diterima oleh Allah S.W.T




    1. Solat mereka  yang tidak mengikut Jamaah.
    2. Solat mereka tidak mengeluarkan zakat hartanya.
    3. Solat mereka yang melakukan zina.
    4. Solat mereka yang makan riba atau intrest.
    5. Solat mereka yang menyamun.
    6. Solat mereka yang makan yang haram.
    7. Solat mereka yang minum minuman haram.
    8. Solat mereka yang menjual yang haram.
    9. Solat seorang hamba yang lari daripada majikannya.
    10. Solat perempuan yang masam mukanya atau permpuan yang derhaka atau perempuan yang berkasar dengan suaminya.

    FARAID : Pengurusan Wasiat Harta Pusaka - Siri 1

    FARAID: MANIFESTASI KESYUMULAN PENGURUSAN HARTA DALAM ISLAM


    Undang-undang Pusaka Islam (faraid) telah disyariatkan oleh Allah s.w.t secara berhikmat dan 
    berperingkat-peringkat supaya ianya sesuai dengan falsafah perundangan dan tabiat semulajadi manusia yang agak sukar untuk mengubah adat kelaziman mereka masing-masing. Pada peringkat awal, agama  Islam mengekalkan sistem pusaka Jahiliah, sistem sementara berdasarkan persaudaraan dan Hijrah. Kemudian sistem itu telah dibatalkan dan diganti dengan sistem pembahagian pusaka secara wasiat kepada dua ibu bapa dan kaum kerabat berdasarkan pada Surah Al- Baqarah, ayat 180 bermaksud : "Diwajibkan diatas kamu, apabila maut hendak menjemput seseorang diantara kamu, jika dia meninggalkan harta,berwasiat untuk kedua orang tua dan rakan karib kerabat dengan cara yang baik, (sebagai) kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa".

    Peringkat akhir, semua sistem tersebut telah dimansuhkan dan Undang-undang Pusaka Islam yang ada sekarang adalah merupakan ketetapan Allah s.w.t. berdasarkan ayat mawarith , iaitu ayat 11, 12 dan 176, surah Al-Nisa.Undang-undang Pusaka Islam adalah satu sietem pusaka yang lengkap dan menyeluruh (syumul) dengan memberi jaminan terhadap ahli ahli waris yang berhak, kadar bahagian mereka dan ahli ahli waris yang tidak berhak terhadap harta pusaka dengan menggunakan kaedah atau doktrin al-Hajb.

    Allah s.w.t. telah menentukan hukum dan cara pembahagian dalam harta pusaka dikalangan ahli warisahli waris, dengan tujuan untuk memberi keadilan kepada semua peringkat ahli ahli waris dan mengelak pergaduhan dikalangan mereka. 

     Pada akhir ayat 11, 12 dan 176, surah al-Nisa, Allah s.w.t telah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana“ , “ (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dai Allah. Dan (ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar“ dan “Allah menerangkan hukum itu kepada kamu supaya tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.




    SUMBER UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM DAN HUKUM MEMPELAJARINYA

    Undang-undang Pusaka Islam (faraid) bersumberkan kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak sahabat dan ijtihad mereka dalam masalah tertentu. Di dalam al-Quran terdapat dua bentuk ayat yang berkaitan dengan pusaka iaitu ayat  mujmal dan ayat  mufassal. Ayat-ayat kategori pertama menjelaskan hak-hak ahli waris secara umum tanpa menentukan bahagian mereka secara terperinci.Manakala ayat-ayat kategori kedua iaitu ayat al-mawarith, Allah s.w.t telah menjelaskan secara terperinci ahli-ahli waris dan kadar bahagian atau saham mereka masing-masing.

    Di antara ayat berbentuk mujmal, Firman Allah s.w.t  yang bermaksud:
    “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)” (al-Quran,  al-Nisa’ 4:7).

    ”Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (al-Quran, al-Anfal 8:75).

    Dalam ayat  al-mawarith, Allah s.w.t telah menerangkan secara terperinci mengenai ahli waris-ahli waris dan bahagian mereka masing-masing dalam pusaka iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud:

     (i) “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah 2/3 dari harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah 1/2 (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati) tiap-tiap seorang dari keduanya 1/6 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah4kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah 1/3. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah 1/6. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutang. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa yang di antaranya lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu, (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing sepertiditerangkan ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”  (alQuran, al-Nisa’ 4: 11).

    (ii) “Dan bagi kamu (suami) 1/2 dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu mendapat 1/4 dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi kamu (isteri-isteri) pula 1/4 dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi jika kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah 1/8 dari harta kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayar hutang kamu. Dan jika si mati yang diahli warisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiaptiap seorang dari keduanya ialah 1/6. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka berkongsi pada 1/3 (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarhutangnya; wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada ahli waris-ahli waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar “ (al-Quran, al-Nisa’ 4: 12).

     (iii) “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai masalah kalalah. Katakanlah: ‘‘Allah memberi fatwa kepadamu dalam perkara  kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu 1/2 dariharta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudarasaudara lelaki itu) meahli warisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannnya itu dua orang, maka keduanya mendapat 2/3 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudarasaudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orangperempuan“. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (al-Quran, al-Nisa’ 4:176).


    Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas, dapat dirumuskan beberapa hukum berikut.

    1. Dasar pembahagian pusaka dalam Islam adalah bahagian ahli waris lelaki menyamai dua bahagian ahli waris perempuan. Dasar ini dilaksanakan dalam 6kebanyakan kes pusaka, terutamanya dalam kes asabah bi al-ghayr. Pembahagian pusaka dalam kes seumpama ini hendaklah berdasarkan kaedah bahagian ahli waris lelaki menyamai dua bahagian ahli waris perempuan.

    2. Ahli waris ashab al-furud dan asabah bi al-ghayr telah ditentukan dengan jelas dan cara pewarisan mereka masing-masing. Di antara ahli waris  ashab al-furud yang disebut dalam ayat tersebut ialah anak perempuan, ibu, bapa, suami, isteri, saudara lelaki seibu, saudara perempuan seibu,  saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

    3. Pembahagian harta pusaka kepada ahli-ahli warishendaklah dibuat selepas ditunaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang Allah s.w.t (seperti zakat, kaffarah dan sebagainya), atau hutang sesama manusia dan sesudahdiselesaikan wasiat yang dibuat oleh si mati (jika ada) atas kadar 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta pusakanya.  Selain daripada nas al-Quran, terdapat hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan dan memperincikanmaksud Al-Quran tentang ahli-ahli waris dan bahagian mereka masing-masing; antaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

    “Bagi seorang anak perempuan 1/2, seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 untuk melengkapkan 2/3 dan baki (asabah) untuk seorang saudara perempuan“ (Hadis riwayat al-Bukhari).

    “Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yangberhak, sesudah itu bakinya adalah untuk ahli waris lelaki yang lebih utama” (Hadis riwayat Muslim).



    Di samping nas al-Quran dan al-Sunnah, ijmak para sahabat dan tabi’in juga telah berlaku dalam pembahagian pusaka, iaitu seorang nenek atau dua orang nenek (ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa) mereka sama-sama berkongsi dalam 1/6 bahagian.Demikian juga para sahabat telah melakukan ijtihad mereka dalam beberapa masalah pusaka , seperti dalam kes  alUmariyyatain,al-Musyarakah, pewarisan datuk ketika bersama saudara (lelaki atau perempuan) seibu sebapa atau sebapa, pewarisan dhawi al-arham, dan sebagainya.

    Berdasarkan nas-nas di atas dapat dirumuskan bahawa hukum mempelajari faraid adalah fardu kifayah kepada seluruh umat Islam dan ia akan gugur dengan sebahagian umat Islam lain yang telah melakukannya, tetapi hukum sunat mempelajarinya masih berkekalan. Demikian juga hukum melaksanakan pembahagian pusaka secara faraid adalah wajib.



    PERINGATAN

    Kerja-kerja dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan Mufti Malaysia.

    Sila hubungi 03-26933049,26915184 @ 019-3376159 (Rahmat Mahdan) untuk mengetahui kadar caj perkhidmatan terkini.

    Firman Allah s.w.t
    “Syaitan menjanjikan kemiskinan kepada kamu
    (bersedekah amal jariah) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, dan
    Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia-Nya.
    Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui”
    Al-Baqarah : 268

    Kerjasama anda kami hargai.

    Bersamalah kita menjaga kesucian AL-QURAN.

    Buku Pelawat


    ShoutMix chat widget